Ahad, Januari 24, 2010

Renungan

Nasihat dari Saidina Ali b. Abi Talib k.w:

"Amal ibadah itu memang meletihkan tetapi ingatlah keletihan itu akan hilang, tetapi pahalanya akan kekal selama-lamanya."
"Manakala maksiat itu memang menyeronokkan, tetapi ingatlah keseronokan akan hilang, tetapi dosanya akan kekal selama-lamanya."

Baca selengkapnya......

Isnin, Januari 18, 2010

Berdiri Menghormati Pemimpin/Ketua?


Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wa Salam bersabda,


“Barangsiapa suka dihormati manusia dengan perhormatan dalam bentuk berdiri, maka hendaklah dia bersiap sedia dengan tempat duduknya di Neraka.” (Hadis Riwayat Ahmad, hadis sahih)

Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu berkata,

“Tidak seorang pun yang lebih dicintai oleh para sahabat daripada Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wa Salam. Tetapi, bila mereka melihat Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wa Salam (hadir), mereka tidak berdiri untuk beliau. Ini adalah kerana mereka mengetahui bahawa beliau membenci perkara tersebut.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, hadis sahih)

Ini adalah kerana para sahabat Rasulullah Radhiallaahu ‘anhu yang sangat mencintai Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wa Salam pun apabila mereka melihat Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wa Salam masuk ke dalam sesuatu majlis, mereka tidak berdiri untuk beliau. Kerana mereka mengetahui bahawa Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wa Salam tidak menyukai perkara tersebut.

Hadis di atas menunjukkan bahawa seseorang muslim yang suka dihormati dengan berdiri, ketika dia masuk ke sesuatu majlis, maka dia diancam dengan ancaman Neraka.


Telah menjadi kebiasaan manusia untuk berdiri sebagai tanda penghormatan kepada manusia lainnya yang tertentu. Apatah lagi jika dia adalah seorang syaikh (tuan guru) masuk untuk membentangkan pengajian, atau untuk untuk tujuan tertentu. Juga jika seseorang pemimpin atau pembesar yang datang ke dalam sesuatu majlis, kebanyakan manusia akan bangun sebagai tanda penghormatan dan sebagai dasar memenuhi protokol-protokol tertentu. Sesiapa yang tidak mahu berdiri akan dikatakan sebagai tidak beradab, dan tidak menghormati orang lain dari tok gurunya atau para pemimpinnya.

Sewajarnya, seseorang guru atau pemimpin yang berilmu dan mengamalkan ilmuya perlu memberitahu permasalahan tersebut kepada masyarakat. Supaya dengan pemberitahuan tersebut masyarakat tidak akan melakukan perkara yang dibenci oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Salam berulang kali. Malah, apabila seseorang pemimpin atau tok guru mendiamkan perkara tersebut, ia adalah seakan-akan mereka juga turut bersetuju dengan cara penghormatan seperti itu ke atas dirinya, sedangkan Nabi membencinya.

Membiasakan berdiri untuk menghormati orang alim atau orang yang masuk ke dalam sesuatu majlis, akan melahirkan di hati keduanya kesenangan untuk dihormati dengan cara berdiri. Malah jika seseorang tidak berdiri, ia akan merasa gelisah. Mereka yang berdiri itu menjadi penolong syaitan apabila mereka menyenangi penghormatan dengan cara berdiri untuk orang yang hadir. Padahal Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wa Salam bersabda,

“Janganlah kamu menjadi penolong syaitan atas saudaramu.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Sebahagian dari mereka menyatakan, “kami berdiri kepada tok guru hanyalah sekadar bertujuan menghormati ilmunya.

Kita bertanya kembali kepada mereka, “Adakah kamu meragui keilmuan Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wa Salam dan adab para sahabat kepada beliau, walau pun demikian, mengapa mereka tetap tidak berdiri untuk Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wa Salam?”

Perlu kita fahami bahawa Islam tidak mengajarkan penghormatan dengan cara berdiri. Tetapi Islam mengajar dengan keta’atan dan mematuhi perintah, menyampaikan salam dan saling berjabat tangan.

Adakah makam seseorang tok guru dan pemimpin yang diberi penghormatan dengan berdiri itu lebih tinggi dari kedudukan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam?

