Memaparkan catatan dengan label Islam. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Islam. Papar semua catatan

Rabu, November 10, 2010

Saat yang Didambarkan

Setelah lama tidak menulis di alam siber hari ini terasa rindu pula untuk menulis di blog ini. Sebenarnya rasa rindu ini tercetus daripada perbincangan kami beberapa orang guru bersama-sama Dr Jamnul Azhar Hj Mulkan selepas ceramah perdana pada malam semalam. perbincangan kami berkisar tentang peristiwa akhir zaman dan kemunculan Imam Mahdi dan nabi Isa ibn Maryam a.s..

Dalam perbincangan tersebut DR Jamnul menceritakan daripada sebuah hadis yang panjang tentang detik kemunculan nabi Isa ibn Maryan a.s. Menurut beliau berdasarkan hadis tersebut nabi Isa akan muncul di Masjid Nabawi pada hari Jumaat, sebelum solat Jumaat. Pada waktu tersebut para jemaah hampir ingin mendirikan solat Jumaat yang akan diimami oleh Imam Mahadi. Maka muncullah seorang lelaki asing memberikan salam kepada Rasulullah, Abu Bakar as-siddiq dan Umar ibn Khatab di makam mereka. Tatkala itu, semua hadirin memandang kepada lelaki asing tersebut. Maka dalam kalangan jemaah Jumaat pada tengah hari itu hanya seorang sahaja yang mengenali lelaki asing itu yakni Imam Mahdi. Beliau akan menyebut bahawa lelaki asing itu ialah nabi Isa Ibn Maryam.

Sesuatu yang menarik tentang detik itu ialah alangkah indahnya jika saya menjadi salah seorang daripada jemaah Jumaat pada hari itu. Alangkah indahnya apabila dapat menatap dan bersalaman dengan seorang nabi Allah dan bersama mereka berjuang menentang si Dajal laknatullah.Sesungguhnya itulah saat yang amat didambarkan. Wassalam.

Baca selengkapnya......

Ahad, Mac 07, 2010

Membangkitkan Semula Gerakan Muda Islam

Selepas berlaku beberapa peristiwa penting dalam akhir dekat 70-an, seperti Revolusi Iran kebangkitan Islam mula menyemarak selepas mengalami pelbagai tekanan daripada pelbagai penjuru seperti penjuru penjajahan, kelemahan ilmu, dan penyesatan akidah akibat amalan kurafat serta kemasukkan budaya barat atau dikenali budaya kuning. Pada dekad 50-an dan 60-an, umat Islam di Malaysia seolah-olah mabuk dengan gerakan budaya pop. Penghayatan terhadap cara hidup Islam amat rendah. Menurut tinjauan dan perbincangan dengan generasi yang hidup pada zaman itu, pemuda muslim mabuk dengan gaya hidup barat dengan bercambahnya kelab-kelab malam yang pada masa itu dikenali sebagai kelab kabaret. Pada tahun 60-an juga percambahan pawagam juga menjadikan budaya hidup muslim benar-benar berubah hala dan corak. Pada masa itu, filem-filem Hindi dibawa masuk ke Malaya hinggakan generasi muda amat menggilai aktor dan aktresnya serta menghafal bait-bait lagu Hindi. Malahan, pada masa ini, jika seorang muslimah bertudung maka masyarakat amat skeptikal dan menganggap mereka golongan terpinggir dan antipemodenan. nbsp;
Tatkala masuk dekad 70-an, berlaku sekali lagi gelombang kebejatan sosial apabila kemasukkan pengaruh hidup barat yang amat merosakkan seperti budaya 'wordstock' yang memperlihatkan pemujaan gaya hidup hippies yang diamalkan di barat. Pada masa ini, banyak konsert terbuka dianjurkan dan pada masa inilah pengaruh ganja dan kokain masuk dalam kehidupan muda-mudi muslim di Malaysia. Namun, pada akhir dekad 70-an, berlaku  kebangkitan Islam yang memperlihatkan pemuda muslim di negara ini terkelompok kepada dua golongan, yakni golongan yang memuja gaya hidup dan muzik barat serta golongan yang mulai mencari kebenaran Islam. Gerakan kebangkitan Islam ini memperlihatkan pelbagai pertubuhan Islam ditubuhkan seperti Angkatan Belia Islam Malaysia(ABIM), Al-Arqam, Tabligh dan beberapa pertubuhan lain. Pertubuhan ini banyak memainkan peranan mengubah lanskap muda-mudi di Malaysia pada akhir dekad 70-an. Keghairahan terhadap cara hidup Islam menjadikan pelbagai konsert muda-mudi bertukar kepada forum, usrah,dan pelbagai aktiviti dakwah yang menyeru pemuda-pemudi kembali kepada Islam. Malahan, sehingga pertengahan dekad 80-an gerakan muda Islam amat kuat mempengaruhi masyarakat sehingga memaksa kerajaan respons terhadap kehendak masyarakat dengan memperkenalkan Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam dalam Pentadbiran pada tahun 1985.
Meskipun, pada dekad 80-an, sekali lagi berlaku gelombang kebejatan sosial yang memperlihatkan kemasukkan pengaruh muzik Rock namun masih diimbangi dengan pertubuhan-pertubuhan ini. Pada masa itu, pengaruh usrah dan gerakan dakwah pertubuhan seperti ABIM dan Al-Arqam telah menjadi benteng kepada muda-mudi.
Namun, bermula dekad 90-an sehingga kini, gerakan golongan muda Islam dilihat semakin lemah, bermula dengan pengharaman Al-Arqam dan kurangnya aktiviti dakwah oleh pertubuhan Islam seperti ABIM dalam kalangan muda-mudi. Kehidupan muda-mudi mulai jauh daripada nur Islam, kepesatan teknologi maklumat dan komunikasi seperti internet memperlihatkan arus globalisasi merempuh masuk ke dalam jiwa masyarakat muda. Hari ini, kita lihat kesannya, berlaku sekali lagi senario pada awal dekad 70-an, apabila gaya hidup barat menular dalam masyarakat. Pelbagai aktiviti tidak bermoral berlaku dalam masyarakat seperti pergaulan bebas, berlumba haram(rempit), aktiviti kelab malam yang menjadi ibu kemaksiatan dan pelbagai lagi. Sebagai kesannya, kita lihat kes pembuangan bayi menular, kes perzinaan melata,  tekanan hidup yang membawa kepada pembunuhan dalam kalangan golongan muda berleluasa. Senario hidup masyarakat semakin parah dengan kejadian jenayah berat seperti pembunuhan, rompak, samun, rogol dan pelbagai lagi situasi yang amat menakutkan berlaku dalam masyarakat.
Jelaslah, masyarakat Malaysia memerlukan penawar kepada segala penyakit sosial ini. Tidak dapat tidak golongan muda yang mendasari segala keporakperandaan perlu disuntik semula dengan vaksin nur Islam. Tidak ada ubat lain yang lebih mujarab selain kembali kepada Islam. Oleh itu, sebahagian golongan muda yang mempunyai kesedaran perlu bangkit membantu sahabat muda kita yang sedang sakit itu. Marilah kita seru golongan muda bermasalah ini kepada cara hidup Islam. Untuk itu, saya menyeru kepada para pemuda dan pemudi semua agar kembali menghidupkan semula gerakan Islam seperti ABIM untuk mengatasi masalah sosial dalam masyarakat kita. Kita hidupkan semula aktiviti seperti usrah dan dakwah agar ia menjadi pengubat kepada diri kita dan sahabat muda kita. Menghidupkan semula gerakan Islam seperti ABIM akan memperkuatkan benteng jiwa daripada kebejatan sosial yang berlaku kini. Kita sebagai golongan muda mempunyai peranan yang amat besar dalam mengembalikan nur Islam dalam masyarakat meskipun kita berasakan tiada kekuatan mengubah keadaan masyarakat kini namun percayalah dengan menghidupkan dan memperkasakan semula gerakan Islam pasti Allah s.w.t akan memberi bantuan kepada kita. InsyaAllah.        

