Isnin, Jun 01, 2009

Keberkatan Ilmu yang Dilupakan

Soal Pendidikan merupakan teras dalam pembinaan tamadun bangsa. Dalam setiap tamadun yang telah berjaya bangun dengan gagah, aspek pendidikan merupakan elemen penting yang membantu ke arah pembinaan tersebut. Jika kita melihat aspek pembinaan tamadun Islam yang menjadi keutamaan Rasulullah ialah aspek tarbiah dan ilmu. Begitulah juga sepatutnya yang dilakukan oleh mana-mana institusi pendidikan iaitu menekankan aspek pentarbiahan dan keilmuan.
.

Salah satu aspek penting pemerolehan ilmu, selain usaha yang kental dan bersungguh-sungguh ialah aspek keberkatan ilmu. Aspek ini amat kurang diberikan penekanan sejak belakangan ini. Apakah yang dimaksudkan dengan aspek keberkatan ilmu? Sebenarnya ilmu pengetahuan merupakan elemen yang bersumberkan Maha Pencipta. Ilmu yang diperoleh dan dimiliki oleh manusia kini merupakan kurniaan Allah s.w.t. Manusia sering lupa bahawa ilmu yang dimilikinya itu merupakan khazanah yang dimilki oleh Allah s.w.t. Sesuatu ilmu tidak akan memperoleh keberkatan jika ilmu itu tidak ditadbir mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh pemiliknya(yakni Allah s.w.t). Dalam hal ini, urus tadbir ilmu itu bermula daripada sumber kita memperolehinya, cara kita memperolehi ilmu, cara kita menyimpan ilmu itu, tempat kita memperoleh ilmu, hinggalah cara kita menggunakan ilmu itu. Jika salah satu elemen di atas tidak mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh syarak maka unsur keberkatan ilmu itu pastinya akan hilang sirna. Ilmu yang berkat merupakan ilmu yang mampu mengubah watak dan personaliti insan menjadi insan kamil yang didambarkan oleh setiap tamadun manusia. Ilmu yang berkat akan berjaya meninggikan darjat dan martabat insan daripada darjat kebinatangan kepada darjat para malaikat malahan melepasi tahap tersebut.

Jika kita kupas setiap elemen itu dan kita kaitkan dengan realiti yang terdapat di institusi pendidikan kita, maka kita akan dapat melihat banyak unsur yang telah menodai unsur keberkatan ilmu. Salah satu aspek yang akan dibincangkan di sini ialah aspek hubungan antara guru dan murid. Jika kita melihat hubungan guru-murid, saya tidak dapat tidak pasti akan melihat kepada hubungan antara Rasulullah dan para Sahabat baginda. Dalam soal ini Rasulluah berperanan sebagai guru dan para sahabat sebagai murid. Kita dapat melihat bagaimana nilai ketaatan dan kepatuhan para sahabat kepada Rasulullah amat tinggi. Rasulullah pula tidak melihat para sahabat sebagai 'pelanggan' baginda tetapi sebagai rakan seperjuangan Namun, dalam sistem pendidikan hari ini kita diseru agar melihat anak murid kita sebagai 'pelanggan'. Dalam soal ini seolah-olah hubungan guru-murid itu seperti hubungan dalam perniagaan. inilah kesan budaya kapitalisme dalam pendidikan yang telah menghakis keberkatan dalam penyebaran dan penerokaan ilmu. Seharusnya kita perlu merubah budaya yang melihat murid sebagai 'pelanggan' kerana apabila murid dianggap sebagai pelanggan, maka pastilah nilai keuntungan atau laba yang akan dititikberatkan sehinggalah timbul pertanyaan dalam kalangan guru jika aku berkorban untuk murid apakah yang aku akan dapat? Jika aku meluangkan lebih masa bersama-sama murid apakah yang aku akan terima? Inilah yang meruntuh nilai keberkatan dalam penyebaran ilmu dan pengetahuan.
Akhirnya, nilai keberkatan tidak dapat kita lihat secara fizikal, namun itu bukanlah alasan untuk kita mengabaikan nilai tersebut. Percayalah bidang ilmu pengetahuan merupakan lombong keberkatan yang amat luas. Jadi marilah kita menjaga adab-adab dalam menyampai dan menerima ilmu agar kita memperoleh nilai keberkatan yang amat bernilai harganya itu. Wassalam.

0 ulasan:

Perjuanganku

Memartabat Agama Islam dan Bahasa Melayu sehingga diletakkan di tempat yang selayaknya.

Dimanakah Anda?

Tetamu