Selasa, Oktober 20, 2009

Bahasa Melayu di SJK


Selepas 52 tahun Malaysia merdeka, negara ini masih lagi berhadapan dengan masalah perpaduan.  Perpaduan di Malaysia bolehlah diibaratkan seperti sebuah lubuk yang dalam, yakni tenang di permukaan tetapi bergelora di dasarnya. Sepertimana sifat sebuah lubuk berbahaya dan sukar dijangka. Sebenarnya perpaduan di Malaysia amatlah rapuh kerana jika kita lihat disebabkan isu yang amat remeh bisa merebak menjadi api menyala-nyala..
Persoalannya kenapakah hal ini berlaku? Apakah tempoh masa 52 tahun amat singkat untuk kita membina nilai perpaduan dalam masyarakat? persoalan-persoalan ini sebenarnya amat sukar untuk dijawab dalam ruang yang sesempit ini. Persoalan ini terlalu besar dan rumit sekali. Namun saya ingin meluahkan pandangan saya tentang aspek pendidikan yang menyumbang kepada kerapuhan nilai perpaduan di Malaysia kini. 
Malaysia sejak penubuhannya bermula dengan kemerdekaan Tanah Melayu sehinggalah penubuhan Malaysia pada tahun 1963 telah mengamalkan satu sistem pendidikan yang tidak ada di mana-mana negara di dunia ini. Dalam hal ini, sistem persekolahan di negara ini terpecah kepada tiga aliran yang berbeza yakni aliran Kebangsaan (SK dan SMK), aliran Cina(SRJKC dan SMJKC), dan aliran Tamil (SRJKT). Meskipun, semua aliran ini menggunakan satu sistem kurikulum dan peperiksan yang sama tetapi menggunakan bahasa pengantar yang berbeza. Meskipun, tidak salah kita mempelajari bahasa ibunda masing-masing tetapi kita memerlukan satu bahasa perdana yang dapat menyatukan kita semua.
Dalam soal ini, bahasa Melayu telah diiktiraf oleh generasi terdahulu sebagai Bahasa Kebangsaan, maka bahasa yang paling layak menjadi bahasa perdana tersebut ialah bahasa Melayu. Bukan itu sahaja sebabnya, selain itu, bahasa ini juga merupakan bahasa yang hampir difahami oleh semua bangsa di Malaysia ini. Atas dasar ini maka kedudukan bahasa Melayu perlu diperkukuhkan dalam semua aliran pendidikan di negara ini. Dalam hal ini, saya melihat tidak ada sebarang masalah di sekolah kebangsaan tetapi terdapat masalah di aliran Cina dan Tamil. Dengan peruntukan masa belajar bahasa Melayu sebanyak 180  hingga 270 minit di sekolah aliran tersebut maka penguasaan bahasa dalam kalangan murid di sekolah tersebut amat minimal.  Murid-murid hanya mempelajari bahasa Melayu sebanyak tiga waktu seminggu. Jumlah ini amat sedikit berbanding dengan kepentingan menguasai bahasa Melayu sebagai alat perpaduan di negara ini. Maka cadangan memperluas pengunaan Bahasa Kebangsaan di sekolah aliran Cina dan Tamil perlu disambut dengan baik. Waktu belajar bahasa Melayu perlu ditambah dan penggunaan bahasa Melayu dalam subjek bukan teras merupakan satu pilihan yang tepat pada masa ini. Malahan, pendedahan akhbar Berita Harian dalam rencananya(boleh dilihat di sini) dalam akhbar tersebut pada hari ini (20 Oktober 2009) bahawa terdapat guru-guru yang mengajar bahasa Melayu dalam bahasa Cina perlu dipandang serius oleh pihak kementerian Pelajaran.
Namun, cadangan yang amat baik ini telah disambut dingin oleh Pertubuhan Jiao Zong (Pertubuhan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia) malahan, hujah beremosi Pengerusinya, Ong Chiaw Chuan amat dikesali. Sepatutnya beliau menyambut baik cadangan tersebut kerana cadangan itu akan memberikan kebaikan kepada anak-anak bangsanya. Dan lebih besar lagi nilai perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di Malaysia.
Tuntasnya, peranan bahasa Melayu sebagai enjin perpaduan perlu diperkuatkan di sekolah aliran Cina dan Tamil di negara ini. Anak-anak kita perlu didedahkan dengan penggunaan bahasa Melayu yang betul dengan lebih luas lagi. Janganlah hendaknya dalam usia negara melebihi separuh abad ini, masih ada lagi rakyat Malaysia yang bertutur bahasa Melayu seolah-olah mereka baru sahaja berhijrah ke negara ini seperti bertuturnya pekerja-pekerja Bangladesh yang baru sebulan tiba ke negara ini. Kita mengharapkan sistem pendidikan di negara ini dapat melahirkan rakyat yang fasih berbahasa Melayu malahan berbangga dengan bahasa tersebut. Wassalam