Baca selengkapnya......

Selasa, Februari 09, 2010

Seruan Kepada Islam

Dalam kehidupan di dunia ini, manusia mempunyai pelbagai pandangan tentang bagaimana sepatutnya mereka hidup. Pelbagai falsafah dan pandangan tentang hal ini dilontarkan oleh manusia. Sebagai contoh dalam masyarakat moden kita pernah dengar tentang marxisme, sosialime, komunisme, kapitalisme dan sebagainya. Namun, semua sistem bikinan manusia ini telah runtuh. Dan mutakhir ini, sistem kapitalisme juga sedang menuju kehancuran. Manusia sering sahaja mencari-cari cara hidup yang dianggap sesuai dengan pandangan mereka, namun akhirnya mereka menjadi tenggelam punca akibat sesat dalam pencarian tersebut.

Sebenarnya, apabila Allah s.w.t mencipta manusia pertama yakni Adam, Allah sebagai tuhan yang bersifat Maha Pencipta dan Maha Bijaksana telah mencipta sistem hidup manusia itu bersekali dengan penciptaan manusia. Allah sebagai Pencipta sudah pasti amat memahami sifat dan fitrah kejadian manusia itu sendiri. Ialah siapakah yang lebih memahami hasil ciptaanNya kalau bukan Allah s.w.t sendiri. 

Bertitik tolak dari kenyataan di atas dengan sifat Pengasihnya Allah telah mengutuskan Rasul sebagai utusanNya yang memandu manusia dalam menjalani kehidupan di dunia ini. Semua Nabi dan Rasul yang telah diutus oleh Allah s.w.t membawa satu agama yang sesuai dengan fitrah kejadiaan manusia. Malahan, sifat agama itu sendiri adalah fitrah dan amat sesuai dengan kejadiaan manusia. Agama atau lebih tepatnya Deen itu ialah Islam. Islam menawarkan cara hidup yang melengkapi pakej kejadiaan manusia itu sendiri kerana seperti yang telah disebutkan di atas Allah s.w.t menciptakan manusia lengkap dengan cara atau kaedah mereka hendak hidup di dunia ini. 

Memaksa manusia menjalani kehidupan yang tidak sesuai dengan fitrahnya akan menjadikan manusia itu rosak, sama ada rosak dari segi spiritualnya mahupun jasmaninya. Maka, dalam memilih sistem kehidupan di dunia ini manusia tidak ada alternatif lain,hanya Islam yang bersifat fitrah itulah yang akan menjamin kebahagiaan hidup di dunia ini. Jika, kita lihat di sekeliling kita, kita melihat begitu banyak kerosakan dalam masyarakat. Malahan dalam masyarakat Islam sendiri berlaku kerosakan. Hal ini berlaku tidak lain tidak,  kerana manusia muslim yang rosak itu telah meninggalkan cara hidup yang digariskan oleh Islam dan memilih cara hidup lain seperti cara hidup barat atau sekular. Malahan, dalam situasi kini, generasi baru muslim telah dipaksa hidup dengan cara hidup selain Islam. Kita amat sedih, kerana generasi muda seolah-olah melihat Islam dari jauh, sedang jiwa mereka amat menderita, menderita kerana sistem beracun yang disuntik dalam sistem kehidupan mereka. Itulah yang menyebabkan kerosakan berlaku dalam masyarakat Islam kini.

