Jumaat, Julai 03, 2009

Kakitangan Sokongan vs Guru

Dalam dunia pendidikan banyak sekali pertentangan dan kerumitan yang berlaku setiap hari. Dalam hal ini, kita tidak boleh menafikan akan permasalahan yang melibatkan dua kelompok dalam persekitaran sekolah iaitu kelompok guru dan staf sokongan di kebanyakan sekolah. Sebenarnya, dua kelompok ini sewajibnya saling bantu-membantu dan menjalinkan hubungan mesra sejajar dengan kewujudan dua kelompok ini di sekolah. Namun, jika kita perhatikan di kebanyakan sekolah kedua-dua kelompok ini sering bersaing antara satu sama lain.
Mungkin ada yang berpendapat bahawa soal pertentangan antara kumpulan guru dan staf sokongan merupakan isu yang kecil dan hanyalah 'ribut di dalam cawan' dalam sesebuah sekolah. Namun, kadang-kala pertentangan ini boleh menjejaskan hubungan peribadi antara dua kelompok manusia ini. Keadaan ini pastinya akan mencetuskan kekeruhan dalam organisasi yang memungkinkan terjejasnya prestasi dalam sesebuah organisasi.
Sebenarnya, pertentangan dua kelompok ini kadang-kala berpunca daripada ketidakfahaman tentang agihan tugas dan peranan masing-masing dalam organisasi. Setiap kelompok perlu memahami peranan mereka masing-masing agar tidak wujud pertindihan tugas atau wujud situasi seolah-olah guru diberikan tugas perkeranian. Jika wujud keadaan itu, maka sudah pasti akan timbul rasa tidak puashati pihak yang terlibat.
Dalam soal ini, jelas bahawa peranan golongan pentadbir amat penting bagi mewujudkan hubungan yang harmonis antara kedua-kedua kelompok ini. Pentadbir perlu dilihat bijaksana dan adil dalam merungkai permasalahan yang memungkinkan wujud pertentangan antara kelompok guru dan staf. Jika, pentadbir gagal untuk berlaku adil maka pastinya wujud perasaan tidak puashati antara kedua-dua kelompok ini tadi. Malahan, dalam soal ini, pentadbir bukan sahaja perlu adil malahan perlu juga kelihatan adil kerana kadang-kala pentadbir telah bersikap adil tetapi persepsi kelompok tertentu mungkin menjadikan keadilan itu seperti suatu ketidakadilan. Lantaran itu, tugas pentadbir untuk mengurus persepsi itu menuntut kebijaksanaan dan kecermatan.
Jelasnya, selagi kedua-dua kelompok yakni guru dan staf tidak memahami bidang tugas dan peranan masing-masing, maka pertentangan ini pasti akan wujud. Sedangkan kewujudan kelompok ini saling perlu memerlukan antara satu sama lain. Dalam soal ini biarlah hubungan ini bersifat simbiosis dan bukannya bersifat parasit. wassalam.

0 ulasan:

Perjuanganku

Memartabat Agama Islam dan Bahasa Melayu sehingga diletakkan di tempat yang selayaknya.

Dimanakah Anda?

Tetamu