Rabu, November 11, 2009

Istiqamah


ISTIQAMAH- ungkapan yang amat sukar untuk dicapai secara praktiknya. Dalam apa jua pekerjaan dan tindakan istiqamah sangat penting. Sesuatu amalan yang sedikitpun jika istiqamah lebih baik berbanding amalan yang banyak tetapi tidak istiqamah. Saya masih ingat lagi ketika saya belajar di Universiti Sains Malaysia saya pernah mendengar satu Bayan yang disampaikan oleh seorang sahabat. Antara intipati bayan beliau ialah tentang istiqamah. Sesuatu yang menarik tentang bayan beliau ialah apabila beliau membuat analogi tentang istiqamah dengan perbuatan seseorang yang menarik timba dari telaga yang amat dalam dan gelap. Kita terus sahaja menarik timba itu tanpa kita dapat melihat timba itu sendiri. dan kita juga tidak tahu bilakah timba itu sampai pada tangan kita. Jika kita tidak terus menarik tali timba itu dengan sabar lantas kita melepaskan sahaja tali itu pasti kita rugi kerana mungkin timba itu sudah hampir kepada kita. Begitulah dengan istiqamah, kita tidak pernah tahu bilakah dan apakah amalan kita akan diterima oleh Allah. Jika kita berhenti mengerjakan sesuatu amalan sedangkan mungkin kita telah hampir mendapat pertolongan dan kasih sayang Allah maka rugilah kita. 
Istiqamah merupakan amalan yang memerlukan mujahadah. Amat mudah disebut tapi amat payah untuk diamalkan. Pernah saya mendengar suatu pesanan orang lama. Solat malam dua rakaat yang dikerjakan secara istiqamah itu lebih baik daripada solat 100 rakaat tetapi itulah yang pertama dan terakhir. Saya berpesan kepada diri saya dan saudara sekalian bermujadahlah pada sesuatu amalan secara istiqamah, sehingga timbul satu perasaan dalam jiwa kita, jika kita meninggalkan amalan itu walaupun sekali maka kita berasakan hidup kita pada hari itu tidak sempurna. Maka pada saat itu saudaralah orang paling beruntung. 
Sebagai permulaan, marilah kita sama-sama memikirkan satu amalan yang kita rasakan 'simple' untuk kita amalkan secara istiqamah. Sebagai permulaan mungkin menderma RM 1.00 pada setiap hari tanpa gagal. Apa macam ada berani?     

0 ulasan:

Perjuanganku

Memartabat Agama Islam dan Bahasa Melayu sehingga diletakkan di tempat yang selayaknya.

Dimanakah Anda?

Tetamu