Baca selengkapnya......

Jumaat, Oktober 16, 2009

Nikmat Sihat Sebelum Sakit


Telah menjadi sunnatullah setiap makhluk pasti akan merasai kesakitan dan kelesuan pada satu detik dalam kehidupan fana ini. Kesihatan merupakan nikmat yang amat berharga kepada setiap makhluk hidup. Tanpa kesihatan maka segala nikmat yang lain pasti tidak dapat kita rasai sepenuhnya. Namun, kita perlu menyedari bahawa kesakitan dan kesihatan merupakan suatu nikmat yang dikurniakan oleh Allah s.w.t untuk menguji hamba-hambanya.  Kita pasti akan lebih menghargai nikmat kesihatan apabila kita sakit. Sesuatu yang perlu kita ketahui ialah segala amal ibadah yang dilakukan secara istiqamah semasa kita sihat akan kita peroleh pahalanya semasa kita sakit meskipun pada saat itu kita tidak lagi mampu melakukannya. Sebagai contoh, jika kita beristiqamah dalam solat berjemaah semasa sihat, apabila badan telah uzur maka tubuh tidak lagi mampu ke masjid, InsyaAllah pahala akan tetap mengalir dalam kitab amalan kita. Ini semua kerana rahmat dan kemurahan Allah s.w.t. Jadi tika badan masih lagi sihat perbanyakkanlah amal ibadah. Dan yang terpenting sekali perlu ISTIQAMAH. Wassalam.

Baca selengkapnya......

Rabu, Oktober 07, 2009

Melayu Pada Suatu Masa Dahulu


Gambar diambil daripada buku Kelantan : a state of the Malay peninsula – a handbook of information by W.A. Graham publisher Glasgow : Glasgow U. P., 1908.







.

Baca selengkapnya......

Kehebatan Bahasa Melayu


Apabila kita berada di gugusan kepulauan Melayu yakni meliputi Malaysia, Indonesia, Singapura, dan Brunei kita tidak akan menghadapi sebarang kesukaran dan tersesat jalan jika tahu berbahasa Melayu. Bahasa Melayu difahami oleh hampir keseluruhan umat manusia di nusantara ini kecuali segelintir yang bengap dan tidakketahuan..

Bahasa Melayu ialah salah satu bahasa yang penggunaannya sangat meluas dan bilangan penutur pun sangat besar. Sejarah pertumbuhan dan perkembangan bahasa Melayu membuktikan bahawa bahasa itu sebenarnya merupakan salah satu bahasa yang bermartabat dan digunakan untuk menyatukan pelbagai bangsa, terutama di Asia Tenggara.


Dari segi sejarah, bahasa Melayu berasal daripada rumpun bahasa Austronesia. Apabila diperhatikan filum bahasa, maka bahasa Melayu berasal daripada filum Austrik/Austris, lalu daripada rumpunnya, maka bahasa Melayu merupakan rumpun bahasa Austronesia. Beberapa orang pakar sejarah bahasa menyebutnya sebagai rumpun bahasa Melayu-Polinesia.

Bahasa Melayu berkembang menjadi pelbagai dialek dan subdialek. Sebenarnya, bahasa Melayu, sejak awal lagi, telah tersebar di beberapa buah daerah di Asia Tenggara. Bahasa Melayu yang tersebar ini berkembang secara bertahap-tahap, iaitu dari satu zaman ke satu zaman. Mengikut Amat Juhari Moain dalam Sejarah Rumpun Bahasa Melayu, perkembangan bahasa Melayu terbahagi kepada lima zaman, iaitu zaman bahasa Melayu purba, zaman bahasa Melayu kuno, zaman bahasa Melayu klasik, zaman bahasa Melayu peralihan atau pramoden, dan zaman bahasa Melayu moden.

