Khamis, Julai 23, 2009

Memperkukuh pendirian, Menerang Jalan

  1. Pada hari ini saya membuat satu ketetapan dalam meneruskan perjuangan mendaulatkan agama dan bahasa bangsa yakni dengan menukar nama blog ini kepada "Akar Bangsa" daripada nama asalnya Mahfuza Mahmud.
  2. Perubahan ini merupakan satu tanda pengukuhan kepada wajah blog ini yang bercitrakan perjuangan mendaulatkan agama Islam dan bahasa bangsa Melayu.
  3. Kenapa "Akar Bangsa" yang saya pilih sebagai nama baru blog ini? Jawapannya kerana dua elemen penting yang menjadi akar bangsa Melayu ialah agama Islam dan bahasa Melayu. Jadi Blog ini akan menjurus kepada perjuangan mendaulatkan dua elemen penting bangsa Melayu ini. Oleh sebab kedua-dua elemen ini merupakan akar kepada bangsa Melayu maka saya telah mengambil keputusan menamakan blog ini kepada "Akar Bangsa"
  4. Jadi selepas ini arah tuju dan pengisian blog ini akan lebih menjurus kepada perjuangan meninggikan agama Islam dan bahasa Melayu. Insyaallah.

Baca selengkapnya......

Selasa, Julai 21, 2009

Renungan

“Yang besar, ancaman datang daripada golongan Melayu yang kurang percaya pada kebolehan bahasa Melayu. Ini menyebabkan mereka hilang harapan dan terkapai-kapai apabila bahasa Inggeris akan digantikan dengan bahasa Melayu. Ini adalah keadaan yang biasa pada bangsa-bangsa yang dijajah, hasil penjajahan di alam fikiran dan kehidupan sesetengah masyarakat kita.”- Aminuddin Baki - Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga, 1956 (6 Januari 1925-25 Disember 1965)

Baca selengkapnya......

Rabu, Julai 08, 2009

Dasar PPSMI dimansuhkan

Alhamdulillah syukur kepada Allah s.w.t kerana telah membuka hati ahli kabinet Malaysia untuk memansuhkan sama sekali dasar PPSMI pada tahun 2012. Keputusan ini merupakan satu kemenangan kepada bahasa Melayu dan para pejuangnya. Menurut Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Pelajaran Malaysia proses pemansuhan itu akan dilaksanakan secara bertahap yakni bagi pelajar tahun satu dan tahun empat di sekolah rendah dan pelajar tingkatan satu dan tingkatan empat di sekolah menengah pada tahun 2012.
Jelasnya lagi kaedah pengajaran bahasa Melayu dan Inggeris akan dimantapkan meliputi kaedah pengajaran modular bersepadu, seimbang dan holistik. Modul yang disediakan meliputi aspek kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis, serta penguasaan tatabahasa dan seni bahasa. Di samping pendekatan didik hibur dan apresiasi bahasa diberi penekanan dalam kurikulum bahasa Melayu di sekolah rendah.
Tegasnya, kita berasa bersyukur dan amat berterima kasih kepada kerajaan kerana telah mengembalikan semula martabat Bahasa Kebangsaan di tempat yang selayaknya. Moga pelaksanaan PPSMI selama enam tahun itu menjadi pengajaran berguna kepada semua pihak. Kepada guru-guru sains dan matematik marilah kita bersama-sama berganding bahu memartabat bahasa Melayu di arena pendidikan negara. Wassalam.

Baca selengkapnya......

Selasa, Julai 07, 2009

Saat Mendebarkan

Esok dijangka keputusan berkaitan pelaksanaan dasar PPSMI akan dibentangkan di Kabinet dan akan diumumkan kepada khalayak umum. Saat ini amat dinantikan oleh pelbagai pihak sama ada pihak pendukung PPSMI atau pihak engkar PPSMI. Namun kita amat mengharapkan agar keputusan itu memberikan seribu kebaikan kepada usaha memartabatkan Bahasa Kebangsaan yakni bahasa Melayu. Kepada mereka yang telah lama berjuang dan mencintai bahasa Melayu, pada saat ini tingkatkan usaha berdoa dan bermunajat kepada Allah s.w.t. agar ahli Kabinet Malaysia didorongkan hati untuk memartabatkan bahasa Melayu dan menghapuskan dasar PPSMI. Wassalam

Baca selengkapnya......

Jumaat, Julai 03, 2009

Kakitangan Sokongan vs Guru

Dalam dunia pendidikan banyak sekali pertentangan dan kerumitan yang berlaku setiap hari. Dalam hal ini, kita tidak boleh menafikan akan permasalahan yang melibatkan dua kelompok dalam persekitaran sekolah iaitu kelompok guru dan staf sokongan di kebanyakan sekolah. Sebenarnya, dua kelompok ini sewajibnya saling bantu-membantu dan menjalinkan hubungan mesra sejajar dengan kewujudan dua kelompok ini di sekolah. Namun, jika kita perhatikan di kebanyakan sekolah kedua-dua kelompok ini sering bersaing antara satu sama lain.
Mungkin ada yang berpendapat bahawa soal pertentangan antara kumpulan guru dan staf sokongan merupakan isu yang kecil dan hanyalah 'ribut di dalam cawan' dalam sesebuah sekolah. Namun, kadang-kala pertentangan ini boleh menjejaskan hubungan peribadi antara dua kelompok manusia ini. Keadaan ini pastinya akan mencetuskan kekeruhan dalam organisasi yang memungkinkan terjejasnya prestasi dalam sesebuah organisasi.
Sebenarnya, pertentangan dua kelompok ini kadang-kala berpunca daripada ketidakfahaman tentang agihan tugas dan peranan masing-masing dalam organisasi. Setiap kelompok perlu memahami peranan mereka masing-masing agar tidak wujud pertindihan tugas atau wujud situasi seolah-olah guru diberikan tugas perkeranian. Jika wujud keadaan itu, maka sudah pasti akan timbul rasa tidak puashati pihak yang terlibat.
Dalam soal ini, jelas bahawa peranan golongan pentadbir amat penting bagi mewujudkan hubungan yang harmonis antara kedua-kedua kelompok ini. Pentadbir perlu dilihat bijaksana dan adil dalam merungkai permasalahan yang memungkinkan wujud pertentangan antara kelompok guru dan staf. Jika, pentadbir gagal untuk berlaku adil maka pastinya wujud perasaan tidak puashati antara kedua-dua kelompok ini tadi. Malahan, dalam soal ini, pentadbir bukan sahaja perlu adil malahan perlu juga kelihatan adil kerana kadang-kala pentadbir telah bersikap adil tetapi persepsi kelompok tertentu mungkin menjadikan keadilan itu seperti suatu ketidakadilan. Lantaran itu, tugas pentadbir untuk mengurus persepsi itu menuntut kebijaksanaan dan kecermatan.
Jelasnya, selagi kedua-dua kelompok yakni guru dan staf tidak memahami bidang tugas dan peranan masing-masing, maka pertentangan ini pasti akan wujud. Sedangkan kewujudan kelompok ini saling perlu memerlukan antara satu sama lain. Dalam soal ini biarlah hubungan ini bersifat simbiosis dan bukannya bersifat parasit. wassalam.

Baca selengkapnya......

Perjuanganku

Memartabat Agama Islam dan Bahasa Melayu sehingga diletakkan di tempat yang selayaknya.

Dimanakah Anda?

Tetamu