Jumaat, Februari 20, 2009

Apakah Pentingnya Bahasa Melayu itu?

Tatkala berbicara soal memartabatkan bahasa Melayu pada tempat dan tarafnya, maka kita barangkali akan bertanya apakah penting bahasa Melayu itu dimartabatkan? Kenapakah bahasa itu penting untuk dimartabatkan? Sebenarnya apakah kepentingan bahasa Melayu itu kepada proses pembinaan negara ini?
Untuk memahami kepentingan bahasa kepada pembinaan tamadun, maka kita perlu melihat kepada sejarah. Dalam sejarah ketamadunan manusia kita diperlihatkan dengan pelbagai keagungan generasi lampau dengan kepelbagaian monumen dan tinggalan. Antaranya, semua orang kenal dengan Piramid di Mesir, Angkor Wat di Kemboja, Tembok Besar di China, Colesium di Rom, dan pelbagai lagi monumen yang agung sebagai simbol kegemilangan sesuatu tamadun. Dalam proses pembinaan tamadun-tamadun hebat manusia seperti tamadun Mesir, Tamadun Mesopotamia, Tamadun China, Tamadun Rom, hatta Tamadun Islam sekalipun kita dengan pasti dapat mengatakan bahawa setiap kali sesuatu tamadun itu terbentuk, maka peranan ilmu amat penting dalam proses pembinaan setiap tamadun manusia tersebut. Tanpa ilmu pengetahuan maka barang pasti sesuatu bangsa tidak mungkin dapat mencapai ketinggian tamadun yang dilihat dalam sejarah manusia.
Jadi, apakah kaitannya antara bahasa, ilmu, dan pembinaan tamadun? Dalam sejarah peradaban dan tamadun manusia kita dapat menyaksikan bagaimana manusia itu meneroka ilmu pengetahuan. Jika kita selusuri pembinaan tamadun Eropah yang ada pada hari ini, maka kita akan dapat menyaksikan bagaimana para cendekiawan Eropah pada masa lampau merintis ilmu pengetahuan sehingga ilmu itu berkembang pada tahap sekarang. Kita tidak boleh menafikan bahawa pembinaan tamadun Eropah itu berakar umbi daripada tamadun Islam terutama di Cordova. Sejarah mencatatkan bagaimana para pelajar dari Eropah belajar dengan para sarjana Islam seperti Ibnu Sina, Al-Razi, dan ramai lagi sarjana Islam dari pelbagai aliran dan cabang ilmu. Akhirnya, kita dapat melihat mereka membawa khazanah ilmu daripada tamadun Islam ke Eropah. Persoalannya, apakah yang mereka lakukan pada khazanah ilmu pengetahuan dari tamadun Islam ini? Sesuatu yang jelas mereka giat menjalankan proses penterjemahan. Inilah kunci kejayaan keilmuan bangsa Eropah pada waktu tersebut. Mereka giat menjalankan proses penterjemahan. Malahan, jika kita melihat kepada pembinaan tamadun Jepun pun kita pasti proses penterjemahan inilah yang menjadi kunci kejayaan bangsa Jepun pada ketika ini.
Kenapakah perlu proses penterjemahan ini? Di sini kita perlu memahami proses penyerapan ilmu dan pengetahuan. Ilmu dan pengetahuan amat mudah diserap apabila ilmu tersebut disampaikan dalam bahasa ibunda. Ini merupakan suatu fakta dan kenyataan yang telah terbukti. Manusia akan lebih memahami ilmu pengetahuan jika disampaikan dengan bahasa ibundanya. Maka inilah pentingnya proses penterjemahan iaitu untuk memastikan ilmu dapat disampaikan dengan bahasa ibunda dan seterusnya diserap dengan baik ke dalam otak manusia.
Oleh itu, amatlah penting segala ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang disampaikan dalam bahasa ibunda masing-masing. Jadi di sini kita perlu memahami bahawa dalam proses pembinaan semula tamadun Melayu di negara ini, maka kita perlu memastikan generasi pewaris diberikan suntikan ilmu pengetahuan. Dan langkah yang amat penting ialah memastikan mereka dapat memahami dan menghayati ilmu pengetahuan itu sendiri. Untuk itu, amat penting kita memahami ilmu pengetahuan mesti disampaikan dalam bahasa yang dapat mereka fahami dan dalam konteks Malaysia, bahasa yang paling layak menyampaikan ilmu pengetahuan ialah bahasa Melayu itu sendiri kerana bahasa ini merupakan bahasa yang hampir pasti difahami oleh setiap warga di negara ini. Oleh itu, amatlah penting untuk kita menyedari peripentingnya bahasa Melayu itu dinobatkan semula sebagai bahasa pengantar ilmu pengetahuan pada setiap peringkat pendidikan, sama ada peringkat rendah mahupun tinggi.
Akhirnya, dapatlah kita memahami bahawa dalam proses pembinaan tamadun manusia tiada dalam catatan sejarah sesebuah tamadun agung dibina dengan bahasa asing. Malahan dengan pasti pembinaan tamadun tersebut dengan bahasa mereka sendiri. Fikirkanlah. Wassalam.

0 ulasan:

Perjuanganku

Memartabat Agama Islam dan Bahasa Melayu sehingga diletakkan di tempat yang selayaknya.

Dimanakah Anda?

Tetamu