Setiap zaman tersebut mempunyai ciri dan fungsi tersendiri. Banyak kata serta gubahan sastera yang menandai setiap zaman tersebut. Peninggalan bahasa sejak zaman dahulu lebih banyak ditemukan dalam bentuk peninggalan artifak, sama ada tulisan yang ditulis di atas kayu, batu, ataupun daun, seperti daun lontar. Setelah wujudnya mesin cetak, barulah peninggalan bahasa dapat ditemukan dalam bentuk tulisan yang lebih kemas di atas kertas.

Dunia telah melihat beberapa banyak negara yang masih bertengkar dan bertelagah, bahkan lebih buruk lagi berperang hanya untuk menentukan bahasa yang akan dijadikan sebagai bahasa penyatuan dan bahasa kesatuan (contohnya, India menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasminya, walaupun ada banyak bahasa daerah yang telah wujud sebelum kemerdekaan). Ada pula negara yang sememangnya tidak mempunyai bahasa persatuan yang dapat diangkat sebagai bahasa rasmi negara sehingga terpaksa meminjam bahasa bangsa lain untuk dijadikan sebagai bahasa persatuan. Misalnya, Cameroon terpaksa menggunakan bahasa Inggeris dan bahasa Perancis sebagai bahasa rasminya. Oleh sebab persoalan kebahasaan yang sangat erat hubungannya dengan penuturnya, bahasa Melayu turut terbabit.

Pada suatu masa, Melayu begitu bersinonim dengan Islam, sehingga ada tanggapan bahawa kalau seseorang itu Melayu, dia mestilah Islam. Orang Minangkabau sebagai bangsa Melayu pun mempunyai tanggapan seperti itu, iaitu orang Minangkabau mestilah orang Islam. Sekarang, nampaknya tanggapan itu telah bergeser kerana tidak dapat dinafikan bahawa ada sebilangan kecil orang Melayu yang bukan Islam lagi. Oleh sebab itu, apakah yang dapat digunakan sebagai rujukan terhadap Melayu? Jawapannya ialah bahasa. Bahasalah yang dapat menyatukan orang Melayu yang tersebar di setiap pelosok alam. Ciri bahasa Melayu yang sederhana, tidak mengenal tingkat bahasa, serta mudah dipelajari menjadi perekat dan penanda antara satu bangsa Melayu dengan bangsa Melayu yang lain.

Banyak bukti yang menunjukkan bahawa bahasa dan bangsa Melayu telah tersebar bukan sahaja di Asia Tenggara, malah di luar dunia Melayu. Menurut C.A. Mess, bahasa Melayu terdapat di Tanah Melayu, di pantai timur laut Sumatera, di kepulauan Riau, di Palembang, di Kampar, di Jambi, di Medan, serta di pantai Kalimantan. Menurut R.O. Winstedt pula, bahasa Melayu terdapat di semenanjung Tanah Melayu, termasuk di negeri Selat, di Pattani, di kepulauan Riau, di pantai timur Sumatera, dan di pantai barat Borneo.

Encyclopedia Britannica yang diterbitkan pada tahun 1963 mencatatkan bahawa bahasa Melayu menjadi bahasa bagi penduduk asli di semenanjung Tanah Melayu, di pantai timur Sumatera, di seluruh pantai Borneo (Kalimantan), di kepulauan Riau, di Bangka, di Belitung, dan di Natuna Besar. D.J. Prentice berpendapat bahawa daerah penutur asli bahasa Melayu ialah di kawasan Tanah Melayu sehingga selatan Thailand (Pattani), di sepanjang pantai timur Sumatera, di kepulauan Riau, di sepanjang pesisir Kalimantan Barat, Kalimantan Selatan, dan Kalimantan Timur, di Brunei, di pantai barat Sabah, di Sarawak, di Singapura, di Jakarta, di Larantuka, di Kupang, di Makasar, di Menado, di Ternate, di Banda, dan di Ambon.