Dalam hal ini, tidak ada alternatif lain dapat kita lakukan selain kembali kepada cara hidup Islam. Setiap kejadian yang dicipta oleh Allah s.w.t perlu tunduk kepadaNya. Apabila manusia memilh untuk mencari jalan hidup yang berbeza dan mereka cipta pula cara hidup sendiri maka mereka sebenarnya memilih untuk menuju kerosakan dan kehancuran. Setiap kejadiaan ciptaan Allah s.w.t telah seimbang dan terbaik seperti dalam firmanNya dalam surah Al-Mulk ayat 3 :

      الَّذِي خَلَقَ سَبْعَ سَمَاوَاتٍ طِبَاقًا ۖ مَا تَرَىٰ فِي خَلْقِ الرَّحْمَٰنِ مِنْ تَفَاوُتٍ ۖ فَارْجِعِ الْبَصَرَ هَلْ تَرَىٰ مِنْ فُطُورٍ [٦٧:٣]

Dialah yang telah menciptakan tujuh langit berlapis-lapis. Kamu sekali-kali tidak melihat pada ciptaan Tuhan Yang Maha Pemurah sesuatu yang tidak seimbang. Maka lihatlah berulang-ulang, adakah kamu lihat sesuatu yang tidak seimbang? 

Maka, bagi merawat semula jiwa masyarakat kita yang telah rosak ini, marilah kita kembali kepada Islam. Malahan, kepada yang sedang mencari tujuan dan jalan hidup di dunia ini marilah kepada Islam. Islam adalah jawapan kepada kemelut yang ada pada hari ini. Tinggalkanlah cara hidup yang merosakan sistem kejadian manusia itu sendiri. kita kembali kepada ajaran fitrah kejadian kita, yakni Islam, maka segala masalah akan selesai, InsyaAllah 

Baca selengkapnya......

Ahad, Januari 24, 2010

Renungan

Nasihat dari Saidina Ali b. Abi Talib k.w:

"Amal ibadah itu memang meletihkan tetapi ingatlah keletihan itu akan hilang, tetapi pahalanya akan kekal selama-lamanya."
"Manakala maksiat itu memang menyeronokkan, tetapi ingatlah keseronokan akan hilang, tetapi dosanya akan kekal selama-lamanya."

Baca selengkapnya......

Isnin, Januari 18, 2010

Berdiri Menghormati Pemimpin/Ketua?


Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wa Salam bersabda,


“Barangsiapa suka dihormati manusia dengan perhormatan dalam bentuk berdiri, maka hendaklah dia bersiap sedia dengan tempat duduknya di Neraka.” (Hadis Riwayat Ahmad, hadis sahih)

Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu berkata,

“Tidak seorang pun yang lebih dicintai oleh para sahabat daripada Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wa Salam. Tetapi, bila mereka melihat Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wa Salam (hadir), mereka tidak berdiri untuk beliau. Ini adalah kerana mereka mengetahui bahawa beliau membenci perkara tersebut.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, hadis sahih)

Ini adalah kerana para sahabat Rasulullah Radhiallaahu ‘anhu yang sangat mencintai Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wa Salam pun apabila mereka melihat Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wa Salam masuk ke dalam sesuatu majlis, mereka tidak berdiri untuk beliau. Kerana mereka mengetahui bahawa Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wa Salam tidak menyukai perkara tersebut.

Hadis di atas menunjukkan bahawa seseorang muslim yang suka dihormati dengan berdiri, ketika dia masuk ke sesuatu majlis, maka dia diancam dengan ancaman Neraka.


Telah menjadi kebiasaan manusia untuk berdiri sebagai tanda penghormatan kepada manusia lainnya yang tertentu. Apatah lagi jika dia adalah seorang syaikh (tuan guru) masuk untuk membentangkan pengajian, atau untuk untuk tujuan tertentu. Juga jika seseorang pemimpin atau pembesar yang datang ke dalam sesuatu majlis, kebanyakan manusia akan bangun sebagai tanda penghormatan dan sebagai dasar memenuhi protokol-protokol tertentu. Sesiapa yang tidak mahu berdiri akan dikatakan sebagai tidak beradab, dan tidak menghormati orang lain dari tok gurunya atau para pemimpinnya.

Sewajarnya, seseorang guru atau pemimpin yang berilmu dan mengamalkan ilmuya perlu memberitahu permasalahan tersebut kepada masyarakat. Supaya dengan pemberitahuan tersebut masyarakat tidak akan melakukan perkara yang dibenci oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Salam berulang kali. Malah, apabila seseorang pemimpin atau tok guru mendiamkan perkara tersebut, ia adalah seakan-akan mereka juga turut bersetuju dengan cara penghormatan seperti itu ke atas dirinya, sedangkan Nabi membencinya.

Membiasakan berdiri untuk menghormati orang alim atau orang yang masuk ke dalam sesuatu majlis, akan melahirkan di hati keduanya kesenangan untuk dihormati dengan cara berdiri. Malah jika seseorang tidak berdiri, ia akan merasa gelisah. Mereka yang berdiri itu menjadi penolong syaitan apabila mereka menyenangi penghormatan dengan cara berdiri untuk orang yang hadir. Padahal Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wa Salam bersabda,

“Janganlah kamu menjadi penolong syaitan atas saudaramu.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Sebahagian dari mereka menyatakan, “kami berdiri kepada tok guru hanyalah sekadar bertujuan menghormati ilmunya.

