Isnin, Februari 22, 2010

Peranan Guru Bahasa Dalam Proses Dakwah

Antara ciri yang membezakan manusia dan haiwan ialah peranan akal. Manusia dikurniakan akal manakala haiwan tidak memiliki akal fikiran. Segala perbuatan haiwan yang terlihat bukanlah kerana haiwan boleh berfikir seperti manusia tetapi kerana naluri yang dibekal oleh Allah s.w.t. Jika kita lihat seekor haiwan menyayangi anaknya bukanlah bermakna haiwan tersebut mempunyai pemikiran tetapi hanyalah kerana haiwan memiliki naluri.
Bahasa merupakan cerminan keberadaan akal pada diri manusia. Bahasa manusia mempunyai kod-kod tertentu sehingga manusia lain dapat mentafsir kod tersebut dan membalas dengan kod yang lain. Dalam erti kata lain kod-kod itu terdiri daripada gabungan bunyi yang membentuk gugusan perkataan yang kemudian disusun menjadi ayat yang bermakna.
Dalam sistem manusia yang semakin moden, susunan bahasa telah dirancang secara sistematik dan teratur sehingga menimbulkan ilmu tatabahasa atau nahu. Dan inilah yang menjadi salah satu tugas guru bahasa yakni menyebarkan penggunaan bahasa yang betul dari segi nahu.Sebenarnya, ketepatan penggunaan tatabahasa dalam pertuturan mahupun penulisan akan menimbulkan suatu bentuk komunikasi yang tepat dan mudah difahami. Ilmu tatabahasa akan menerbitkan satu organisasi wacana yang sistematik dan berkesan dan ini amat penting dalam proses menyampaikan mesej kepada manusia lain.
Guru bahasa juga perlu faham bahawa tugas mereka amat besar dalam proses melahirkan para da'i. Salah satu sifat penting seorang pendakwah atau da'i ialah bersifat tabligh yakni menyampaikan. Dalam proses menyampaikan isi dakwah penggunaan bahasa memainkan peranan yang amat besar, Tanpa penggunaan bahasa yang tepat segala isi dakwah yang murni tidak akan sampai ke lubuk hati golongan sasaran. Sebagai pendakwah mereka perlu menyediakan diri dengan ilmu pidato agar dakwah yang ingin disampaikan berkesan . Semua itu, perlu disediakan oleh seorang guru bahasa. Inilah peranan guru bahasa dalam proses dakwah yakni melahirkan pendakwah yang petah berpidato dalam dakwahnya.
Selain ilmu pidato, seorang pendakwah juga perlu bersedia dengan ilmu perdebatan. Hal ini kerana, dalam proses dakwah mereka perlu berhadapan dengan pelbagai jenis manusia. Dalam keadaan ini, kadang-kala mereka perlu mempertahankan hujah dengan cara berdebat. Kadang-kala kita lihat seorang pendakwah mempunyai ilmu yang luas tetapi malangnya dia gagal mengeluarkan ilmu yang terpendam dalam hati dan pemikiran semasa berhujah. Implikasinya, dia gagal mempertahankan kebenaran. Maka, natijahnya berlakulah pelbagai fitnah dalam masyarakat. Semua ini berlaku kerana tiadanya ilmu dalam perdebatan. Jadi peranan guru bahasalah mendidik dan mengajar para pendakwah ini berhujah dan mengeluarkan fikiran dengan lancar dan berkesan.
Selain ilmu yang berkaitan dengan pertuturan, dalam dunia dakwah pelbagai wahana perlu digunakan termasuklah dengan cara penulisan. Tradisi dakwah membuktikan cara penulisan banyak digunakan oleh para ulama silam mahupun kontemporari. Pelbagai kitab ditulis dengan mata pena. Malah ada kata-kata hikmat menyebut "mata pena lebih tajam dari mata pedang." Semua itu menjelaskan ilmu penulisan amat penting kepada para pendakwah. Para guru bahasa perlu jelas bahawa kitalah yang perlu menyediakan para pendakwah yang memiliki ilmu penulisan yang tinggi agar segala ilmu dapat dicatat dan disampaikan dengan berkesan. Tanpa ilmu penulisan ini maka gedung ilmu yang dimiliki oleh para ulama atau ilmuan ini akan terkubur bersama mereka tatkala mereka kembali ke rahmatullah. Maka, pada masa itu rugilah segala manusia yang tinggal. Namun, jika para ulama dan ilmuan ini dapat menghasilkan kitab dan buku atas usaha kita guru bahasa mengajar mereka dengan ilmu penulisan maka beruntunglah kita dan dunia seluruhnya.
Kesimpulannya, kita guru-guru bahasa mempunyai peranan yang amat besar dalam agama. Kita ialah penyedia para da'i untuk agama Allah ini, Keberkesanan dakwah amat bergantung kepada ilmu yang kita curahkan kepada anak murid kita. Hari ini kita tidak tahu mungkin ada dalam kalangan anak murid kita kelak menjadi ulama atau ilmuan besar yang berjasa kepada masyarakat. Jika tidakpun anak murid kita, peranan dakwah ini juga terpikul di bahu kita sebagai seorang muslim. Jadi ilmu bahasa yang ada pada diri kita ini sebarkanlah kerana peranannya cukup besar dalam memperkasakan agama Islam di muka bumi ini. Wassalam.


