Isnin, Ogos 31, 2009

Merdeka! Merdeka! Merdeka!


Ungkapan penuh keramat ini bukan sekadar laungan. Merdeka membawa pengertian yang amat besar kepada setiap warga Malaysia jika kita benar-benar memahami erti kemerdekaan. Bebas dan lepas daripada cengkaman penjajahan satu hal yang penting, namun kini yang lebih penting ialah memastikan kita benar-benar merdeka. Apalah ertinya merdeka jika perkara yang diperjuangkan oleh generasi terdahulu masih lagi terjajah. Dalam soal ini bahasa Melayu dan agama Islam masih tidak mendapat tempat yang sewajarnya.

Bahasa Melayu masih lagi tidak diyakini dapat menyampaikan ilmu pengetahuan terutama dalam ilmu sains dan teknologi. Yang tidak yakin kepada bahasa Melayu bukanlah orang asing tetapi orang Melayu sendiri. Jelaslah bahawa, pemikiran segelintir daripada kita masih lagi terbelenggu dengan penjajahan dengan melihat hanya bahasa Inggeris sahaja yang boleh mengungkap ilmu sains san teknologi moden.

Agama Islam masih lagi tidak mendapat tempat yang sewajarnya. Agama ini tidak dilihat sebagai ad-din tetapi hanya ritual agama semata-mata. Sebagai satu contoh, agama Islam sebagai agama rasmi hanyalah sekadar sisipan doa pada permulaan acara rasmi kerajaan, tidak lebih dari itu. Sedang masih banyak acara yang tidak mengambarkan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan. Walhal, Islam bukan sekadar ritual agama tetapi merupakan cara hidup meliputi ekonomi, politik, sosial, perundangan dan sebagainya. Cuba fikirkan berapa peratuskah tuntutan agama ini dipenuhi dalam kehidupan kita ini?


Sesungguhnya, perjalanan mengisi kemerdekaan itu lebih payah dan sukar daripada mencapainya. Memang benarlah ungkapan tersebut. Jadi marilah kita insafi bahawa kemerdekaan itu masih perlu diperjuangkan. Jika dahulu perjuangannya adalah untuk memerdekakan nusa, tetapi kini perjuangannya adalah untuk mengisi erti kemerdekaan itu dalam erti kata yang sebenarnya. Merdeka! Merdeka! Merdeka! Wassalam.


0 ulasan:

Perjuanganku

Memartabat Agama Islam dan Bahasa Melayu sehingga diletakkan di tempat yang selayaknya.

Dimanakah Anda?

Tetamu