Kita bertanya kembali kepada mereka, “Adakah kamu meragui keilmuan Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wa Salam dan adab para sahabat kepada beliau, walau pun demikian, mengapa mereka tetap tidak berdiri untuk Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wa Salam?”

Perlu kita fahami bahawa Islam tidak mengajarkan penghormatan dengan cara berdiri. Tetapi Islam mengajar dengan keta’atan dan mematuhi perintah, menyampaikan salam dan saling berjabat tangan.

Adakah makam seseorang tok guru dan pemimpin yang diberi penghormatan dengan berdiri itu lebih tinggi dari kedudukan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam?

Sering kita lihat dalam sesuatu sesi pertemuan atau majlis, jika orang kaya yang masuk, semua berdiri menghormati. Tetapi giliran orang miskin yang masuk, tidak seorang pun berdiri menghormatinya. Perlakuan tersebut akan menumbuhkan sifat dengki di hati orang miskin terhadap orang kaya dan para hadirin yang lain. Akhirnya di antara umat Islam wujud perasaan saling membenci yang merupakan sesuatu yang amat dilarang di dalam Islam. Musababnya, berdiri buat menghormati. Padahal orang miskin yang tidak dihormati dengan berdiri itu, boleh jadi di sisi Allah dia lebih mulia dari orang kaya yang dihormati dengan berdiri.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman,



“Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu.” (Al-Hujurat: 13)

Mungkin ada yang berkata, “Jika kita tidak berdiri untuk orang yang masuk ke dalam majlis, mungkin dalam hatinya terdetik sesuatu prasangka kepada kita yang duduk.”

Kita menjawab, “Kita menjelaskan kepada orang yang datang itu, bahawa kecintaan kita padanya terletak di hati. Dan kita meneladani Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wa Salam yang membenci berdiri sebagai tanda penghormatan. Juga meneladani para sahabat yang tidak berdiri untuk beliau. Dan kita tidak mengkehendaki orang yang datang itu masuk Neraka.”

Maka, dengan itu, janganlah kita zahirkan cara penghormatan yang boleh mengakibatkan mereka yang diberi penghormatan itu diancam dengan Neraka sebagaimana hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Salam,

“Barangsiapa suka dihormati manusia dengan perhormatan dalam bentuk berdiri, maka hendaklah dia bersiap sedia dengan tempat duduknya di Neraka.” (Hadis Riwayat Ahmad, hadis sahih).

Petikan daripada Al-Fikrah.

Baca selengkapnya......

Sabtu, Januari 16, 2010

Sukan dan Umur yang Panjang

Ramai manusia percaya bahawa kesihatan yang baik akan menjamin umur yang panjang. Hal ini menyebabkan mereka cenderung berusaha menjaga kesihatan dengan penuh kepercayaan bahawa dengan usaha mereka itu akan menjadikan umur mereka menjadi panjang. Benar! kebanyakan manusia ingin berumur panjang. Sebab itulah saban hari kita akan berdoa ke hadrat Allah s.w.t agar umur kita dipanjangkan.  Namun, beranggapan bahawa dengan melakukan senaman umur mereka akan menjadi panjang adalah suatu tanggapan yang salah..
 

Sudah pasti ada orang yang tidak bersetuju dengan kenyataan di atas. Hal ini kerana, bagi mereka jika kita selalu bersenam dan aktif dalam sukan, maka sistem tubuh kita akan menjadi baik dan lancar. Jantung dan paru-paru kita akan menjadi kuat dan seterusnya akan menjadikan badan kita sihat. Bukankah badan yang sihat akan menjadikan umur kita panjang. Itulah logik akal manusia.

Namun, dalam kehidupan beragama bukan semuanya berdasarkan kepada logik akal kerana terdapat beberapa perkara sememangnya telah menjadi ketentuan Allah s.w.t.  Antaranya ialah umur manusia. Betapa ramai kita saksikan betapa ramai manusia yang aktif bersukan dan amat teliti dalam penjagaan kesihatan tiba-tiba maut menjemputnya. Mungkin mautnya dengan kemalangan jalan raya, atau penyakit lain seperti tumor otak atau kanser malahan betapa ramai kita saksikan ahli sukan yang mati di gelanggang sukan(lihat disini). Semuanya berlaku dengan cepat sehingga membingungkan para doktor dan para sahabat disekelilingnya.

Inilah hakikat maut. Pasti datang apabila tiba waktunya. Tidak lambat atau cepat barang sesaat sekalipun. Firman Allah s.w.t :




Dan bagi tiap-tiap umat ada ajal (yang telah ditetapkan); maka apabila datang ajalnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaatpun, dan tidak dapat pula mereka didahulukan.
(al-A’raf : 34)

Itulah hakikat umur manusia. Seringkali kita melihat betapa manusia begitu sibuk dan berminat dengan bidang sukan dengan tanggapan bahawa dengan bersukan umur mereka akan menjadi panjang. Malahan, kerana minat yang amat mendalam itu mereka banyak memikirkan tentang sukan semata-mata. Perbualan dan aktiviti hidup mereka berlegar dalam dunia sukan semata-mata. Malahan, yang lebih malang mereka mengabaikan solat dan menangguh amal ibadat kerana hendak ke gelanggang sukan. Ada si fanatik sukan masih berada di padang tatkala azan Maghrib berkumandang. Mereka melambat-lambatkan solat malah ada yang meninggalkannya semata-mata kerana minat terhadap sukan. Itulah bahana sukan dalam kehidupan. Tidaklah salah kita bersukan malahan menjaga kesihatan itu adalah suatu kewajiban. Namun, jika kita bersukan hingga merosakkan amal ibadah apalah gunanya badan yang sihat. Ingatlah ajal dan maut adalah ketentuan Allah s.w.t . Hapuskan tanggapan dengan bersukan umur kita menjadi panjang. Wassalam.





