Ahad, Mac 15, 2009

Sekalung Tahniah

Tatkala tanggal 7 Mac lalu hati dan perasaan saya amat bangga dan sayu kerana masih ada lagi para pejuang yang berani dan cekal dalam mendaulatkan bahasa Melayu yang kian terpinggir. Tahniah diucapkan kepada para pejuang yang telah berpedih mata turun di jalanan demi kelangsungan hidup bahasa kebangsaan. Begitulah lumrahnya arena perjuangan, terpaksa mengharungi onak dan duri. Jika ingin terus berjalan galak di permaidani gebu jangan bicara soal perjuangan. Nyata, kini kita kenal siapa pembela bangsa dan bahasa dan siapa pengkhianat kepada perjuangan ini.
Meski ada suara sinis yang menyatakan sia-sianya perjuangan ini maka hendaklah kita katakan kepada mereka bahawa perjuangan ini tidak sia-sia. Malahan saya percaya perhimpunan itu pasti membekas kepada hati dan minda pihak yang kita tujukan protes. Justeru, diharap agar perhimpunan itu kelak akan melembutkan benak para penguasa untuk kembali ke jalan perjuangan datuk moyang kita dahulu kala yang berkeringat dan berdarah memerdekakan bahasa kebangsaan dari lumpur penjajahan. Moga-moga perjuangan ini kelak menjadi ingatan kepada cucu cicit kita agar mereka mengenal bahawa bahasa mereka dulunya pernah dihinjak tetapi telah diselamatkan oleh para pejuang bahasa sejati. Wassalam

Baca selengkapnya......

Ahad, Februari 22, 2009

Ilmu

"Apabila mendengar azan bangun serta-merta walau dalam keadaan bagaimana sekali pun," kata asy-Syahid Imam Hasan al-Banna lewat wasiatnya yang pertama.

"Bacalah al-Quran, tatapilah buku-buku atau pergilah mendengar perkara-perkara yang baik atau amalkanlah zikrullah dan janganlah membuang masa walau sedikit pun dengan hal-hal yang tidak berfaedah." Wasiat kedua Imam Hasan al-Banna.

Baca selengkapnya......

Jumaat, Februari 20, 2009

Apakah Pentingnya Bahasa Melayu itu?