Sering kita lihat dalam sesuatu sesi pertemuan atau majlis, jika orang kaya yang masuk, semua berdiri menghormati. Tetapi giliran orang miskin yang masuk, tidak seorang pun berdiri menghormatinya. Perlakuan tersebut akan menumbuhkan sifat dengki di hati orang miskin terhadap orang kaya dan para hadirin yang lain. Akhirnya di antara umat Islam wujud perasaan saling membenci yang merupakan sesuatu yang amat dilarang di dalam Islam. Musababnya, berdiri buat menghormati. Padahal orang miskin yang tidak dihormati dengan berdiri itu, boleh jadi di sisi Allah dia lebih mulia dari orang kaya yang dihormati dengan berdiri.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman,



“Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu.” (Al-Hujurat: 13)

Mungkin ada yang berkata, “Jika kita tidak berdiri untuk orang yang masuk ke dalam majlis, mungkin dalam hatinya terdetik sesuatu prasangka kepada kita yang duduk.”

Kita menjawab, “Kita menjelaskan kepada orang yang datang itu, bahawa kecintaan kita padanya terletak di hati. Dan kita meneladani Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wa Salam yang membenci berdiri sebagai tanda penghormatan. Juga meneladani para sahabat yang tidak berdiri untuk beliau. Dan kita tidak mengkehendaki orang yang datang itu masuk Neraka.”

Maka, dengan itu, janganlah kita zahirkan cara penghormatan yang boleh mengakibatkan mereka yang diberi penghormatan itu diancam dengan Neraka sebagaimana hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Salam,

“Barangsiapa suka dihormati manusia dengan perhormatan dalam bentuk berdiri, maka hendaklah dia bersiap sedia dengan tempat duduknya di Neraka.” (Hadis Riwayat Ahmad, hadis sahih).

Petikan daripada Al-Fikrah.

Baca selengkapnya......

Sabtu, Januari 16, 2010

Sukan dan Umur yang Panjang

Ramai manusia percaya bahawa kesihatan yang baik akan menjamin umur yang panjang. Hal ini menyebabkan mereka cenderung berusaha menjaga kesihatan dengan penuh kepercayaan bahawa dengan usaha mereka itu akan menjadikan umur mereka menjadi panjang. Benar! kebanyakan manusia ingin berumur panjang. Sebab itulah saban hari kita akan berdoa ke hadrat Allah s.w.t agar umur kita dipanjangkan.  Namun, beranggapan bahawa dengan melakukan senaman umur mereka akan menjadi panjang adalah suatu tanggapan yang salah..
 

Sudah pasti ada orang yang tidak bersetuju dengan kenyataan di atas. Hal ini kerana, bagi mereka jika kita selalu bersenam dan aktif dalam sukan, maka sistem tubuh kita akan menjadi baik dan lancar. Jantung dan paru-paru kita akan menjadi kuat dan seterusnya akan menjadikan badan kita sihat. Bukankah badan yang sihat akan menjadikan umur kita panjang. Itulah logik akal manusia.

Namun, dalam kehidupan beragama bukan semuanya berdasarkan kepada logik akal kerana terdapat beberapa perkara sememangnya telah menjadi ketentuan Allah s.w.t.  Antaranya ialah umur manusia. Betapa ramai kita saksikan betapa ramai manusia yang aktif bersukan dan amat teliti dalam penjagaan kesihatan tiba-tiba maut menjemputnya. Mungkin mautnya dengan kemalangan jalan raya, atau penyakit lain seperti tumor otak atau kanser malahan betapa ramai kita saksikan ahli sukan yang mati di gelanggang sukan(lihat disini). Semuanya berlaku dengan cepat sehingga membingungkan para doktor dan para sahabat disekelilingnya.

Inilah hakikat maut. Pasti datang apabila tiba waktunya. Tidak lambat atau cepat barang sesaat sekalipun. Firman Allah s.w.t :




Dan bagi tiap-tiap umat ada ajal (yang telah ditetapkan); maka apabila datang ajalnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaatpun, dan tidak dapat pula mereka didahulukan.
(al-A’raf : 34)

Itulah hakikat umur manusia. Seringkali kita melihat betapa manusia begitu sibuk dan berminat dengan bidang sukan dengan tanggapan bahawa dengan bersukan umur mereka akan menjadi panjang. Malahan, kerana minat yang amat mendalam itu mereka banyak memikirkan tentang sukan semata-mata. Perbualan dan aktiviti hidup mereka berlegar dalam dunia sukan semata-mata. Malahan, yang lebih malang mereka mengabaikan solat dan menangguh amal ibadat kerana hendak ke gelanggang sukan. Ada si fanatik sukan masih berada di padang tatkala azan Maghrib berkumandang. Mereka melambat-lambatkan solat malah ada yang meninggalkannya semata-mata kerana minat terhadap sukan. Itulah bahana sukan dalam kehidupan. Tidaklah salah kita bersukan malahan menjaga kesihatan itu adalah suatu kewajiban. Namun, jika kita bersukan hingga merosakkan amal ibadah apalah gunanya badan yang sihat. Ingatlah ajal dan maut adalah ketentuan Allah s.w.t . Hapuskan tanggapan dengan bersukan umur kita menjadi panjang. Wassalam.





