Khamis, Mac 25, 2010

Persediaan Kemahiran Berbahasa dalam Dakwah


Wahai Tuhanku! Lapangkanlah dadaku. Dan mudahkanlah bagiku urusanku. Dan bukakanlah simpulan dari lidahku. (Supaya) mereka memahami perkataanku."
(Surah Toha, Ayat 25-28)

Petikan ayat dari surah Toha di atas jelas menujukkan keperluan lidah yang fasih dalam proses berdakwah. Nabi  Musa alaihissalam telah memohon kepada Allah Azzawajalla agar dikurniakan lidah yang fasih tatkala berhadapan dengan Firaun laknatullah agar proses dakwah Baginda berjalan lancar dan dapat difahami. 

Jelas dalam soal ini, kita mendapati bahawa keperluan lidah yang fasih amat penting kepada seorang dai'e seperti kita. Dalam proses dakwah segala wadah perlu digunakan bagi mendapatkan kesan yang baik. Dalam proses dakwah komunikasi tidak dapat tidak mesti berlaku. Dalam hal ini, keberkesanan proses komunikasi amat berkait rapat dengan kemahiran berbahasa. Tanpa kemahiran berbahasa proses komunikasi akan pincang dan tidak berkesan. Dalam situasi ini kita perlu memahami bahawa kemahiran berbahasa meliputi kemahiran bertutur, menulis, dan mendengar. 

Seorang dai'e yang berjaya perlu menguasai ketiga-tiga cabang kemahiran bahasa tersebut. Malahan, Rasulullah sendiri menggunakan ketiga-tiga kemahiran tersebut dalam proses dakwah baginda. Rasulullah memiliki lidah yang fasih hingga kaum musyrikin Mekah melarang orang ramai daripada mendengar barang sedikitpun kata-kata Baginda kerana tatkala mendengar kata-kata Rasullulah pasti hati akan terpaut kepada dakwah Baginda. 

Selain kemahiran bertutur dakwah Rasulullah juga meliputi penulisan. Bukan sedikit warkah-warkah baginda utuskan kepada raja -raja di sekitar semenanjung Tanah Arab yang menyeru kepada Islam. Rasulullah melalui juru tulis Baginda seperti Abu Hanzalah bin Ar Rabie telah mengutus warkah kepada Raja Rom dan ketua kabilah sekitar Madinah. Jelaslah bahawa kemahiran berbahasa amat penting dalam melancarkan proses dakwah.

Oleh itu, sebagai dai'e kita perlu menguasai kemahiran berbahasa agar proses dakwah kita berkesan. Dalam konteks masyarakat setempat seperti masyarakat Malaysia ini, menguasai bahasa Melayu menjadi amat penting kerana tanpa pengetahuan dalam bahasa ini maka komunikasi dengan masyarakat setempat akan terbantut. Hal ini kerana bahasa Melayu merupakan lingua franca masyarakat di Malaysia dan bahasa ini merupakan bahasa yang dapat difahami oleh kebanyakan lapisan masyarakat di negara ini. 

Malahan, adalah lebih baik lagi jika kita dapat pula menguasai bahasa daerah atau loghat di sesuatu tempat seperti loghat Perak, Kedah, Kelantan dan sebagainya. Hal ini kerana, apabila kita bergaul dengan masyarakat kita akan mudah diterima apabila kita dilihat mempunyai persamaan dengan mereka. 

Sebagai seorang dai'e kita perlu mempersiapkan diri kita dengan pelbagai nilai tambah agar dakwah yang ingin disampaikan berkesan. Meskipun hidayah hanya di tangan Allah, tetapi ingatlah usaha tetap juga perlu dilaksanakan. Sekian, Wassalam. 

Contoh warkah Rasulullah s.a.w:



Baca selengkapnya......

