Isnin, September 21, 2009

Erti Syawal


Setelah sebulan menjalani ibadah puasa, umat Islam seluruh dunia meraikannya dengan sambutan Aidilfitri. Hari raya ini dinamai dengan kata 'fitrah' agar kita memahami konotasi fitrah itu kembali kepada asas kehidupan di dunia ini.  Ramadhan perlu dilihat sebagai satu institusi tarbiyah untuk membentuk jiwa yang bertaqwa. Selama sebulan ini, kita telah melatih diri kita untuk mengawal satu elemen dalam diri yang sering mendorong kita melakukan kemungkaran yakni nafsu. Nafsu bukanlah suatu elemen kejahatan dalam diri manusia, kerana elemen inilah yang membezakan antara manusia dan malaikat. Dengan adanya nafsu manusia dapat merasai nikmat-nikmat dalam kehidupan dunia ini. Dengan adanya nafsu kita merasai nikmat makanan yang sedap, nikmat perhubungan seks dan sebagainya. Tanpanya manusia bukanlah manusia. Namun, nafsu perlu dikawal kerana jika tidak elemen ini boleh memudaratkan manusia.
Lantaran, nafsu merupakan elemen yang perlu dikawal, maka institusi Ramadhan merupakan peluang yang disediakan oleh Allah s.w.t untuk manusia melatih diri untuk mengawal hawa nafsu. Pada ketika umat Islam berpuasa, nafsu terhadap makanan, seks, keinginan-keinginan melihat, mendengar, dan mengatakan hal-hal yang mungkar ditahan. Jika pada bulan Ramadhan ini umat Islam benar-benar berjaya mengawal hawa nafsunya, maka tidak mustahil kita boleh mengawal elemen ini selama satu tahun yang akan datang. Malahan, untuk memastikan tidak ada elemen gangguan dalam kita menjalani latihan mengawal nafsu, maka Allah telah membelenggu Syaitan sepanjang bulan Ramadhan, agar manusia dapat memfokuskan diri mereka kepada latihan mengawal hawa nafsu semata-mata.  
Jadi apabila kita meraikan Aidilfitri bermakna kita meraikan diri kita yang telah berjaya membawa diri kita kembali kepada fitrah kejadian manusia itu sendiri. Malahan, sebagai ganjarannya, Allah menawarkan pengampunan dan syurga kepada mereka yang berjaya. Namun, jika selepas Ramadhan, hawa nafsu kita masih lagi tidak terkawal, maka bermakna kita telah gagal mencapai matlamat berpuasa. malahan, jika maksiat terus kita lakukan semasa sambutan Aidilfitri  maka tidak adalah maknanya kita meraikan Syawal. Malah, syawal yang kita raikan hanya sekadar sambutan kerana adat, bukannya kerana syariat. 
Justeru, kita perlu bertanya kepada diri sendiri apakah kita meraikan Syawal kerana kejayaan kita mentarbiyah hawa nafsu kita sepanjang Ramadhan atau sekadar kerana orang lain raikan maka kita juga turut ingin serta meraikannya. Hendaknya, kegembiraan kita meraikan Syawal kerana kita berjaya mengawal hawa nafsu kita sepanjang Ramadhan dan latihan Ramadhan itu memberikan kesan dalam kehidupan kita pada masa mendatang. Maka, jelaslah sambutan Aidilfitri ini merupakan hari konvokensyen untuk mereka yang berjaya keluar dari Universiti Ramadhan dengan jayanya. Wassalam.          .

Baca selengkapnya......