Baca selengkapnya......

Jumaat, Januari 15, 2010

Sabar

Kesabaran merupakan suatu perbuatan yang amat sukar untuk dilakukan. Menurut pendapat para ulama kesabaran ialah tahan hati dalam menempuhi kehidupan di dunia ini.   Dalam kuliah Maghrib pada malam Jumaat lalu Ustaz Rozaini Abdul Rahman menyebut bahawa menurut syarak kesabaran itu terbahagi kepada tiga kategori/pembahagian yakni :
i) Sabar dalam mengerjakan suruhan Allah s.w.t
ii) Sabar dalam menjauhi larangan Allah s.w.t
iii) Sabar dalam menempuhi bala bencana yang diturunkan kepadanya. 


Dalam menempuhi perkara-perkara di atas, detik awal menempuhinya adalah penentu sama ada seseorang itu dianggap bersabar atau tidak.  Dianggap kita gagal dalam ujian kesabaran apabila kita merintih, mengeluh, merusuh, atau meronta tatkala mendengar atau menghadapi saat pertama ujian tersebut. Saat awal itu amat penting untuk kita bertindak dengan cara yang betul mengikut kaedah syarak. Tatkala menghadapi ujian bala bencana katakanlah  انّا للہ و انّا الیہ راجعون yang bermaksud Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. Itulah kaedah syarak dalam menghadapi ujian Allah s.w.t Dalam menghadapi tiga perkara di atas, itulah yang sewajibnya kita lakukan meskipun sememangnya amat berat dan sukar. Wassalam. 

Baca selengkapnya......

Sabtu, Januari 02, 2010

Kalimah Allah

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah memutuskan larangan penggunaan kalimah Allah yang dibuat oleh Kementerian Dalam Negeri(KDN) adalah tidak sah. Keputusan ini amatlah dikesalkan kerana selepas ini pihak bukan Islam bolehlah menggunakan kalimah ini untuk penerbitan mereka. Keadaan ini pasti akan menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat dan kita amat bimbang dengan peningkatan kes murtad hal ini pasti menjadi sesuatu yang amat kita bimbangkan. Kita amat bimbang mungkin pada suatu hari kelak kita akan terbaca satu buku atau penerbitan yang disangkakan dikeluarkan oleh umat Islam tetapi sebenarnya merupakan buku atau artikel agama Kristian. Hal ini pastinya akan mengundang kerisauan kerana tahap pengetahuan agama dalam masyarakat yang masih rendah, memungkinkan pelbagai keburukan kepada umat Islam. Kita amat mengharapkan agar KDN segera membuat rayuan dan dalam soal ini kita amat mengharapkan Raja-Raja Melayu berbuat sesuatu kerana mereka merupakan pelindung dan penaung agama Islam di negara ini. Sebagai seorang muslim kita perlulah lebih prihatin dengan soal ini.Namun, tindakan mengambil kesempatan meraih keuntungan politik seharusnya dijauhi. Ikhlaslah dalam segala tindak dan tanduk pasti Allah akan menganugerahkan kemenangan buat kita  . Wassalam .

Baca selengkapnya......

Jumaat, Januari 01, 2010

Rasional Pemansuhan Dasar PPSMI


Berikut merupakan fakta dan rasional pemansuhan Dasar PPSMI yang ternyata amat tepat. Keputusan kerajaan memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) mulai tahun 2011, akan memberikan sinar baru buat murid-murid kita di sekolah.
Dengan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran Sains dan matematik dalam Bahasa Malaysia di sekolah kebangsaan, dan bahasa Cina dan Tamil di sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil, kerajaan berhasrat untuk meningkatkan kefahaman dan penguasaan pelajar dalam kedua-dua mata pelajaran ini. Strategi ini mengambil kira fakta yang disokong oleh kajian-kajian saintifik bahawa peningkatan kefahaman pelajar mengenai konsep-konsep sains dan matematik adalah berkait rapat dengan penggunaan bahasa pengantar yang mudah difahami oleh mereka. Pada masa yang sama, kita percaya bahawa peningkatan penguasaan bahasa Inggeris boleh dicapai melalui penambahbaikan berterusan dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris..


