Khamis, Februari 19, 2009

Bahasa

Soal PPSMI agak gawat diperkata orang sejak belakangan ini. Namun, jelas kelihatan setiap kelompok mempunyai pendapat yang sama tentang kepentingan menguasai bahasa asing selain bahasa ibunda. Sama ada kelompok proPPSMI atau kelompok penentang PPSMI mereka bersetuju peri pentingnya menguasai bahasa kedua. Namun, sesuatu yang jelas di sini ialah cara atau kaedah kita ingin menguasai bahasa tersebut yang menjadi pertikaian. Bagi kelompok yang menentang pelaksanaan PPSMI, jelas mereka mempertikai tentang cara yang diambil oleh kerajaan dengan menukar bahasa pengantar mata pelajaran sains dan matematik ke dalam bahasa Inggeris itulah yang dipertikai. Sementelah pula pelaksanaannya yang dilihat agak terburu-buru menambahkan lagi pertikaian tersebut. Bagi saya, sememangnya, amat penting untuk anak bangsa Malaysia menguasai lebih daripada satu bahasa, namun untuk menguasai bahasa lain tidaklah dengan menghakis nilai bahasa Melayu itu sendiri, dengan menjadikannya sebagai bahasa kelas kedua.
Sebenarnya, apa yang menjadi penyakit utama kepada permasalahan ini ialah tentang lemahnya penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar di negara ini, terutama bangsa Melayu di luar bandar. Jadi penyakit telah kita ketahui, maka kita perlulah mencari ubat kepada penyakit tersebut. Apakah ubatnya? Adakah dengan menukar bahasa pengantar Sains dan Matematik kepada bahasa Inggeris merupakan ubatnya. Sebenarnya, secara ikhlas ubat itu mungkin ada mujarabnya namun ubat itu mempunyai kesan sampingan yang amat kuat. Kesan sampingannya jelas apabila terjadinya penurunan taraf dan kepentingan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan negara. Hal ini amat merugikan kerana sebelum ini, kita telah menyaksikan bahasa Melayu telah berjaya dinobatkan pada tempat yang selayaknya, namun kini kita umpama telah membenam semula kedudukan bahasa Melayu seperti pada masa sebelum merdeka.
Jadi bagaimanakah kita ingin mengubati penyakit lemah berbahasa Inggeris ini? Jika dikatakan ubat itu kurang tepat maka apakah ubat yang tepat untuk mengubati penyakit ini? Bagi saya ubat kepada penyakit ini sudah pastilah berkaitan pengajaran bahasa Inggeris itu sendiri. Method atau pendekatan pengajaran bahasa Inggeris itu di sekolahlah yang perlu dibedah siasat! Pasti ada yang tidak kena dengan cara pengajaran bahasa Inggeris di sekolah. Pelik tapi benar! bagaimana seorang pelajar yang tamat tingkatan lima(tempoh pembelajaran selama 11 tahun) gagal mahir berbahasa Inggeris. Sedangkan pada lazimnya jika kaedah dan pendekatan betul yang diterap, seorang manusia normal dapat menguasai bahasa asing paling lama mungkin setahun untuk mencapai tahap boleh bertutur.
Maka jelaslah, sebenarnya ubat terbaik untuk merungkai permasalahan PPSMI ini hanyalah dengan merombak kaedah pengajaran bahasa Inggeris di sekolah, bukannya dengan menukar bahasa pengantar Sains dan Matematik kerana banyak mudaratnya dari tindakan tersebut. Maka marilah kita sahut seruan untuk menukar semula bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pengajaran Sains dan Matematik. Sahutan itu bukan bermakna kita ingin mencari kelemahan mana-mana pihak, cuma kita ingin pastikan perjuangan mendaulatkan bahasa Melayu yang sekian lama dirintis tidak terkubur begitu sahaja.

0 ulasan:

Perjuanganku

Memartabat Agama Islam dan Bahasa Melayu sehingga diletakkan di tempat yang selayaknya.

Dimanakah Anda?

Tetamu