Khamis, Julai 01, 2010

Amalan Dunia dan Akhirat

Maksud hadis :
Dari Amirul Mu’minin, (Abu Hafsh atau Umar bin Khattab radiallahu’anhu) dia berkata: ”Aku pernah mendengar Rasulullah  s.a.w bersabda: ’Sesungguhnya seluruh amal itu tergantung kepada niatnya, dan setiap orang akan mendapatkan sesuai niatnya. Oleh sebab itu, barangsiapa yang berhijrah kerana Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan barangsiapa yang berhijrah kerana (untuk mendapatkan) dunia atau kerana wanita yang ingin dinikahinya maka hijrahnya itu kepada apa yang menjadi tujuannya (niatnya).’” (Diriwayatkan oleh dua imam ahli hadits; Abu Abdillah Muhammad bin Ismail bin Ibrahim bin Mughirah bin Bardizbah Al-Bukhori dan Abul Husain Muslim bin Al-Hajjaj bin Muslim Al-Qusairy An-Naisabury di dalam kedua kitab mereka yang merupakan kitab paling shahih antara kitab-kitab hadits)[.


Segala amalan dan perbuatan kita di dunia ini pasti ada niat dan tujuan tertentu. Malah setiap amalan pastilah dimulai dengan niat. Niat memainkan peranan penting menentukan kedudukan amalan seseorang sama ada amalan tersebut merupakan amalan dunia atau amalan akhirat. Implikasi amalan dunia bermakna laba atau keuntungan amalan tersebut diperoleh di dunia semata-mata tanpa ada keuntungan di akhirat. Manakala implikasi amalan akhirat bermakna laba atau balasannya diperoleh di akhirat. Malahan, ada kemungkinan balasan kepada amalan akhirat diperoleh di dunia lagi.  Sering sahaja manusia keliru menentukan sesuatu amalan itu amalan dunia atau akhirat. Ramai beranggapan memiliki kereta yang hebat itu sebagai bersifat keduniaan atau mengejar harta kekayaan sebagai bersifat keduniaan. Apakah itu benar? 


Sebenarnya, kaedah menentukan sama amalan itu merupakan amalan dunia atau akhirat tidak dapat diketahui oleh orang lain kecuali oleh tuan punya hati itu sendiri. Malahan, amalan dunia atau akhirat juga bukannya ditentukan oleh rupa amalan itu, Sebagai contoh, solat yang didirikan kerana ingin menunjuk-nunjuk itu menjadi amalan dunia semata-mata kerana labanya diperoleh di dunia dengan mendapat pujian dari manusia. Selain itu, seorang pencinta ilmu yang ikhlas, akan memperoleh balasan di akhirat jika dia menuntut ilmu kerana Allah dan Rasul tetapi jika dia menuntut ilmu kerana semata-mata ingin menjadi ilmuan atau penceramah ulung yang dikagumi sekalian manusia, maka kekaguman manusia itulah yang dia perolehi. 


Rupa amalan dunia seperti memiliki kereta mahal akan menjadi amalan akhirat jika kereta yang dia beli itu dari sumber yang halal dan dia gunakan untuk tujuan yang makruf  seperti untuk menuntut ilmu dan mencari rezeki yang halal atau untuk memberikan keselesaan kepada ahli keluarganya, maka amalan membeli kereta tadi menjadi amalan akhirat bagi dia. Begitulah, kaedah menentukan sesuatu amalan itu amalan dunia atau akhirat banyak bergantung kepada niat dan tujuan seseorang dan bukan semata-mata bergantung kepada rupa amalan tersebut kecualilah jika amalan tersebut sememangnya jelas bersifat haram dan mungkar. Wassalam.  

0 ulasan:

Perjuanganku

Memartabat Agama Islam dan Bahasa Melayu sehingga diletakkan di tempat yang selayaknya.

Dimanakah Anda?

Tetamu