Pada kesempatan ini saya ingin mengemukakan data-data emprikal yang menjadi asas kepada keputusan kerajaan untuk memansuhkan PPSMI. Pertama, data-data rasmi menunjukkan pencapaian pelajar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik merosot semasa pelaksanaan PPSMI. Dalam peperiksaan UPSR pada tahun 2008, hanya 79.7 peratus pelajar luar bandar lulus mata pelajaran Sains berbanding 83.2 peratus pada tahun 2007. Bagi pelajar bandar pula, peratusan lulus telah merosot daripada 85.1 peratus pada tahun 2007 kepada 82.5 peratus pada tahun 2008.

Bagi mata pelajaran Matematik pula, pencapaian lulus murid di bandar telah merosot daripada 84.8 peratus pada tahun 2007 kepada 80.9 peratus pada tahun 2008. Pencapaian murid di luar bandar juga merosot daripada 80.9 peratus pada tahun 2007 kepada 77 peratus pada tahun 2008. Ini bermakna hampir 170,000 orang pelajar gagal bagi kedua-dua mata pelajaran Matematik dan Sains di peringkat UPSR semasa PPSMI dilaksanakan.

Kegagalan menguasai Matematik dan Sains di peringkat rendah sudah tentu akan menjejaskan pencapaian pelajar-pelajar ini dalam kedua-dua mata pelajaran tersebut di peringkat menengah, dan sekali gus menjejaskan hasrat kita untuk menjana modal insan yang memiliki ilmu dan kemahiran yang tinggi dalam bidang sains dan teknologi, sebagai wahana penting untuk melonjakkan kemajuan negara ke tahap yang lebih tinggi.

Kedua, kajian dan pemantauan yang dilakukan oleh Kementerian Pelajaran dan juga para penyelidik bebas mendapati bahawa pelajar yang memiliki tahap penguasaan bahasa Inggeris yang sederhana dan lemah menghadapi kesukaran untuk memahami mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Dalam peperiksaan UPSR 2008, 30.6 peratus pelajar luar bandar gagal dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris, menunjukkan bahawa penguasaan bahasa Inggeris mereka masih berada di tahap yang lemah. Ini menyebabkan penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran Matematik dan Sains tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya.

Hasil pemantauan Kementerian Pelajaran juga menunjukkan bahawa guru-guru menghadapi masalah untuk menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik. Hanya 8.6 peratus guru menggunakan lebih 90 peratus masa pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Penggunaan bahasa Inggeris adalah jauh lebih rendah bagi sekolah-sekolah di kawasan luar bandar dan pedalaman. Ini disebabkan oleh tahap penguasaan bahasa Inggeris yang amat rendah di kalangan pelajar luar bandar dan pedalaman. Keadaan ini memaksa guru-guru untuk menggunakan dwi-bahasa, iaitu Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia, dalam pengajaran Sains dan Matematik. Soalan peperiksaan juga terpaksa dibuat dalam dwi-bahasa kerana masalah penguasaan bahasa Inggeris yang rendah di kalangan pelajar. Justeru, apa yang dilaksanakan sejak enam tahun yang lalu bukanlah PPSMI, tetapi PPSMI/BM. Guru-guru mengajar mata pelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia. Hanya segelintir pelajar yang dapat mengikuti pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris dengan baik, dan mereka ini ialah pelajar-pelajar yang telah menguasai bahasa Inggeris dengan cemerlang. Berdasarkan pemantauan Kementerian Pelajaran, kelompok pelajar ini tidak lebih 8 peratus daripada keseluruhan jumlah pelajar di negara ini.

Berdasarkan realiti ini, Kerajaan berpandangan bahawa sekiranya dasar PPSMI diteruskan, majoriti pelajar yang sederhana dan lemah dalam menguasai bahasa Inggeris akan mengalami 'double jeopardy'. Kajian saintifik menunjukkan bahawa penguasaan bahasa Inggeris mereka tidak meningkat, dan pada masa yang sama mereka juga gagal menguasai konsep-konsep asas Sains dan Matematik. Sekiranya keadaan ini berterusan, dikhuatiri akan berlaku situasi knowledge deficit di kalangan pelajar, di mana pelajar-pelajar yang gagal menguasai konsep-konsep asas sains dan matematik oleh kerana halangan bahasa, akan menghadapi masalah untuk menguasai ilmu Sains dan Matematik di peringkat yang lebih tinggi. Keadaan ini tentunya akan mendatangkan kesan negatif kepada pembangunan modal insan di negara kita dalam jangkamasa panjang.