Tatkala berbicara soal memartabatkan bahasa Melayu pada tempat dan tarafnya, maka kita barangkali akan bertanya apakah penting bahasa Melayu itu dimartabatkan? Kenapakah bahasa itu penting untuk dimartabatkan? Sebenarnya apakah kepentingan bahasa Melayu itu kepada proses pembinaan negara ini?
Untuk memahami kepentingan bahasa kepada pembinaan tamadun, maka kita perlu melihat kepada sejarah. Dalam sejarah ketamadunan manusia kita diperlihatkan dengan pelbagai keagungan generasi lampau dengan kepelbagaian monumen dan tinggalan. Antaranya, semua orang kenal dengan Piramid di Mesir, Angkor Wat di Kemboja, Tembok Besar di China, Colesium di Rom, dan pelbagai lagi monumen yang agung sebagai simbol kegemilangan sesuatu tamadun. Dalam proses pembinaan tamadun-tamadun hebat manusia seperti tamadun Mesir, Tamadun Mesopotamia, Tamadun China, Tamadun Rom, hatta Tamadun Islam sekalipun kita dengan pasti dapat mengatakan bahawa setiap kali sesuatu tamadun itu terbentuk, maka peranan ilmu amat penting dalam proses pembinaan setiap tamadun manusia tersebut. Tanpa ilmu pengetahuan maka barang pasti sesuatu bangsa tidak mungkin dapat mencapai ketinggian tamadun yang dilihat dalam sejarah manusia.
Jadi, apakah kaitannya antara bahasa, ilmu, dan pembinaan tamadun? Dalam sejarah peradaban dan tamadun manusia kita dapat menyaksikan bagaimana manusia itu meneroka ilmu pengetahuan. Jika kita selusuri pembinaan tamadun Eropah yang ada pada hari ini, maka kita akan dapat menyaksikan bagaimana para cendekiawan Eropah pada masa lampau merintis ilmu pengetahuan sehingga ilmu itu berkembang pada tahap sekarang. Kita tidak boleh menafikan bahawa pembinaan tamadun Eropah itu berakar umbi daripada tamadun Islam terutama di Cordova. Sejarah mencatatkan bagaimana para pelajar dari Eropah belajar dengan para sarjana Islam seperti Ibnu Sina, Al-Razi, dan ramai lagi sarjana Islam dari pelbagai aliran dan cabang ilmu. Akhirnya, kita dapat melihat mereka membawa khazanah ilmu daripada tamadun Islam ke Eropah. Persoalannya, apakah yang mereka lakukan pada khazanah ilmu pengetahuan dari tamadun Islam ini? Sesuatu yang jelas mereka giat menjalankan proses penterjemahan. Inilah kunci kejayaan keilmuan bangsa Eropah pada waktu tersebut. Mereka giat menjalankan proses penterjemahan. Malahan, jika kita melihat kepada pembinaan tamadun Jepun pun kita pasti proses penterjemahan inilah yang menjadi kunci kejayaan bangsa Jepun pada ketika ini.
Kenapakah perlu proses penterjemahan ini? Di sini kita perlu memahami proses penyerapan ilmu dan pengetahuan. Ilmu dan pengetahuan amat mudah diserap apabila ilmu tersebut disampaikan dalam bahasa ibunda. Ini merupakan suatu fakta dan kenyataan yang telah terbukti. Manusia akan lebih memahami ilmu pengetahuan jika disampaikan dengan bahasa ibundanya. Maka inilah pentingnya proses penterjemahan iaitu untuk memastikan ilmu dapat disampaikan dengan bahasa ibunda dan seterusnya diserap dengan baik ke dalam otak manusia.
Oleh itu, amatlah penting segala ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang disampaikan dalam bahasa ibunda masing-masing. Jadi di sini kita perlu memahami bahawa dalam proses pembinaan semula tamadun Melayu di negara ini, maka kita perlu memastikan generasi pewaris diberikan suntikan ilmu pengetahuan. Dan langkah yang amat penting ialah memastikan mereka dapat memahami dan menghayati ilmu pengetahuan itu sendiri. Untuk itu, amat penting kita memahami ilmu pengetahuan mesti disampaikan dalam bahasa yang dapat mereka fahami dan dalam konteks Malaysia, bahasa yang paling layak menyampaikan ilmu pengetahuan ialah bahasa Melayu itu sendiri kerana bahasa ini merupakan bahasa yang hampir pasti difahami oleh setiap warga di negara ini. Oleh itu, amatlah penting untuk kita menyedari peripentingnya bahasa Melayu itu dinobatkan semula sebagai bahasa pengantar ilmu pengetahuan pada setiap peringkat pendidikan, sama ada peringkat rendah mahupun tinggi.
Akhirnya, dapatlah kita memahami bahawa dalam proses pembinaan tamadun manusia tiada dalam catatan sejarah sesebuah tamadun agung dibina dengan bahasa asing. Malahan dengan pasti pembinaan tamadun tersebut dengan bahasa mereka sendiri. Fikirkanlah. Wassalam.

Baca selengkapnya......

Khamis, Februari 19, 2009

Bahasa

Soal PPSMI agak gawat diperkata orang sejak belakangan ini. Namun, jelas kelihatan setiap kelompok mempunyai pendapat yang sama tentang kepentingan menguasai bahasa asing selain bahasa ibunda. Sama ada kelompok proPPSMI atau kelompok penentang PPSMI mereka bersetuju peri pentingnya menguasai bahasa kedua. Namun, sesuatu yang jelas di sini ialah cara atau kaedah kita ingin menguasai bahasa tersebut yang menjadi pertikaian. Bagi kelompok yang menentang pelaksanaan PPSMI, jelas mereka mempertikai tentang cara yang diambil oleh kerajaan dengan menukar bahasa pengantar mata pelajaran sains dan matematik ke dalam bahasa Inggeris itulah yang dipertikai. Sementelah pula pelaksanaannya yang dilihat agak terburu-buru menambahkan lagi pertikaian tersebut. Bagi saya, sememangnya, amat penting untuk anak bangsa Malaysia menguasai lebih daripada satu bahasa, namun untuk menguasai bahasa lain tidaklah dengan menghakis nilai bahasa Melayu itu sendiri, dengan menjadikannya sebagai bahasa kelas kedua.
Sebenarnya, apa yang menjadi penyakit utama kepada permasalahan ini ialah tentang lemahnya penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar di negara ini, terutama bangsa Melayu di luar bandar. Jadi penyakit telah kita ketahui, maka kita perlulah mencari ubat kepada penyakit tersebut. Apakah ubatnya? Adakah dengan menukar bahasa pengantar Sains dan Matematik kepada bahasa Inggeris merupakan ubatnya. Sebenarnya, secara ikhlas ubat itu mungkin ada mujarabnya namun ubat itu mempunyai kesan sampingan yang amat kuat. Kesan sampingannya jelas apabila terjadinya penurunan taraf dan kepentingan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan negara. Hal ini amat merugikan kerana sebelum ini, kita telah menyaksikan bahasa Melayu telah berjaya dinobatkan pada tempat yang selayaknya, namun kini kita umpama telah membenam semula kedudukan bahasa Melayu seperti pada masa sebelum merdeka.
Jadi bagaimanakah kita ingin mengubati penyakit lemah berbahasa Inggeris ini? Jika dikatakan ubat itu kurang tepat maka apakah ubat yang tepat untuk mengubati penyakit ini? Bagi saya ubat kepada penyakit ini sudah pastilah berkaitan pengajaran bahasa Inggeris itu sendiri. Method atau pendekatan pengajaran bahasa Inggeris itu di sekolahlah yang perlu dibedah siasat! Pasti ada yang tidak kena dengan cara pengajaran bahasa Inggeris di sekolah. Pelik tapi benar! bagaimana seorang pelajar yang tamat tingkatan lima(tempoh pembelajaran selama 11 tahun) gagal mahir berbahasa Inggeris. Sedangkan pada lazimnya jika kaedah dan pendekatan betul yang diterap, seorang manusia normal dapat menguasai bahasa asing paling lama mungkin setahun untuk mencapai tahap boleh bertutur.
Maka jelaslah, sebenarnya ubat terbaik untuk merungkai permasalahan PPSMI ini hanyalah dengan merombak kaedah pengajaran bahasa Inggeris di sekolah, bukannya dengan menukar bahasa pengantar Sains dan Matematik kerana banyak mudaratnya dari tindakan tersebut. Maka marilah kita sahut seruan untuk menukar semula bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pengajaran Sains dan Matematik. Sahutan itu bukan bermakna kita ingin mencari kelemahan mana-mana pihak, cuma kita ingin pastikan perjuangan mendaulatkan bahasa Melayu yang sekian lama dirintis tidak terkubur begitu sahaja.

