Ahad, Mac 15, 2009

Sekalung Tahniah

Tatkala tanggal 7 Mac lalu hati dan perasaan saya amat bangga dan sayu kerana masih ada lagi para pejuang yang berani dan cekal dalam mendaulatkan bahasa Melayu yang kian terpinggir. Tahniah diucapkan kepada para pejuang yang telah berpedih mata turun di jalanan demi kelangsungan hidup bahasa kebangsaan. Begitulah lumrahnya arena perjuangan, terpaksa mengharungi onak dan duri. Jika ingin terus berjalan galak di permaidani gebu jangan bicara soal perjuangan. Nyata, kini kita kenal siapa pembela bangsa dan bahasa dan siapa pengkhianat kepada perjuangan ini.
Meski ada suara sinis yang menyatakan sia-sianya perjuangan ini maka hendaklah kita katakan kepada mereka bahawa perjuangan ini tidak sia-sia. Malahan saya percaya perhimpunan itu pasti membekas kepada hati dan minda pihak yang kita tujukan protes. Justeru, diharap agar perhimpunan itu kelak akan melembutkan benak para penguasa untuk kembali ke jalan perjuangan datuk moyang kita dahulu kala yang berkeringat dan berdarah memerdekakan bahasa kebangsaan dari lumpur penjajahan. Moga-moga perjuangan ini kelak menjadi ingatan kepada cucu cicit kita agar mereka mengenal bahawa bahasa mereka dulunya pernah dihinjak tetapi telah diselamatkan oleh para pejuang bahasa sejati. Wassalam

0 ulasan:

Perjuanganku

Memartabat Agama Islam dan Bahasa Melayu sehingga diletakkan di tempat yang selayaknya.

Dimanakah Anda?

Tetamu