Baca selengkapnya......

Selasa, Februari 09, 2010

Seruan Kepada Islam

Dalam kehidupan di dunia ini, manusia mempunyai pelbagai pandangan tentang bagaimana sepatutnya mereka hidup. Pelbagai falsafah dan pandangan tentang hal ini dilontarkan oleh manusia. Sebagai contoh dalam masyarakat moden kita pernah dengar tentang marxisme, sosialime, komunisme, kapitalisme dan sebagainya. Namun, semua sistem bikinan manusia ini telah runtuh. Dan mutakhir ini, sistem kapitalisme juga sedang menuju kehancuran. Manusia sering sahaja mencari-cari cara hidup yang dianggap sesuai dengan pandangan mereka, namun akhirnya mereka menjadi tenggelam punca akibat sesat dalam pencarian tersebut.

Sebenarnya, apabila Allah s.w.t mencipta manusia pertama yakni Adam, Allah sebagai tuhan yang bersifat Maha Pencipta dan Maha Bijaksana telah mencipta sistem hidup manusia itu bersekali dengan penciptaan manusia. Allah sebagai Pencipta sudah pasti amat memahami sifat dan fitrah kejadian manusia itu sendiri. Ialah siapakah yang lebih memahami hasil ciptaanNya kalau bukan Allah s.w.t sendiri. 

Bertitik tolak dari kenyataan di atas dengan sifat Pengasihnya Allah telah mengutuskan Rasul sebagai utusanNya yang memandu manusia dalam menjalani kehidupan di dunia ini. Semua Nabi dan Rasul yang telah diutus oleh Allah s.w.t membawa satu agama yang sesuai dengan fitrah kejadiaan manusia. Malahan, sifat agama itu sendiri adalah fitrah dan amat sesuai dengan kejadiaan manusia. Agama atau lebih tepatnya Deen itu ialah Islam. Islam menawarkan cara hidup yang melengkapi pakej kejadiaan manusia itu sendiri kerana seperti yang telah disebutkan di atas Allah s.w.t menciptakan manusia lengkap dengan cara atau kaedah mereka hendak hidup di dunia ini. 

Memaksa manusia menjalani kehidupan yang tidak sesuai dengan fitrahnya akan menjadikan manusia itu rosak, sama ada rosak dari segi spiritualnya mahupun jasmaninya. Maka, dalam memilih sistem kehidupan di dunia ini manusia tidak ada alternatif lain,hanya Islam yang bersifat fitrah itulah yang akan menjamin kebahagiaan hidup di dunia ini. Jika, kita lihat di sekeliling kita, kita melihat begitu banyak kerosakan dalam masyarakat. Malahan dalam masyarakat Islam sendiri berlaku kerosakan. Hal ini berlaku tidak lain tidak,  kerana manusia muslim yang rosak itu telah meninggalkan cara hidup yang digariskan oleh Islam dan memilih cara hidup lain seperti cara hidup barat atau sekular. Malahan, dalam situasi kini, generasi baru muslim telah dipaksa hidup dengan cara hidup selain Islam. Kita amat sedih, kerana generasi muda seolah-olah melihat Islam dari jauh, sedang jiwa mereka amat menderita, menderita kerana sistem beracun yang disuntik dalam sistem kehidupan mereka. Itulah yang menyebabkan kerosakan berlaku dalam masyarakat Islam kini.

Dalam hal ini, tidak ada alternatif lain dapat kita lakukan selain kembali kepada cara hidup Islam. Setiap kejadian yang dicipta oleh Allah s.w.t perlu tunduk kepadaNya. Apabila manusia memilh untuk mencari jalan hidup yang berbeza dan mereka cipta pula cara hidup sendiri maka mereka sebenarnya memilih untuk menuju kerosakan dan kehancuran. Setiap kejadiaan ciptaan Allah s.w.t telah seimbang dan terbaik seperti dalam firmanNya dalam surah Al-Mulk ayat 3 :

      الَّذِي خَلَقَ سَبْعَ سَمَاوَاتٍ طِبَاقًا ۖ مَا تَرَىٰ فِي خَلْقِ الرَّحْمَٰنِ مِنْ تَفَاوُتٍ ۖ فَارْجِعِ الْبَصَرَ هَلْ تَرَىٰ مِنْ فُطُورٍ [٦٧:٣]

Dialah yang telah menciptakan tujuh langit berlapis-lapis. Kamu sekali-kali tidak melihat pada ciptaan Tuhan Yang Maha Pemurah sesuatu yang tidak seimbang. Maka lihatlah berulang-ulang, adakah kamu lihat sesuatu yang tidak seimbang? 

Maka, bagi merawat semula jiwa masyarakat kita yang telah rosak ini, marilah kita kembali kepada Islam. Malahan, kepada yang sedang mencari tujuan dan jalan hidup di dunia ini marilah kepada Islam. Islam adalah jawapan kepada kemelut yang ada pada hari ini. Tinggalkanlah cara hidup yang merosakan sistem kejadian manusia itu sendiri. kita kembali kepada ajaran fitrah kejadian kita, yakni Islam, maka segala masalah akan selesai, InsyaAllah 

Baca selengkapnya......

Perjuanganku

Memartabat Agama Islam dan Bahasa Melayu sehingga diletakkan di tempat yang selayaknya.

Dimanakah Anda?

Tetamu