Baca selengkapnya......

Rabu, Januari 28, 2009

Lawatan Ke Melaka

Pada 26 dan 27 Januari 2009, saya dan keluarga bercuti ke Melaka. Trip kali ini sebenarnya dah lama dirancang tapi baru kali ni menjadi. Mula-mula nak ke Penang masa cuti ni tapi akhirnya kembali ke plan asal pi Melaka. Hari Pertama semuanya ok. Macam dirancang tapi di Melaka sedikit hujan. Cuma di sini nak beri komen pasal Taman Mini Malaysia & Asean macam tak berbaloi bayar 12.00 per kepala sebab banyak rumah terutama Rumah Asean tidak diselenggara. Memang sedih tengok keadaan tu, sebab idea Taman tu bagus. Tapi macam biasa budaya kat Malaysia ni macam tak ada budaya menyelenggara. Masa bina ok tapi lepas tu tak boleh nak kekalkan. Apa-apapun lawatan di Melaka satu pengalaman yang menarik. Boleh dikatakan semua tempat menarik di Melaka kami kunjungi.

Baca selengkapnya......

Khamis, Januari 15, 2009

Catatan Peristiwa 15 Januari 2009

Hari ini aktiviti sekolah berjalan seperti biasa. Cuma hari ini bermula aktiviti kokurikulum. Kehadiran pelajar seperti dijangka, kurang memuaskan, daripada 12 orang ahli cuma tujuh orang ahli hadir pada perjumpaan pertama ini(oklah cukup korum untuk buat AGM). Harap-harap selepas ini pelajar semakin bersemangat terutama dengan kemasukan pelajar tingkatan 4. Isu semasa pulak masih lagi berkisar tentang isu Palestin. Tak tahulah bila akan berakhirnya penderitaan rakyat Palestin. Yang pastinya ini mungkin juga ujian Allah kepada kita. Allah nak lihat sejauhmana tindakan dan sikap kita terhadap masalah ini. Kalau tak rasa apa-apa, maknanya kita masih jauh dari memahami erti persaudaraan dalam Islam. Allahualam.

Baca selengkapnya......

Selasa, Januari 13, 2009

Sesi Persekolahan 2009

Kini telah seminggu sesi persekolahan bermula. Tahun ni tak tahu lagi sama ada sibuk atau tidak. Tapi yang pastinya dalam jadual peribadi memang agak sibuk dengan 26 waktu seminggu. Namun untuk dua bulan pertama ni agak relaks sebab pelajar tingkatan empat belum lagi mendaftar. Kemungkinan pendaftaran pelajar tingkatan empat pada 23 Feb. 2009. Apa-apapun tahun baru semangat kena baru.

Baca selengkapnya......

Perjuanganku

Memartabat Agama Islam dan Bahasa Melayu sehingga diletakkan di tempat yang selayaknya.

Dimanakah Anda?

Tetamu