Isnin, Ogos 31, 2009

Merdeka! Merdeka! Merdeka!


Ungkapan penuh keramat ini bukan sekadar laungan. Merdeka membawa pengertian yang amat besar kepada setiap warga Malaysia jika kita benar-benar memahami erti kemerdekaan. Bebas dan lepas daripada cengkaman penjajahan satu hal yang penting, namun kini yang lebih penting ialah memastikan kita benar-benar merdeka. Apalah ertinya merdeka jika perkara yang diperjuangkan oleh generasi terdahulu masih lagi terjajah. Dalam soal ini bahasa Melayu dan agama Islam masih tidak mendapat tempat yang sewajarnya.

Bahasa Melayu masih lagi tidak diyakini dapat menyampaikan ilmu pengetahuan terutama dalam ilmu sains dan teknologi. Yang tidak yakin kepada bahasa Melayu bukanlah orang asing tetapi orang Melayu sendiri. Jelaslah bahawa, pemikiran segelintir daripada kita masih lagi terbelenggu dengan penjajahan dengan melihat hanya bahasa Inggeris sahaja yang boleh mengungkap ilmu sains san teknologi moden.

Agama Islam masih lagi tidak mendapat tempat yang sewajarnya. Agama ini tidak dilihat sebagai ad-din tetapi hanya ritual agama semata-mata. Sebagai satu contoh, agama Islam sebagai agama rasmi hanyalah sekadar sisipan doa pada permulaan acara rasmi kerajaan, tidak lebih dari itu. Sedang masih banyak acara yang tidak mengambarkan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan. Walhal, Islam bukan sekadar ritual agama tetapi merupakan cara hidup meliputi ekonomi, politik, sosial, perundangan dan sebagainya. Cuba fikirkan berapa peratuskah tuntutan agama ini dipenuhi dalam kehidupan kita ini?


Sesungguhnya, perjalanan mengisi kemerdekaan itu lebih payah dan sukar daripada mencapainya. Memang benarlah ungkapan tersebut. Jadi marilah kita insafi bahawa kemerdekaan itu masih perlu diperjuangkan. Jika dahulu perjuangannya adalah untuk memerdekakan nusa, tetapi kini perjuangannya adalah untuk mengisi erti kemerdekaan itu dalam erti kata yang sebenarnya. Merdeka! Merdeka! Merdeka! Wassalam.


Baca selengkapnya......

Sabtu, Ogos 22, 2009

Ramadhan Al Mubarak

Sempena kedatangan bulan Ramadhan ini saya ingin mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa kepada seluruh umat Islam. Semoga puasa dan amal ibadah kita pada bulan yang diberkati ini diterima oleh Allah s.w.t. Saya amat tertarik dengan saranan ustaz Suhaimi Lana pada sesi kuliah subuh beliau tadi, bahawa kita perlu membuat satu "senarai semak muhasabah diri" yang menyenaraikan semua tuntutan wajib dan sunat sepanjang hari dan ditandakan jika berjaya dilaksanakan. Praktisnya, jika kita mempunyai senarai semak tersebut, maka kita boleh membuat satu perubahan terhadap cara kita beribadah. Malahan, senarai semak tersebut akan menjadikan amal ibadah kita lebih terurus dan terorganisasi. Cukup baik jika dapat kita amalkan. Wassalam.

Baca selengkapnya......

Ahad, Ogos 16, 2009

Bahasa Melayu, Bahasa Penyatuan

Sejak sebelum merdeka, Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai kepelbagaian kaum lantaran dasar penjajah British mengambil buruh dari China dan India. Sejak itu, para penduduk Tanah Melayu telah terbahagi kepada tiga kaum yakni kaum Melayu, Cina, dan India. Malahan sebenarnya kaum Melayu itu sendiri terdiri daripada pelbagai pecahan etnik seperti Jawa, Banjar, Mendeling, Acheh, Bugis, dan sebagainya. Kepelbagaian kaum dan etnik ini bertambah rencam apabila Malaysia ditubuhkan dengan memasukkan Sabah dan Sarawak sebagai satu entiti dalam Persekutuan Malaysia. Di Sabah sahaja penduduknya terdiri daripada sekurang-kurangnya 30 kumpulan etnik dengan menggunakan lebih daripada 50 bahasa dan tidak kurang daripada 90 dialek. Keadaan ini menggambarkan betapa Malaysia memerlukan satu bahasa penyatuan yang dapat menjalinkan ikatan antara kaum ini.
Sememangnya sejak sebelum merdeka lagi kita dapati para pembina negara ini telah melihat bahawa bahasa penyatuan yang paling ideal ialah bahasa Melayu. Hal ini kerana bahasa Melayu merupakan satu bahasa yang amat sederhana dan amat mudah dipelajari. Malahan, bahasa ini juga telah menjadi lingua franca di nusantara ini, meskipun di nusantara ini sahaja terdapat ratusan bahasa lain yang dituturkan. Oleh yang demikian, adalah tepat untuk kita sama-sama memperkukuh penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan rakyat demi memperkasa perpaduan di negara ini. Wassalam.

Baca selengkapnya......

Perjuanganku

Memartabat Agama Islam dan Bahasa Melayu sehingga diletakkan di tempat yang selayaknya.

Dimanakah Anda?

Tetamu