Baca selengkapnya......

Jumaat, Januari 15, 2010

Sabar

Kesabaran merupakan suatu perbuatan yang amat sukar untuk dilakukan. Menurut pendapat para ulama kesabaran ialah tahan hati dalam menempuhi kehidupan di dunia ini.   Dalam kuliah Maghrib pada malam Jumaat lalu Ustaz Rozaini Abdul Rahman menyebut bahawa menurut syarak kesabaran itu terbahagi kepada tiga kategori/pembahagian yakni :
i) Sabar dalam mengerjakan suruhan Allah s.w.t
ii) Sabar dalam menjauhi larangan Allah s.w.t
iii) Sabar dalam menempuhi bala bencana yang diturunkan kepadanya. 


Dalam menempuhi perkara-perkara di atas, detik awal menempuhinya adalah penentu sama ada seseorang itu dianggap bersabar atau tidak.  Dianggap kita gagal dalam ujian kesabaran apabila kita merintih, mengeluh, merusuh, atau meronta tatkala mendengar atau menghadapi saat pertama ujian tersebut. Saat awal itu amat penting untuk kita bertindak dengan cara yang betul mengikut kaedah syarak. Tatkala menghadapi ujian bala bencana katakanlah  انّا للہ و انّا الیہ راجعون yang bermaksud Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. Itulah kaedah syarak dalam menghadapi ujian Allah s.w.t Dalam menghadapi tiga perkara di atas, itulah yang sewajibnya kita lakukan meskipun sememangnya amat berat dan sukar. Wassalam. 

Baca selengkapnya......

Sabtu, Januari 02, 2010

Kalimah Allah

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah memutuskan larangan penggunaan kalimah Allah yang dibuat oleh Kementerian Dalam Negeri(KDN) adalah tidak sah. Keputusan ini amatlah dikesalkan kerana selepas ini pihak bukan Islam bolehlah menggunakan kalimah ini untuk penerbitan mereka. Keadaan ini pasti akan menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat dan kita amat bimbang dengan peningkatan kes murtad hal ini pasti menjadi sesuatu yang amat kita bimbangkan. Kita amat bimbang mungkin pada suatu hari kelak kita akan terbaca satu buku atau penerbitan yang disangkakan dikeluarkan oleh umat Islam tetapi sebenarnya merupakan buku atau artikel agama Kristian. Hal ini pastinya akan mengundang kerisauan kerana tahap pengetahuan agama dalam masyarakat yang masih rendah, memungkinkan pelbagai keburukan kepada umat Islam. Kita amat mengharapkan agar KDN segera membuat rayuan dan dalam soal ini kita amat mengharapkan Raja-Raja Melayu berbuat sesuatu kerana mereka merupakan pelindung dan penaung agama Islam di negara ini. Sebagai seorang muslim kita perlulah lebih prihatin dengan soal ini.Namun, tindakan mengambil kesempatan meraih keuntungan politik seharusnya dijauhi. Ikhlaslah dalam segala tindak dan tanduk pasti Allah akan menganugerahkan kemenangan buat kita  . Wassalam .

Baca selengkapnya......

Jumaat, Januari 01, 2010

Tahun Masihi @ Tahun Hijrah

Jika kita lihat umat Islam pada masa kini amat bertuah kerana mereka merupakan antara umat manusia yang menggunakan dua sistem kalendar dalam masa yang sama. Pertama penggunaan sistem kalendar Masihi atau kalendar gregorian dan kalendar Hijrah. Dalam kuliah bulanan Ustaz Baharuddin(Imam Masjid Tapah) pada malam sebelum tahun baru semalam di Masjid Diraja Ubudiah Kuala Kangsar, beliau menyarankan agar kita tidak terlalu fanatik dalam penggunaan kedua-dua kalendar ini. Hal ini kerana terdapat segelintir umat Islam yang berasakan kalendar Masihi itu milik Barat(lebih khususnya Kristian) dan kalendar Hijrah itu milik Islam..
Sebagai umat Islam kita perlu bersikap lapang dada dan minda dalam memahami pengertian sebenar kedua-dua sistem kalendar tersebut. Hal ini kerana, kita perlu menerima realiti bahawa sistem keduniaan kini mengguna pakai sistem kalendar Masihi dalam semua aspek kehidupan seharian. Namun, dalam masa yang sama kita perlulah lebih prihatin dengan penggunaan sistem kalendar Hijrah kerana sistem kalendar ini amat penting dalam kehidupan beribadat kita seharian. Tidaklah salah kita menggunakan kedua-dua sistem ini dalam kehidupan seharian kita. Cuma jika kita lihat masih ramai umat Islam yang sering melupakan hari bulan dalam Kalendar Hijrah berbanding hari bulan dalam kalendar Masihi.
Maka, kita marilah kita berazam mulai tahun ini agar kita lebih prihatin dengan penggunaan kelendar hijrah. Janganlah hendaknya kita hanya mengetahui hari bulan hijrah hanya pada bulan Ramadhan sahaja dan melupakannya pada bulan-bulan yang lain. Wassalam.

 

Baca selengkapnya......

