Jumaat, Januari 01, 2010

Rasional Pemansuhan Dasar PPSMI


Berikut merupakan fakta dan rasional pemansuhan Dasar PPSMI yang ternyata amat tepat. Keputusan kerajaan memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) mulai tahun 2011, akan memberikan sinar baru buat murid-murid kita di sekolah.
Dengan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran Sains dan matematik dalam Bahasa Malaysia di sekolah kebangsaan, dan bahasa Cina dan Tamil di sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil, kerajaan berhasrat untuk meningkatkan kefahaman dan penguasaan pelajar dalam kedua-dua mata pelajaran ini. Strategi ini mengambil kira fakta yang disokong oleh kajian-kajian saintifik bahawa peningkatan kefahaman pelajar mengenai konsep-konsep sains dan matematik adalah berkait rapat dengan penggunaan bahasa pengantar yang mudah difahami oleh mereka. Pada masa yang sama, kita percaya bahawa peningkatan penguasaan bahasa Inggeris boleh dicapai melalui penambahbaikan berterusan dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris..


Pada kesempatan ini saya ingin mengemukakan data-data emprikal yang menjadi asas kepada keputusan kerajaan untuk memansuhkan PPSMI. Pertama, data-data rasmi menunjukkan pencapaian pelajar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik merosot semasa pelaksanaan PPSMI. Dalam peperiksaan UPSR pada tahun 2008, hanya 79.7 peratus pelajar luar bandar lulus mata pelajaran Sains berbanding 83.2 peratus pada tahun 2007. Bagi pelajar bandar pula, peratusan lulus telah merosot daripada 85.1 peratus pada tahun 2007 kepada 82.5 peratus pada tahun 2008.

Bagi mata pelajaran Matematik pula, pencapaian lulus murid di bandar telah merosot daripada 84.8 peratus pada tahun 2007 kepada 80.9 peratus pada tahun 2008. Pencapaian murid di luar bandar juga merosot daripada 80.9 peratus pada tahun 2007 kepada 77 peratus pada tahun 2008. Ini bermakna hampir 170,000 orang pelajar gagal bagi kedua-dua mata pelajaran Matematik dan Sains di peringkat UPSR semasa PPSMI dilaksanakan.

Kegagalan menguasai Matematik dan Sains di peringkat rendah sudah tentu akan menjejaskan pencapaian pelajar-pelajar ini dalam kedua-dua mata pelajaran tersebut di peringkat menengah, dan sekali gus menjejaskan hasrat kita untuk menjana modal insan yang memiliki ilmu dan kemahiran yang tinggi dalam bidang sains dan teknologi, sebagai wahana penting untuk melonjakkan kemajuan negara ke tahap yang lebih tinggi.

Kedua, kajian dan pemantauan yang dilakukan oleh Kementerian Pelajaran dan juga para penyelidik bebas mendapati bahawa pelajar yang memiliki tahap penguasaan bahasa Inggeris yang sederhana dan lemah menghadapi kesukaran untuk memahami mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Dalam peperiksaan UPSR 2008, 30.6 peratus pelajar luar bandar gagal dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris, menunjukkan bahawa penguasaan bahasa Inggeris mereka masih berada di tahap yang lemah. Ini menyebabkan penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran Matematik dan Sains tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya.

Hasil pemantauan Kementerian Pelajaran juga menunjukkan bahawa guru-guru menghadapi masalah untuk menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik. Hanya 8.6 peratus guru menggunakan lebih 90 peratus masa pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Penggunaan bahasa Inggeris adalah jauh lebih rendah bagi sekolah-sekolah di kawasan luar bandar dan pedalaman. Ini disebabkan oleh tahap penguasaan bahasa Inggeris yang amat rendah di kalangan pelajar luar bandar dan pedalaman. Keadaan ini memaksa guru-guru untuk menggunakan dwi-bahasa, iaitu Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia, dalam pengajaran Sains dan Matematik. Soalan peperiksaan juga terpaksa dibuat dalam dwi-bahasa kerana masalah penguasaan bahasa Inggeris yang rendah di kalangan pelajar. Justeru, apa yang dilaksanakan sejak enam tahun yang lalu bukanlah PPSMI, tetapi PPSMI/BM. Guru-guru mengajar mata pelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia. Hanya segelintir pelajar yang dapat mengikuti pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris dengan baik, dan mereka ini ialah pelajar-pelajar yang telah menguasai bahasa Inggeris dengan cemerlang. Berdasarkan pemantauan Kementerian Pelajaran, kelompok pelajar ini tidak lebih 8 peratus daripada keseluruhan jumlah pelajar di negara ini.