Selain wilayah Melayu, ternyata bahawa bahasa Melayu pun dapat ditemukan di Sri Lanka dan di Afrika Selatan. Hal ini membuktikan bahawa bahasa Melayu, pada masa jayanya sehingga sekarang, digunakan hampir-hampir di merata tempat di Asia Tenggara sehingga wilayah di luar penyebaran bahasa itu. Apakah erti semua hal ini?

Ertinya ialah bahawa bahasa Melayu mempunyai potensi untuk dijadikan sebagai bahasa perhubungan antara kaum dan bahasa perhubungan antarabangsa. Bahasa Melayu bukanlah sekadar bahasa kelas bawah, malah digunakan dalam majlis rasmi dan untuk berbagai-bagai keperluan pendidikan serta mesyuarat yang dihadiri oleh pelbagai kaum. Sebagai bahasa perhubungan antara kaum, hal ini telah pun dibuktikan dengan menghubungkan kaum di Indonesia, di Malaysia, dan di Singapura. Namun demikian, sebagai bahasa perhubungan antarabangsa, dapatkah impian ini menjadi kenyataan?...InsyaAllah.

 .

Baca selengkapnya......

Ahad, Oktober 04, 2009

Lebih Kuasa Untuk DBP



Tan Sri Muhyiddin Yassin mengatakan kerajaan bersedia menimbangkan permintaan agar Dewan Bahasa dan Pustaka diberikan lebih kuasa dalam memartabatkan Bahasa Kebangsaan. .Terima kasih YAB Tan Sri. Tetapi bila DBP sudah ada kuasa kelak kenalah pandai menggunakannya jangan simpan buat pekasam. Wassalam.

Baca selengkapnya......

Sabtu, Oktober 03, 2009

Seminar Bahasa dan Realitinya


Perjuangan orang kini amat mudah. Cukup dengan berseminar kita berasakan bahawa perjuangan kita akan berjaya. Semasa berseminar satu pihak(biasanya cerdik pandai)akan membentangkan kertas kerja dan satu pihak lagi akan mendengar. Pada hari terakhir pihak penganjur seminar akan membuat resolusi dan para hadirin bersetuju dengan resolusi tersebut. Berakhir satu lagi seminar, sebelum ke seminar seterusnya.   Bukankah perjuangan seperti ini amat mudah? Tidak perlu berpeluh ketiak dan bermandi keringat dan tiada darah yang menitis. Perjuangan yang 'simple' dan mudah. Namun, benarkah perjuangan semudah itu? Jika semudah itu saya orang pertama yang mengangkat tangan ingin turut serta.
Tetapi bagi saya perjuangan dalam keadaan bagaimanapun pasti ada jalan sukarnya, tidak mungkin semudah itu satu perjuangan. Namun, pada pengamatan saya begitulah perjuangan beberapa pejuang bahasa di negara ini.  Cukup dengan berseminar dan berdiskusi di bilik berhawa dingin dan diulit bangku empuk dianggap perjuangan mendaulatkan bahasa.
Jika beginilah caranya, percayalah bahawa bahasa Melayu akan terus layu dalam asakkan era globalisasi yang terus mengecilkan peranannya dalam pelbagai bidang. Percayalah, perjuangan bukanlah perjalanan yang mudah berhampar permaidani merah. Hakikat perjuangan adalah payah dan sukar dan menekan perasaan. Malahan, perjuangan tidak pernah berhenti sehinggalah nafas terhenti. Namun jika kita berasakan perjuangan memartabatkan bahasa Kebangsaan yang kita cintai ini cukup dengan berseminar dan berkolukium maka 'tepuklah dada tanyalah selera'. Wassalam

Baca selengkapnya......

Khamis, Oktober 01, 2009

Bulan Bahasa

Bulan Oktober merupakan Bulan Bahasa Kebangsaan. Tema bagi bulan bahasa pada tahun ini ialah "Bahasa Jiwa Bangsa". Tema lama yang dikitar semula.  

Baca selengkapnya......

Perjuanganku

Memartabat Agama Islam dan Bahasa Melayu sehingga diletakkan di tempat yang selayaknya.

Dimanakah Anda?

Tetamu