Jumaat, Oktober 16, 2009

Nikmat Sihat Sebelum Sakit


Telah menjadi sunnatullah setiap makhluk pasti akan merasai kesakitan dan kelesuan pada satu detik dalam kehidupan fana ini. Kesihatan merupakan nikmat yang amat berharga kepada setiap makhluk hidup. Tanpa kesihatan maka segala nikmat yang lain pasti tidak dapat kita rasai sepenuhnya. Namun, kita perlu menyedari bahawa kesakitan dan kesihatan merupakan suatu nikmat yang dikurniakan oleh Allah s.w.t untuk menguji hamba-hambanya.  Kita pasti akan lebih menghargai nikmat kesihatan apabila kita sakit. Sesuatu yang perlu kita ketahui ialah segala amal ibadah yang dilakukan secara istiqamah semasa kita sihat akan kita peroleh pahalanya semasa kita sakit meskipun pada saat itu kita tidak lagi mampu melakukannya. Sebagai contoh, jika kita beristiqamah dalam solat berjemaah semasa sihat, apabila badan telah uzur maka tubuh tidak lagi mampu ke masjid, InsyaAllah pahala akan tetap mengalir dalam kitab amalan kita. Ini semua kerana rahmat dan kemurahan Allah s.w.t. Jadi tika badan masih lagi sihat perbanyakkanlah amal ibadah. Dan yang terpenting sekali perlu ISTIQAMAH. Wassalam.

Baca selengkapnya......

Isnin, September 21, 2009

Erti Syawal


Setelah sebulan menjalani ibadah puasa, umat Islam seluruh dunia meraikannya dengan sambutan Aidilfitri. Hari raya ini dinamai dengan kata 'fitrah' agar kita memahami konotasi fitrah itu kembali kepada asas kehidupan di dunia ini.  Ramadhan perlu dilihat sebagai satu institusi tarbiyah untuk membentuk jiwa yang bertaqwa. Selama sebulan ini, kita telah melatih diri kita untuk mengawal satu elemen dalam diri yang sering mendorong kita melakukan kemungkaran yakni nafsu. Nafsu bukanlah suatu elemen kejahatan dalam diri manusia, kerana elemen inilah yang membezakan antara manusia dan malaikat. Dengan adanya nafsu manusia dapat merasai nikmat-nikmat dalam kehidupan dunia ini. Dengan adanya nafsu kita merasai nikmat makanan yang sedap, nikmat perhubungan seks dan sebagainya. Tanpanya manusia bukanlah manusia. Namun, nafsu perlu dikawal kerana jika tidak elemen ini boleh memudaratkan manusia.
Lantaran, nafsu merupakan elemen yang perlu dikawal, maka institusi Ramadhan merupakan peluang yang disediakan oleh Allah s.w.t untuk manusia melatih diri untuk mengawal hawa nafsu. Pada ketika umat Islam berpuasa, nafsu terhadap makanan, seks, keinginan-keinginan melihat, mendengar, dan mengatakan hal-hal yang mungkar ditahan. Jika pada bulan Ramadhan ini umat Islam benar-benar berjaya mengawal hawa nafsunya, maka tidak mustahil kita boleh mengawal elemen ini selama satu tahun yang akan datang. Malahan, untuk memastikan tidak ada elemen gangguan dalam kita menjalani latihan mengawal nafsu, maka Allah telah membelenggu Syaitan sepanjang bulan Ramadhan, agar manusia dapat memfokuskan diri mereka kepada latihan mengawal hawa nafsu semata-mata.  
Jadi apabila kita meraikan Aidilfitri bermakna kita meraikan diri kita yang telah berjaya membawa diri kita kembali kepada fitrah kejadian manusia itu sendiri. Malahan, sebagai ganjarannya, Allah menawarkan pengampunan dan syurga kepada mereka yang berjaya. Namun, jika selepas Ramadhan, hawa nafsu kita masih lagi tidak terkawal, maka bermakna kita telah gagal mencapai matlamat berpuasa. malahan, jika maksiat terus kita lakukan semasa sambutan Aidilfitri  maka tidak adalah maknanya kita meraikan Syawal. Malah, syawal yang kita raikan hanya sekadar sambutan kerana adat, bukannya kerana syariat. 
Justeru, kita perlu bertanya kepada diri sendiri apakah kita meraikan Syawal kerana kejayaan kita mentarbiyah hawa nafsu kita sepanjang Ramadhan atau sekadar kerana orang lain raikan maka kita juga turut ingin serta meraikannya. Hendaknya, kegembiraan kita meraikan Syawal kerana kita berjaya mengawal hawa nafsu kita sepanjang Ramadhan dan latihan Ramadhan itu memberikan kesan dalam kehidupan kita pada masa mendatang. Maka, jelaslah sambutan Aidilfitri ini merupakan hari konvokensyen untuk mereka yang berjaya keluar dari Universiti Ramadhan dengan jayanya. Wassalam.          .

Baca selengkapnya......

Selasa, September 15, 2009

Berita Baik Kepada Perkembangan Pendidikan Islam Di Malaysia

Sebentar tadi Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan semua lulusan Sijil Tinggi Agama Malaysia(STAM) yang berkelayakan akan diterima memasuki institusi pengajian tinggi awam(IPTA) tempatan mulai sesi akan datang. Hal ini disebabkan JPA baru sahaja mengiktiraf lulusan STAM seperti mana lulusan STPM. Dalam hal ini, kita harus mengucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan kerana setelah sekian lama lulusan STAM akhirnya telah diiktiraf. Pengiktirafan ini sebenarnya telah mengangkat taraf pendidikan Islam ke satu tahap yang lebih tinggi dan seterusnya mengangkat martabat sekolah-sekolah agama di Malaysia. Tahniah.

Baca selengkapnya......

