Rabu, Oktober 07, 2009

Kehebatan Bahasa Melayu


Apabila kita berada di gugusan kepulauan Melayu yakni meliputi Malaysia, Indonesia, Singapura, dan Brunei kita tidak akan menghadapi sebarang kesukaran dan tersesat jalan jika tahu berbahasa Melayu. Bahasa Melayu difahami oleh hampir keseluruhan umat manusia di nusantara ini kecuali segelintir yang bengap dan tidakketahuan..

Bahasa Melayu ialah salah satu bahasa yang penggunaannya sangat meluas dan bilangan penutur pun sangat besar. Sejarah pertumbuhan dan perkembangan bahasa Melayu membuktikan bahawa bahasa itu sebenarnya merupakan salah satu bahasa yang bermartabat dan digunakan untuk menyatukan pelbagai bangsa, terutama di Asia Tenggara.


Dari segi sejarah, bahasa Melayu berasal daripada rumpun bahasa Austronesia. Apabila diperhatikan filum bahasa, maka bahasa Melayu berasal daripada filum Austrik/Austris, lalu daripada rumpunnya, maka bahasa Melayu merupakan rumpun bahasa Austronesia. Beberapa orang pakar sejarah bahasa menyebutnya sebagai rumpun bahasa Melayu-Polinesia.

Bahasa Melayu berkembang menjadi pelbagai dialek dan subdialek. Sebenarnya, bahasa Melayu, sejak awal lagi, telah tersebar di beberapa buah daerah di Asia Tenggara. Bahasa Melayu yang tersebar ini berkembang secara bertahap-tahap, iaitu dari satu zaman ke satu zaman. Mengikut Amat Juhari Moain dalam Sejarah Rumpun Bahasa Melayu, perkembangan bahasa Melayu terbahagi kepada lima zaman, iaitu zaman bahasa Melayu purba, zaman bahasa Melayu kuno, zaman bahasa Melayu klasik, zaman bahasa Melayu peralihan atau pramoden, dan zaman bahasa Melayu moden.

Setiap zaman tersebut mempunyai ciri dan fungsi tersendiri. Banyak kata serta gubahan sastera yang menandai setiap zaman tersebut. Peninggalan bahasa sejak zaman dahulu lebih banyak ditemukan dalam bentuk peninggalan artifak, sama ada tulisan yang ditulis di atas kayu, batu, ataupun daun, seperti daun lontar. Setelah wujudnya mesin cetak, barulah peninggalan bahasa dapat ditemukan dalam bentuk tulisan yang lebih kemas di atas kertas.

Dunia telah melihat beberapa banyak negara yang masih bertengkar dan bertelagah, bahkan lebih buruk lagi berperang hanya untuk menentukan bahasa yang akan dijadikan sebagai bahasa penyatuan dan bahasa kesatuan (contohnya, India menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasminya, walaupun ada banyak bahasa daerah yang telah wujud sebelum kemerdekaan). Ada pula negara yang sememangnya tidak mempunyai bahasa persatuan yang dapat diangkat sebagai bahasa rasmi negara sehingga terpaksa meminjam bahasa bangsa lain untuk dijadikan sebagai bahasa persatuan. Misalnya, Cameroon terpaksa menggunakan bahasa Inggeris dan bahasa Perancis sebagai bahasa rasminya. Oleh sebab persoalan kebahasaan yang sangat erat hubungannya dengan penuturnya, bahasa Melayu turut terbabit.

Pada suatu masa, Melayu begitu bersinonim dengan Islam, sehingga ada tanggapan bahawa kalau seseorang itu Melayu, dia mestilah Islam. Orang Minangkabau sebagai bangsa Melayu pun mempunyai tanggapan seperti itu, iaitu orang Minangkabau mestilah orang Islam. Sekarang, nampaknya tanggapan itu telah bergeser kerana tidak dapat dinafikan bahawa ada sebilangan kecil orang Melayu yang bukan Islam lagi. Oleh sebab itu, apakah yang dapat digunakan sebagai rujukan terhadap Melayu? Jawapannya ialah bahasa. Bahasalah yang dapat menyatukan orang Melayu yang tersebar di setiap pelosok alam. Ciri bahasa Melayu yang sederhana, tidak mengenal tingkat bahasa, serta mudah dipelajari menjadi perekat dan penanda antara satu bangsa Melayu dengan bangsa Melayu yang lain.

Banyak bukti yang menunjukkan bahawa bahasa dan bangsa Melayu telah tersebar bukan sahaja di Asia Tenggara, malah di luar dunia Melayu. Menurut C.A. Mess, bahasa Melayu terdapat di Tanah Melayu, di pantai timur laut Sumatera, di kepulauan Riau, di Palembang, di Kampar, di Jambi, di Medan, serta di pantai Kalimantan. Menurut R.O. Winstedt pula, bahasa Melayu terdapat di semenanjung Tanah Melayu, termasuk di negeri Selat, di Pattani, di kepulauan Riau, di pantai timur Sumatera, dan di pantai barat Borneo.

Encyclopedia Britannica yang diterbitkan pada tahun 1963 mencatatkan bahawa bahasa Melayu menjadi bahasa bagi penduduk asli di semenanjung Tanah Melayu, di pantai timur Sumatera, di seluruh pantai Borneo (Kalimantan), di kepulauan Riau, di Bangka, di Belitung, dan di Natuna Besar. D.J. Prentice berpendapat bahawa daerah penutur asli bahasa Melayu ialah di kawasan Tanah Melayu sehingga selatan Thailand (Pattani), di sepanjang pantai timur Sumatera, di kepulauan Riau, di sepanjang pesisir Kalimantan Barat, Kalimantan Selatan, dan Kalimantan Timur, di Brunei, di pantai barat Sabah, di Sarawak, di Singapura, di Jakarta, di Larantuka, di Kupang, di Makasar, di Menado, di Ternate, di Banda, dan di Ambon.

Selain wilayah Melayu, ternyata bahawa bahasa Melayu pun dapat ditemukan di Sri Lanka dan di Afrika Selatan. Hal ini membuktikan bahawa bahasa Melayu, pada masa jayanya sehingga sekarang, digunakan hampir-hampir di merata tempat di Asia Tenggara sehingga wilayah di luar penyebaran bahasa itu. Apakah erti semua hal ini?

Ertinya ialah bahawa bahasa Melayu mempunyai potensi untuk dijadikan sebagai bahasa perhubungan antara kaum dan bahasa perhubungan antarabangsa. Bahasa Melayu bukanlah sekadar bahasa kelas bawah, malah digunakan dalam majlis rasmi dan untuk berbagai-bagai keperluan pendidikan serta mesyuarat yang dihadiri oleh pelbagai kaum. Sebagai bahasa perhubungan antara kaum, hal ini telah pun dibuktikan dengan menghubungkan kaum di Indonesia, di Malaysia, dan di Singapura. Namun demikian, sebagai bahasa perhubungan antarabangsa, dapatkah impian ini menjadi kenyataan?...InsyaAllah.

 .

0 ulasan:

Perjuanganku

Memartabat Agama Islam dan Bahasa Melayu sehingga diletakkan di tempat yang selayaknya.

Dimanakah Anda?

Tetamu