Ahad, Mac 07, 2010

Membangkitkan Semula Gerakan Muda Islam

Selepas berlaku beberapa peristiwa penting dalam akhir dekat 70-an, seperti Revolusi Iran kebangkitan Islam mula menyemarak selepas mengalami pelbagai tekanan daripada pelbagai penjuru seperti penjuru penjajahan, kelemahan ilmu, dan penyesatan akidah akibat amalan kurafat serta kemasukkan budaya barat atau dikenali budaya kuning. Pada dekad 50-an dan 60-an, umat Islam di Malaysia seolah-olah mabuk dengan gerakan budaya pop. Penghayatan terhadap cara hidup Islam amat rendah. Menurut tinjauan dan perbincangan dengan generasi yang hidup pada zaman itu, pemuda muslim mabuk dengan gaya hidup barat dengan bercambahnya kelab-kelab malam yang pada masa itu dikenali sebagai kelab kabaret. Pada tahun 60-an juga percambahan pawagam juga menjadikan budaya hidup muslim benar-benar berubah hala dan corak. Pada masa itu, filem-filem Hindi dibawa masuk ke Malaya hinggakan generasi muda amat menggilai aktor dan aktresnya serta menghafal bait-bait lagu Hindi. Malahan, pada masa ini, jika seorang muslimah bertudung maka masyarakat amat skeptikal dan menganggap mereka golongan terpinggir dan antipemodenan. nbsp;
Tatkala masuk dekad 70-an, berlaku sekali lagi gelombang kebejatan sosial apabila kemasukkan pengaruh hidup barat yang amat merosakkan seperti budaya 'wordstock' yang memperlihatkan pemujaan gaya hidup hippies yang diamalkan di barat. Pada masa ini, banyak konsert terbuka dianjurkan dan pada masa inilah pengaruh ganja dan kokain masuk dalam kehidupan muda-mudi muslim di Malaysia. Namun, pada akhir dekad 70-an, berlaku  kebangkitan Islam yang memperlihatkan pemuda muslim di negara ini terkelompok kepada dua golongan, yakni golongan yang memuja gaya hidup dan muzik barat serta golongan yang mulai mencari kebenaran Islam. Gerakan kebangkitan Islam ini memperlihatkan pelbagai pertubuhan Islam ditubuhkan seperti Angkatan Belia Islam Malaysia(ABIM), Al-Arqam, Tabligh dan beberapa pertubuhan lain. Pertubuhan ini banyak memainkan peranan mengubah lanskap muda-mudi di Malaysia pada akhir dekad 70-an. Keghairahan terhadap cara hidup Islam menjadikan pelbagai konsert muda-mudi bertukar kepada forum, usrah,dan pelbagai aktiviti dakwah yang menyeru pemuda-pemudi kembali kepada Islam. Malahan, sehingga pertengahan dekad 80-an gerakan muda Islam amat kuat mempengaruhi masyarakat sehingga memaksa kerajaan respons terhadap kehendak masyarakat dengan memperkenalkan Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam dalam Pentadbiran pada tahun 1985.
Meskipun, pada dekad 80-an, sekali lagi berlaku gelombang kebejatan sosial yang memperlihatkan kemasukkan pengaruh muzik Rock namun masih diimbangi dengan pertubuhan-pertubuhan ini. Pada masa itu, pengaruh usrah dan gerakan dakwah pertubuhan seperti ABIM dan Al-Arqam telah menjadi benteng kepada muda-mudi.
Namun, bermula dekad 90-an sehingga kini, gerakan golongan muda Islam dilihat semakin lemah, bermula dengan pengharaman Al-Arqam dan kurangnya aktiviti dakwah oleh pertubuhan Islam seperti ABIM dalam kalangan muda-mudi. Kehidupan muda-mudi mulai jauh daripada nur Islam, kepesatan teknologi maklumat dan komunikasi seperti internet memperlihatkan arus globalisasi merempuh masuk ke dalam jiwa masyarakat muda. Hari ini, kita lihat kesannya, berlaku sekali lagi senario pada awal dekad 70-an, apabila gaya hidup barat menular dalam masyarakat. Pelbagai aktiviti tidak bermoral berlaku dalam masyarakat seperti pergaulan bebas, berlumba haram(rempit), aktiviti kelab malam yang menjadi ibu kemaksiatan dan pelbagai lagi. Sebagai kesannya, kita lihat kes pembuangan bayi menular, kes perzinaan melata,  tekanan hidup yang membawa kepada pembunuhan dalam kalangan golongan muda berleluasa. Senario hidup masyarakat semakin parah dengan kejadian jenayah berat seperti pembunuhan, rompak, samun, rogol dan pelbagai lagi situasi yang amat menakutkan berlaku dalam masyarakat.
Jelaslah, masyarakat Malaysia memerlukan penawar kepada segala penyakit sosial ini. Tidak dapat tidak golongan muda yang mendasari segala keporakperandaan perlu disuntik semula dengan vaksin nur Islam. Tidak ada ubat lain yang lebih mujarab selain kembali kepada Islam. Oleh itu, sebahagian golongan muda yang mempunyai kesedaran perlu bangkit membantu sahabat muda kita yang sedang sakit itu. Marilah kita seru golongan muda bermasalah ini kepada cara hidup Islam. Untuk itu, saya menyeru kepada para pemuda dan pemudi semua agar kembali menghidupkan semula gerakan Islam seperti ABIM untuk mengatasi masalah sosial dalam masyarakat kita. Kita hidupkan semula aktiviti seperti usrah dan dakwah agar ia menjadi pengubat kepada diri kita dan sahabat muda kita. Menghidupkan semula gerakan Islam seperti ABIM akan memperkuatkan benteng jiwa daripada kebejatan sosial yang berlaku kini. Kita sebagai golongan muda mempunyai peranan yang amat besar dalam mengembalikan nur Islam dalam masyarakat meskipun kita berasakan tiada kekuatan mengubah keadaan masyarakat kini namun percayalah dengan menghidupkan dan memperkasakan semula gerakan Islam pasti Allah s.w.t akan memberi bantuan kepada kita. InsyaAllah.        

Baca selengkapnya......

Perjuanganku

Memartabat Agama Islam dan Bahasa Melayu sehingga diletakkan di tempat yang selayaknya.

Dimanakah Anda?

Tetamu