Sabtu, Mei 15, 2010

Penyakit Hati

Sesungguhnya hati itu amatlah liar sifatnya. Hanya mereka yang diberikan kekuatan oleh Alllah sahaja yang mampu menundukkan hatinya. Pada hatilah sasaran syaitan menyesatkan manusia. Malahan syaitan mengoda mengikut kecenderungan hati seorang insan. Sebab itu betapa ramai ilmuan tertipu dengan ilmunya. Malahan ramai juga ahli ibadah tertipu dengan ibadahnya. Salah satu penyakit hati yang menimpa golongan ini ialah ujub dan riak..

Betapa ramai para ilmuan yang berasa hairan diri dengan ketinggian ilmunya sehinggakan berasa bahawa dirinya serba tahu sehinggakan dia memandang rendah orang lain yang dirasakan jahil. Betapa ramai pula ahli ibadah yang berasa hairan diri dengan amal ibadahnya sehinggakan dia berasa dirinya perlu dimuliakan manusia lain. Ini semua adalah penyakit hati. 
Dalam menempuhi perjalanan di dunia ini kita perlu arif dengan penyakit hati kerana betapa ramai manusia menyangka ibadahnya dapat membawanya ke syurga tetapi tatkala berhadapan dengan Rabbul Jalil, ibadahnya dilempar ke mukanya dan segera diperintah dirinya diheret ke neraka jahanam. Dua penyakit hati ini yakni ujub dan terutamanya riak adalah dosa besar yang disifatkan sebagai asy syirkul ashghar oleh baginda Rasulullah. Apakah itu asy syirkul ashghar? yakni syirik kecil. Kita perlu memahami sifat kedua-dua penyakit ini.
Riak menurut Al-Hafidz ibnu Hajar Al-Asqolani ialah menampakkan ibadah dengan tujuan dilihat manusia, lalu mereka memuji pelaku amalan itu. Manakala ujub pula ialah perasaan hairan dengan diri. 
Menurut Al Fadhil ustaz Ahmad Rozaini dalam kuliah bulanannya di masjid Ubudiah kedua-dua penyakit ini amat sukar diubati, dan antara cara mengubatinya ialah kita perlu yakin bahawa segala ibadah dan kehebatan yang dikurniakan kepada kita hanyalah disebabkan hidayah dan Inayah dari Allah semata-mata. Tidak ada kekuatan kita melainkan hanya kerana pertolongan dan kekuatan Allah kepada kita semata-mata. Selama ini kita diberikan kekuatan untuk beribadah hanyalah kerana Allah telah memilih kita. Dan dengan itu, janganlah kita berasakan kita berbuat ibadah kerana kekuatan diri kita. Ingatlah kita ini adalah hamba yang amat lemah. Inilah ubat kepada perasaan riak dan ujub.
Oleh itu, marilah kita memohon kepada Allah agar kita diberikan hidayah dan inayah untuk terus beribadah kepadaNya dengan khusyuk dan istiqamah. Ingatlah tiada kekuatan pada diri kita selain kurniaan dari yang maha Esa. Wassalam. 

0 ulasan:

Perjuanganku

Memartabat Agama Islam dan Bahasa Melayu sehingga diletakkan di tempat yang selayaknya.

Dimanakah Anda?

Tetamu