Ahad, Mac 07, 2010

Membangkitkan Semula Gerakan Muda Islam

Selepas berlaku beberapa peristiwa penting dalam akhir dekat 70-an, seperti Revolusi Iran kebangkitan Islam mula menyemarak selepas mengalami pelbagai tekanan daripada pelbagai penjuru seperti penjuru penjajahan, kelemahan ilmu, dan penyesatan akidah akibat amalan kurafat serta kemasukkan budaya barat atau dikenali budaya kuning. Pada dekad 50-an dan 60-an, umat Islam di Malaysia seolah-olah mabuk dengan gerakan budaya pop. Penghayatan terhadap cara hidup Islam amat rendah. Menurut tinjauan dan perbincangan dengan generasi yang hidup pada zaman itu, pemuda muslim mabuk dengan gaya hidup barat dengan bercambahnya kelab-kelab malam yang pada masa itu dikenali sebagai kelab kabaret. Pada tahun 60-an juga percambahan pawagam juga menjadikan budaya hidup muslim benar-benar berubah hala dan corak. Pada masa itu, filem-filem Hindi dibawa masuk ke Malaya hinggakan generasi muda amat menggilai aktor dan aktresnya serta menghafal bait-bait lagu Hindi. Malahan, pada masa ini, jika seorang muslimah bertudung maka masyarakat amat skeptikal dan menganggap mereka golongan terpinggir dan antipemodenan. nbsp;
Tatkala masuk dekad 70-an, berlaku sekali lagi gelombang kebejatan sosial apabila kemasukkan pengaruh hidup barat yang amat merosakkan seperti budaya 'wordstock' yang memperlihatkan pemujaan gaya hidup hippies yang diamalkan di barat. Pada masa ini, banyak konsert terbuka dianjurkan dan pada masa inilah pengaruh ganja dan kokain masuk dalam kehidupan muda-mudi muslim di Malaysia. Namun, pada akhir dekad 70-an, berlaku  kebangkitan Islam yang memperlihatkan pemuda muslim di negara ini terkelompok kepada dua golongan, yakni golongan yang memuja gaya hidup dan muzik barat serta golongan yang mulai mencari kebenaran Islam. Gerakan kebangkitan Islam ini memperlihatkan pelbagai pertubuhan Islam ditubuhkan seperti Angkatan Belia Islam Malaysia(ABIM), Al-Arqam, Tabligh dan beberapa pertubuhan lain. Pertubuhan ini banyak memainkan peranan mengubah lanskap muda-mudi di Malaysia pada akhir dekad 70-an. Keghairahan terhadap cara hidup Islam menjadikan pelbagai konsert muda-mudi bertukar kepada forum, usrah,dan pelbagai aktiviti dakwah yang menyeru pemuda-pemudi kembali kepada Islam. Malahan, sehingga pertengahan dekad 80-an gerakan muda Islam amat kuat mempengaruhi masyarakat sehingga memaksa kerajaan respons terhadap kehendak masyarakat dengan memperkenalkan Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam dalam Pentadbiran pada tahun 1985.
Meskipun, pada dekad 80-an, sekali lagi berlaku gelombang kebejatan sosial yang memperlihatkan kemasukkan pengaruh muzik Rock namun masih diimbangi dengan pertubuhan-pertubuhan ini. Pada masa itu, pengaruh usrah dan gerakan dakwah pertubuhan seperti ABIM dan Al-Arqam telah menjadi benteng kepada muda-mudi.
Namun, bermula dekad 90-an sehingga kini, gerakan golongan muda Islam dilihat semakin lemah, bermula dengan pengharaman Al-Arqam dan kurangnya aktiviti dakwah oleh pertubuhan Islam seperti ABIM dalam kalangan muda-mudi. Kehidupan muda-mudi mulai jauh daripada nur Islam, kepesatan teknologi maklumat dan komunikasi seperti internet memperlihatkan arus globalisasi merempuh masuk ke dalam jiwa masyarakat muda. Hari ini, kita lihat kesannya, berlaku sekali lagi senario pada awal dekad 70-an, apabila gaya hidup barat menular dalam masyarakat. Pelbagai aktiviti tidak bermoral berlaku dalam masyarakat seperti pergaulan bebas, berlumba haram(rempit), aktiviti kelab malam yang menjadi ibu kemaksiatan dan pelbagai lagi. Sebagai kesannya, kita lihat kes pembuangan bayi menular, kes perzinaan melata,  tekanan hidup yang membawa kepada pembunuhan dalam kalangan golongan muda berleluasa. Senario hidup masyarakat semakin parah dengan kejadian jenayah berat seperti pembunuhan, rompak, samun, rogol dan pelbagai lagi situasi yang amat menakutkan berlaku dalam masyarakat.
Jelaslah, masyarakat Malaysia memerlukan penawar kepada segala penyakit sosial ini. Tidak dapat tidak golongan muda yang mendasari segala keporakperandaan perlu disuntik semula dengan vaksin nur Islam. Tidak ada ubat lain yang lebih mujarab selain kembali kepada Islam. Oleh itu, sebahagian golongan muda yang mempunyai kesedaran perlu bangkit membantu sahabat muda kita yang sedang sakit itu. Marilah kita seru golongan muda bermasalah ini kepada cara hidup Islam. Untuk itu, saya menyeru kepada para pemuda dan pemudi semua agar kembali menghidupkan semula gerakan Islam seperti ABIM untuk mengatasi masalah sosial dalam masyarakat kita. Kita hidupkan semula aktiviti seperti usrah dan dakwah agar ia menjadi pengubat kepada diri kita dan sahabat muda kita. Menghidupkan semula gerakan Islam seperti ABIM akan memperkuatkan benteng jiwa daripada kebejatan sosial yang berlaku kini. Kita sebagai golongan muda mempunyai peranan yang amat besar dalam mengembalikan nur Islam dalam masyarakat meskipun kita berasakan tiada kekuatan mengubah keadaan masyarakat kini namun percayalah dengan menghidupkan dan memperkasakan semula gerakan Islam pasti Allah s.w.t akan memberi bantuan kepada kita. InsyaAllah.        

1 ulasan:

Tanpa Nama,  14 Mac 2010 pada 3:14 PTG  

Saya tertarik dengan ulasan saudara tentang kemasukan filem-filem hindi dan Amerika latin yang terlalu berleluasa dewasa ini. Remaja lebih menggilai hero dan heroin filem berbanding tokoh-tokoh kebangkitan Islam.
Ini sebenarnya merupakan suatu cabaran kepada kita sebagai ketua keluarga untuk mendidik anak-anak kita mencintai sejarah perjuangan tokoh-tokoh Islam. Satu kaedah mudah ialah pada setiap malam cuba kita korbankan masa kita membaca kisah-kisah benar perjuangan tokoh-tokoh Islam yang digarap untuk mudah difahami oleh kanak-kanak. Saudara boleh dapatinya di kedai buku berhampiran dengan saudara sebagai contoh di Kuala Kangsar dal Pustaka Syafi dan kedai buku Taj.

Perjuanganku

Memartabat Agama Islam dan Bahasa Melayu sehingga diletakkan di tempat yang selayaknya.

Dimanakah Anda?

Tetamu