Sabtu, Oktober 03, 2009

Seminar Bahasa dan Realitinya


Perjuangan orang kini amat mudah. Cukup dengan berseminar kita berasakan bahawa perjuangan kita akan berjaya. Semasa berseminar satu pihak(biasanya cerdik pandai)akan membentangkan kertas kerja dan satu pihak lagi akan mendengar. Pada hari terakhir pihak penganjur seminar akan membuat resolusi dan para hadirin bersetuju dengan resolusi tersebut. Berakhir satu lagi seminar, sebelum ke seminar seterusnya.   Bukankah perjuangan seperti ini amat mudah? Tidak perlu berpeluh ketiak dan bermandi keringat dan tiada darah yang menitis. Perjuangan yang 'simple' dan mudah. Namun, benarkah perjuangan semudah itu? Jika semudah itu saya orang pertama yang mengangkat tangan ingin turut serta.
Tetapi bagi saya perjuangan dalam keadaan bagaimanapun pasti ada jalan sukarnya, tidak mungkin semudah itu satu perjuangan. Namun, pada pengamatan saya begitulah perjuangan beberapa pejuang bahasa di negara ini.  Cukup dengan berseminar dan berdiskusi di bilik berhawa dingin dan diulit bangku empuk dianggap perjuangan mendaulatkan bahasa.
Jika beginilah caranya, percayalah bahawa bahasa Melayu akan terus layu dalam asakkan era globalisasi yang terus mengecilkan peranannya dalam pelbagai bidang. Percayalah, perjuangan bukanlah perjalanan yang mudah berhampar permaidani merah. Hakikat perjuangan adalah payah dan sukar dan menekan perasaan. Malahan, perjuangan tidak pernah berhenti sehinggalah nafas terhenti. Namun jika kita berasakan perjuangan memartabatkan bahasa Kebangsaan yang kita cintai ini cukup dengan berseminar dan berkolukium maka 'tepuklah dada tanyalah selera'. Wassalam

0 ulasan:

Perjuanganku

Memartabat Agama Islam dan Bahasa Melayu sehingga diletakkan di tempat yang selayaknya.

Dimanakah Anda?

Tetamu