Sabtu, September 19, 2009

Jentikan Akal



"Aku berasa sedih apabila mengenangkan hal orang Melayu yang masih belum insaf mengenai kemunduran mereka, kerana mereka tidak mahu belajar bahasanya sendiri dan tidak mahu menyediakan tempat untuk belajar bahasanya. Adakah orang yang tiada belajar itu akan pandai sendiri..? Kata mereka "Apakah gunanya belajar, bukankah itu bahasa kita? Gunanya di dunia sahaja. Lebih baik bahasa Arab, berguna di dunia dan akhirat. "Hal itu benar,. tetapi bagaimana boleh mengetahui bahasa orang lain sekiranya belum mengetahui bahasanya sendiri terlebih dahulu..? Mereka berkata-kata, berjual beli, berkirim dan membalas surat, semuanya dalam bahasa Melayu. Belum pernah aku melihat, sama ada orang Melayu ataupun peranakan, yang menggunakan bahasa Arab sewaktu berniaga, membuat kira-kira dan berkirim serta membalas surat, melainkan dalam sembahyang dan berdoa sahaja."- Abdullah Bin Abdul Kadir Munsyi.

Baca selengkapnya......

Selasa, September 15, 2009

Berita Baik Kepada Perkembangan Pendidikan Islam Di Malaysia

Sebentar tadi Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan semua lulusan Sijil Tinggi Agama Malaysia(STAM) yang berkelayakan akan diterima memasuki institusi pengajian tinggi awam(IPTA) tempatan mulai sesi akan datang. Hal ini disebabkan JPA baru sahaja mengiktiraf lulusan STAM seperti mana lulusan STPM. Dalam hal ini, kita harus mengucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan kerana setelah sekian lama lulusan STAM akhirnya telah diiktiraf. Pengiktirafan ini sebenarnya telah mengangkat taraf pendidikan Islam ke satu tahap yang lebih tinggi dan seterusnya mengangkat martabat sekolah-sekolah agama di Malaysia. Tahniah.

Baca selengkapnya......

Isnin, September 14, 2009

Selamat Hari Raya Aidilfitri

.
Selamat Hari Raya Aidilfitri dari kami sekeluarga kepada semua pengunjung blog ini. Maaf zahir dan batin jika tersalah kata, tersalah perbuatan dan tersalah niat. Moga anda mendapat keberkatan Ramadhan dan kebahagiaan Syawal. 

Baca selengkapnya......

Ahad, September 13, 2009

Semangat Kekitaan Berbahasa

Sesuatu yang biasa terlihat dan terdengar apabila kita berkunjung ke beberapa negeri di Semenanjung Malaysia ini ialah tentang cara berbahasa orang bukan Melayu yang berlainan dengan negeri yang lain. Sebagai contoh apabila kita berkunjung ke negeri Kelantan (kebetulan keluarga mertua berasal dari sana) kita akan mendapati kaum Cina dan Indianya tidak kekok berbahasa Melayu dialek Kelantan, malahan gaya bahasanya amat molek berbanding saudara mereka di Pulau Pinang atau Perak .  
Senario ini berlaku atas beberapa faktor dan antaranya ialah berkaitan rasa kekitaan berbahasa masyarakat di beberapa negeri seperti Kelantan dan Kedah. Jika kita perhatikan orang Melayu di negeri-negeri yang telah saya sebutkan mempunyai semangat kekitaan berbahasa yang agak tinggi berbanding dengan orang Melayu di tempat lain. Jika kita bercakap dengan orang Kelantan, maka agak jarang mereka membalas dengan 'loghat luar' terutama jika kita berada di negeri mereka. Hal ini menyebabkan pengunjung dari luar akan terikut-ikut loghat mereka itu.  Hal inilah yang menyebabkan orang bukan Melayu di negeri tersebut amat fasih berbahasa Melayu loghat Kelantan dan seterusnya fasih berbahasa Melayu. 
Senario ini jelas bertentangan dengan sikap berbahasa orang Melayu terutama di Pantai Barat Semenanjung. Jika kita perhatikan, orang Melayu di Pantai Barat lebih bersikap toleransi terhadap bahasa.  Tatkala mereka bercakap dalam bahasa Melayu dengan orang Cina atau India mereka cenderung menggunakan bahasa Melayu 'loghat Cina' atau "loghat India'. Maka akan terkeluarlah ungkapan seperti "lu mau pigi mana, apek? dan seumpama dengannya. Perlakuan ini sebenarnya tidak membantu sahabat kita bukan berbangsa Melayu untuk menggunakan bahasa Melayu dengan fasih dan betul.
Selain faktor kekitaan berbahasa, faktor pergaulan bangsa bukan Melayu juga menjadi faktor senario ini berlaku.  Meskipun, orang bukan Melayu telah bertapak di Malaysia lebih daripada 100 tahun dan kita telah merdeka selama 52 tahun tetapi pergaulan orang Melayu dan orang bukan Melayu agak terbatas sebenarnya.  Jika kita lihat senario dalam dunia pendidikan, amalan sistem venakular telah banyak mengganggu proses perpaduan dan pergaulan antara kaum.  Keadaan inilah yang menyebabkan terdapat orang bukan Melayu yang masih gagal berbahasa Melayu dengan fasih walaupun telah tinggal lama di Malaysia. 
Keadaan ini perlu dirobah untuk kita melihat lahirnya bangsa Malaysia seperti yang diimpikan oleh Perdana Menteri. Jika tidak slogan 1Malaysia itu hanyalah tinggal slogan semata-mata.  Orang Melayu perlulah mempunyai semangat kekitaan berbahasa yang lebih tebal apabila bercakap dengan orang bukan Melayu.  Biarlah mereka terikut dengan gaya percakapan kita, jangan kita pula yang terikut dengan percakapan mereka. Hal ini sebenarnya bukan seruan kepada semangat perkauman tetapi salah satu cara kita membantu mereka berbahasa Melayu dengan betul dan fasih. Wassalam.