Isnin, September 07, 2009

Nuzul Al-Quran

Tatkala memperkatakan  malam Nuzul Quran, malam 17 Ramadhan antara malam yang amat penting dalam sejarah Islam. Pada malam inilah buat pertama kalinya Al-Quran diturunkan dan disampaikan kepada junjungan besar nabi Muhammad s.a.w.  Sebenarnya, menurut Al-Suyuti dalam kitabnya ‘al-Itqan if Ulum al-Quran’ ,AlQuran diturunkan dalam dua peringkat iaitu dari Luhf-Mahfuz ke Baitul Izzah dan dari Baitul-Izzah kepada Rasulullah s.a.w. Tanggal Al-Quran diturunkan dari Lufh-Mahfuz ke Baitul Izzah tidak diketahui kerana Allah s.w.t hanya menyebut pada malam Lailatul Qadar seperti mana dijelaskan dalam surah Al-Qadr. .Firman Allah SWT,
إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar.” (al-Qadr:1).
Peringkat pertama ini juga seperti disebut oleh Ibnu Abbas Al-Quran diturunkan secara sekaligus.
Sedang, 17 Ramadhan merupakan tarikh Jibril menyampaikan Al-Quran kepada Rasulullah di gua Hiraq buat kali pertama sehinggalah pada 9 Zulhijjah tahun ke-10 Hijrah, yakni selama 23 tahun secara beransur-ansur. Begitulah serba sedikit sejarah penurunan Al-Quran dalam bacaan saya yang sedikit ini. Jelasnya, sejarah Nuzul Quran merupakan detik yang amat penting kerana pada waktu inilah berlaku perubahan besar dalam sejarah manusia apabila Al-Quran diturunkan sebagai panduan hidup kita. Wassalam.

Baca selengkapnya......

Ahad, September 06, 2009

Akidah dan H1N1

Apabila berlakunya wabak H1N1 di seluruh dunia, umat manusia menjadi panik dan bimbang dengan penularannya. Setiap hari kita dihadapkan dengan statistik jangkitan dan kematian yang semakin meningkat. Kesannya, kita amat takut dengan virus ini sehinggakan terbina di dalam minda kita bahawa yang menyebabkan kematian itu ialah virus H1N1 itu..
Ramai umat Islam terlupa bahawa virus itu hanyalah asbab kematian sedangkan hakikatnya, kematian dan kesakitan itu datangnya dari Allah s.w.t. Terdapat tanggapan bahawa virus itu amat berkuasa untuk menarik roh dari jasad sehingga menyebabkan kematian. Kita perlu menyedari bahawa kematian, kesakitan, kebahagian dan kesihatan yang kita alami kini merupakan ujian Allah s.w.t buat hamba-hambanya. Samalah dengan antiviral dan vaksin yang akan disuntik ke tubuh kita kelak agar kita selamat dari virus tersebut. Kita perlu menyedari bahawa kesembuhan yang terjadi hakikatnya bukanlah berpunca kerana antiviral atau vaksin tersebut tetapi kesembuhan itu adalah kerana kehendak dari Allah s.w.t.  ubat-ubatan itu hanyalah asbab sembuh penyakit itu sedang yang menyembuh itu ialah Allah s.w.t jua.  
Janganlah hendaknya virus ini menyebabkan akidah kita tergelincir kerana hadirnya wabak ini hanyalah asbab kematian dan kesakitan yang kita alami. Sedang hakikatnya segalanya dari Allah s.w.t. Namun kita sebagai manusia perlu berusaha untuk mengelak penyakit ini dan berdoa serta bertawakal agar Allah tidak mentakdirkan kita terkena penyakit ini. Dan jika ditakdirkan kita terkena penyakit ini, tanggungjawab kitalah untuk mencari penawarnya. Sekali lagi saya tegaskan kematian dan kehidupan segalanya ketentuan Allah s.w.t. Wassalam.

Baca selengkapnya......

Jumaat, September 04, 2009

Persiapan Kemuncak Ramadhan

Sesuatu yang unik dalam menyambut kehadiran Ramadhan ialah waktu kemuncak bagi bulan Ramdhan itu sendiri. Jika kebiasaannya sesuatu itu kemuncaknya adalah di pertengahannya, namun tidak bagi Ramadhan. Kemuncak bagi Ramdhan adalah Lailatul Qadar atau disebut malam seribu bulan..
Dalam soal ini kita perlu bertanyakan diri kita apakah persiapan kita dalam melalui malam lailatul qadar itu?Malam Lailatul Qadar ini merupakan saat yang amat besar dalam tuntutan beragama. Hal ini ditegaskan oleh Allah s.w.t dalam Firmannya :“Malam lailatul qadar lebih baik daripada seribu bulan,” (surah : al-Qadr, ayat ketiga). Seribu bulan bermakna 83 tahun. Bayangkan betapa besar kelebihan lailatul qadar itu apabila dibuat perbandingan dengan malam-malam yang lain.
Mengikut Imam Malik, sejarah malam lailatul qadar bermula apabila Nabi Muhammad SAW sedar yang usia umat Baginda tidak sepanjang usia umat terdahulu, hanya antara 60 tahun hingga 70 tahun, malah Rasulullah SAW sendiri wafat ketika usianya 63 tahun
“Menyedari hakikat itu, Rasulullah berdoa kepada Allah SWT memohon supaya umatnya dapat beribadat sama dengan nilai ibadat umat terdahulu lalu disebabkan kasihnya Allah SWT terhadap baginda, Allah SWT mengurniakan malam lailatul qadar,”
Jadi dalam soal ini apakah kita telah bersedia untuk menempuhi malam penuh barakah itu? Jika dalam riwayat, Rasulullah pada 10 malam terakhir akan mengurangkan urusan dunia dan akan membangunkan ahli keluarganya untuk beribadah kepada Allah s.w.t., maka bagaimana pula dengan kita? marilah kita memenuhkan malam-malam kita dengan ibadah sesuai dengan tuntutan Rasulullah s.a.w junjungan mulia. Wassalam.