Ketiga, kajian di peringkat antarabangsa, termasuk oleh UNESCO, yang memperakukan bahawa bahasa yang mudah difahami oleh pelajar, seperti bahasa ibunda, adalah bahasa terbaik untuk dijadikan bahasa pengantar, terutamanya di peringkat rendah. Laporan Education for All Global Monitoring Report 2009 yang dikelolakan oleh UNESCO memperakukan kepentingan menyediakan pendidikan dalam bahasa ibunda sebagai kunci kepada kejayaan pendidikan. Laporan ini memetik satu kajian yang melibatkan 22 buah negara dan 160 kumpulan linguistik yang mendapati bahawa kehadiran murid ke sekolah meningkat sebanyak 10 peratus bagi sekolah-sekolah yang menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar, khususnya di peringkat pendidikan rendah.

Dapatan ini adalah selari dengan dapatan yang diperolehi oleh kumpulan penyelidik daripada Universiti Kebangsaan Malaysia yang mendapati bahawa kebanyakan pelajar yang lemah dan sederhana dalam menguasai bahasa Inggeris, terutamanya di kawasan luar bandar, tidak menunjukkan minat untuk mempelajari Matematik dan Sains ketika dasar PPSMI dilaksanakan.

Selain daripada itu, laporan Trends in Mathematics and Science Study 2007 (TIMMS) juga mendapati bahawa negara-negara yang menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar bagi mata pelajaran Sains dan Matematik menunjukkan prestasi yang lebih baik berbanding negara-negara yang tidak menggunakan bahasa ibunda. Lebih daripada itu, UNESCO juga memperakukan bahawa pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa ibunda adalah faktor utama yang menyumbang kepada pencapaian matlamat Education for All, iaitu matlamat untuk menyediakan akses, ekuiti dan kualiti dalam pendidikan kepada semua tanpa mengira perbezaan bahasa, lokaliti, taraf sosio-ekonomi dan gender.

Berdasarkan dapatan-dapatan ini, Kerajaan yakin bahawa keputusan memansuhkan PPSMI adalah satu keputusan yang tepat dan merupakan satu langkah ke hadapan dalam menambahbaik kualiti pendidikan di negara ini. Keputusan ini sesungguhnya mengambilkira kepentingan pelajar serta matlamat membangunkan modal insan yang berilmu dan berkemahiran tinggi demi kepentingan negara pada masa depan. Keputusan ini juga adalah selaras dengan amalan pendidikan terbaik di peringkat antarabangsa.

Dipetik dan diubahsuai dari ucapan YAB Tan Sri Muhyiddin Bin Hj. Mohd Yassin di Perjumpaan Khas Bersama Warga Pendidik   pada 21 Julai 2009, jam 9.00 pagi bertempat di Putrajaya International Convention Center (PICC).





Baca selengkapnya......

Tahun Masihi @ Tahun Hijrah

Jika kita lihat umat Islam pada masa kini amat bertuah kerana mereka merupakan antara umat manusia yang menggunakan dua sistem kalendar dalam masa yang sama. Pertama penggunaan sistem kalendar Masihi atau kalendar gregorian dan kalendar Hijrah. Dalam kuliah bulanan Ustaz Baharuddin(Imam Masjid Tapah) pada malam sebelum tahun baru semalam di Masjid Diraja Ubudiah Kuala Kangsar, beliau menyarankan agar kita tidak terlalu fanatik dalam penggunaan kedua-dua kalendar ini. Hal ini kerana terdapat segelintir umat Islam yang berasakan kalendar Masihi itu milik Barat(lebih khususnya Kristian) dan kalendar Hijrah itu milik Islam..
Sebagai umat Islam kita perlu bersikap lapang dada dan minda dalam memahami pengertian sebenar kedua-dua sistem kalendar tersebut. Hal ini kerana, kita perlu menerima realiti bahawa sistem keduniaan kini mengguna pakai sistem kalendar Masihi dalam semua aspek kehidupan seharian. Namun, dalam masa yang sama kita perlulah lebih prihatin dengan penggunaan sistem kalendar Hijrah kerana sistem kalendar ini amat penting dalam kehidupan beribadat kita seharian. Tidaklah salah kita menggunakan kedua-dua sistem ini dalam kehidupan seharian kita. Cuma jika kita lihat masih ramai umat Islam yang sering melupakan hari bulan dalam Kalendar Hijrah berbanding hari bulan dalam kalendar Masihi.
Maka, kita marilah kita berazam mulai tahun ini agar kita lebih prihatin dengan penggunaan kelendar hijrah. Janganlah hendaknya kita hanya mengetahui hari bulan hijrah hanya pada bulan Ramadhan sahaja dan melupakannya pada bulan-bulan yang lain. Wassalam.

 

Baca selengkapnya......

Perjuanganku

Memartabat Agama Islam dan Bahasa Melayu sehingga diletakkan di tempat yang selayaknya.

Dimanakah Anda?

Tetamu