Berdasarkan realiti ini, Kerajaan berpandangan bahawa sekiranya dasar PPSMI diteruskan, majoriti pelajar yang sederhana dan lemah dalam menguasai bahasa Inggeris akan mengalami 'double jeopardy'. Kajian saintifik menunjukkan bahawa penguasaan bahasa Inggeris mereka tidak meningkat, dan pada masa yang sama mereka juga gagal menguasai konsep-konsep asas Sains dan Matematik. Sekiranya keadaan ini berterusan, dikhuatiri akan berlaku situasi knowledge deficit di kalangan pelajar, di mana pelajar-pelajar yang gagal menguasai konsep-konsep asas sains dan matematik oleh kerana halangan bahasa, akan menghadapi masalah untuk menguasai ilmu Sains dan Matematik di peringkat yang lebih tinggi. Keadaan ini tentunya akan mendatangkan kesan negatif kepada pembangunan modal insan di negara kita dalam jangkamasa panjang.

Ketiga, kajian di peringkat antarabangsa, termasuk oleh UNESCO, yang memperakukan bahawa bahasa yang mudah difahami oleh pelajar, seperti bahasa ibunda, adalah bahasa terbaik untuk dijadikan bahasa pengantar, terutamanya di peringkat rendah. Laporan Education for All Global Monitoring Report 2009 yang dikelolakan oleh UNESCO memperakukan kepentingan menyediakan pendidikan dalam bahasa ibunda sebagai kunci kepada kejayaan pendidikan. Laporan ini memetik satu kajian yang melibatkan 22 buah negara dan 160 kumpulan linguistik yang mendapati bahawa kehadiran murid ke sekolah meningkat sebanyak 10 peratus bagi sekolah-sekolah yang menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar, khususnya di peringkat pendidikan rendah.

Dapatan ini adalah selari dengan dapatan yang diperolehi oleh kumpulan penyelidik daripada Universiti Kebangsaan Malaysia yang mendapati bahawa kebanyakan pelajar yang lemah dan sederhana dalam menguasai bahasa Inggeris, terutamanya di kawasan luar bandar, tidak menunjukkan minat untuk mempelajari Matematik dan Sains ketika dasar PPSMI dilaksanakan.

Selain daripada itu, laporan Trends in Mathematics and Science Study 2007 (TIMMS) juga mendapati bahawa negara-negara yang menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar bagi mata pelajaran Sains dan Matematik menunjukkan prestasi yang lebih baik berbanding negara-negara yang tidak menggunakan bahasa ibunda. Lebih daripada itu, UNESCO juga memperakukan bahawa pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa ibunda adalah faktor utama yang menyumbang kepada pencapaian matlamat Education for All, iaitu matlamat untuk menyediakan akses, ekuiti dan kualiti dalam pendidikan kepada semua tanpa mengira perbezaan bahasa, lokaliti, taraf sosio-ekonomi dan gender.

Berdasarkan dapatan-dapatan ini, Kerajaan yakin bahawa keputusan memansuhkan PPSMI adalah satu keputusan yang tepat dan merupakan satu langkah ke hadapan dalam menambahbaik kualiti pendidikan di negara ini. Keputusan ini sesungguhnya mengambilkira kepentingan pelajar serta matlamat membangunkan modal insan yang berilmu dan berkemahiran tinggi demi kepentingan negara pada masa depan. Keputusan ini juga adalah selaras dengan amalan pendidikan terbaik di peringkat antarabangsa.

Dipetik dan diubahsuai dari ucapan YAB Tan Sri Muhyiddin Bin Hj. Mohd Yassin di Perjumpaan Khas Bersama Warga Pendidik   pada 21 Julai 2009, jam 9.00 pagi bertempat di Putrajaya International Convention Center (PICC).





0 ulasan:

Perjuanganku

Memartabat Agama Islam dan Bahasa Melayu sehingga diletakkan di tempat yang selayaknya.

Dimanakah Anda?

Tetamu