Baca selengkapnya......

Sabtu, Ogos 22, 2009

Ramadhan Al Mubarak

Sempena kedatangan bulan Ramadhan ini saya ingin mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa kepada seluruh umat Islam. Semoga puasa dan amal ibadah kita pada bulan yang diberkati ini diterima oleh Allah s.w.t. Saya amat tertarik dengan saranan ustaz Suhaimi Lana pada sesi kuliah subuh beliau tadi, bahawa kita perlu membuat satu "senarai semak muhasabah diri" yang menyenaraikan semua tuntutan wajib dan sunat sepanjang hari dan ditandakan jika berjaya dilaksanakan. Praktisnya, jika kita mempunyai senarai semak tersebut, maka kita boleh membuat satu perubahan terhadap cara kita beribadah. Malahan, senarai semak tersebut akan menjadikan amal ibadah kita lebih terurus dan terorganisasi. Cukup baik jika dapat kita amalkan. Wassalam.

Baca selengkapnya......

Isnin, Jun 01, 2009

Keberkatan Ilmu yang Dilupakan

Soal Pendidikan merupakan teras dalam pembinaan tamadun bangsa. Dalam setiap tamadun yang telah berjaya bangun dengan gagah, aspek pendidikan merupakan elemen penting yang membantu ke arah pembinaan tersebut. Jika kita melihat aspek pembinaan tamadun Islam yang menjadi keutamaan Rasulullah ialah aspek tarbiah dan ilmu. Begitulah juga sepatutnya yang dilakukan oleh mana-mana institusi pendidikan iaitu menekankan aspek pentarbiahan dan keilmuan.
.

Salah satu aspek penting pemerolehan ilmu, selain usaha yang kental dan bersungguh-sungguh ialah aspek keberkatan ilmu. Aspek ini amat kurang diberikan penekanan sejak belakangan ini. Apakah yang dimaksudkan dengan aspek keberkatan ilmu? Sebenarnya ilmu pengetahuan merupakan elemen yang bersumberkan Maha Pencipta. Ilmu yang diperoleh dan dimiliki oleh manusia kini merupakan kurniaan Allah s.w.t. Manusia sering lupa bahawa ilmu yang dimilikinya itu merupakan khazanah yang dimilki oleh Allah s.w.t. Sesuatu ilmu tidak akan memperoleh keberkatan jika ilmu itu tidak ditadbir mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh pemiliknya(yakni Allah s.w.t). Dalam hal ini, urus tadbir ilmu itu bermula daripada sumber kita memperolehinya, cara kita memperolehi ilmu, cara kita menyimpan ilmu itu, tempat kita memperoleh ilmu, hinggalah cara kita menggunakan ilmu itu. Jika salah satu elemen di atas tidak mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh syarak maka unsur keberkatan ilmu itu pastinya akan hilang sirna. Ilmu yang berkat merupakan ilmu yang mampu mengubah watak dan personaliti insan menjadi insan kamil yang didambarkan oleh setiap tamadun manusia. Ilmu yang berkat akan berjaya meninggikan darjat dan martabat insan daripada darjat kebinatangan kepada darjat para malaikat malahan melepasi tahap tersebut.

Jika kita kupas setiap elemen itu dan kita kaitkan dengan realiti yang terdapat di institusi pendidikan kita, maka kita akan dapat melihat banyak unsur yang telah menodai unsur keberkatan ilmu. Salah satu aspek yang akan dibincangkan di sini ialah aspek hubungan antara guru dan murid. Jika kita melihat hubungan guru-murid, saya tidak dapat tidak pasti akan melihat kepada hubungan antara Rasulullah dan para Sahabat baginda. Dalam soal ini Rasulluah berperanan sebagai guru dan para sahabat sebagai murid. Kita dapat melihat bagaimana nilai ketaatan dan kepatuhan para sahabat kepada Rasulullah amat tinggi. Rasulullah pula tidak melihat para sahabat sebagai 'pelanggan' baginda tetapi sebagai rakan seperjuangan Namun, dalam sistem pendidikan hari ini kita diseru agar melihat anak murid kita sebagai 'pelanggan'. Dalam soal ini seolah-olah hubungan guru-murid itu seperti hubungan dalam perniagaan. inilah kesan budaya kapitalisme dalam pendidikan yang telah menghakis keberkatan dalam penyebaran dan penerokaan ilmu. Seharusnya kita perlu merubah budaya yang melihat murid sebagai 'pelanggan' kerana apabila murid dianggap sebagai pelanggan, maka pastilah nilai keuntungan atau laba yang akan dititikberatkan sehinggalah timbul pertanyaan dalam kalangan guru jika aku berkorban untuk murid apakah yang aku akan dapat? Jika aku meluangkan lebih masa bersama-sama murid apakah yang aku akan terima? Inilah yang meruntuh nilai keberkatan dalam penyebaran ilmu dan pengetahuan.
Akhirnya, nilai keberkatan tidak dapat kita lihat secara fizikal, namun itu bukanlah alasan untuk kita mengabaikan nilai tersebut. Percayalah bidang ilmu pengetahuan merupakan lombong keberkatan yang amat luas. Jadi marilah kita menjaga adab-adab dalam menyampai dan menerima ilmu agar kita memperoleh nilai keberkatan yang amat bernilai harganya itu. Wassalam.

Baca selengkapnya......

Perjuanganku

Memartabat Agama Islam dan Bahasa Melayu sehingga diletakkan di tempat yang selayaknya.

Dimanakah Anda?

Tetamu