Baca selengkapnya......

Jumaat, September 11, 2009

Penutur Kedua Bahasa Melayu

Apabila dasar pengambilan buruh dari negara China dan India dilaksanakan oleh kerajaan British, pola penduduk Tanah Melayu telah berubah buat selama-lamanya. Jika sebelum itu, Tanah Melayu diduduki oleh hampir 99 peratus orang Melayu tetapi selepas dasar tersebut dilaksanakan pola penduduk berubah secara drastik. Pada masa tersebut pola peratus orang Melayu berbanding orang bukan Melayu hanyalah dalam lingkungan 60 peratus.  Malah, pada satu ketika yakni pada sekitar tahun 1911 penduduk imigran Cina dan India telah melebihi jumlah orang Melayu.
Pada masa tersebut orang Melayu berjumlah 420 ribu, orang Cina berjumlah 433 ribu dan orang India berjumlah 173 ribu.  Malahan pada tahun 1921 orang Melayu hanyalah 49 peratus dari komposisi penduduk di Tanah Melayu. Namun, menjelang merdeka British telah menghantar ribuan imigran ini pulang dan ada dalam kalangan mereka ini yang telah berhijrah ke Singapura. Apabila, Singapura keluar dari gagasan Malaysia maka peratus orang Melayu termasuk bumiputera Sabah dan Sarawak telah meningkat seperti sekarang. Hakikatnya, di Malaysia pada masa ini wujud kelompok penutur kedua bahasa Melayu hasil liberalisasi British sebelum merdeka. 
Sesuatu yang amat mendukacitakan ialah apabila kelompok penutur kedua ini terus terpompong dalam sistem pendidikan venakular yang tidak mengalakkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa utama.  Senario yang berlaku ialah, mereka terus menggunakan bahasa Melayu pada tahap minimal yakni sekadar untuk berhubung dengan orang Melayu.  Malahan, ada dalam kalangan mereka yang terus menggunakan bahasa Melayu yang tidak betul lantaran toleransi orang Melayu yang keterlaluan apabila bercakap dengan mereka yang pelat ini dengan bahasa 'Cina-Melayu' atau 'India-Melayu.' Meskipun telah 52 tahun Malaysia merdeka dan bangsa bukan Melayu telahpun terdiri dari kalangan generasi ketiga atau keempat dari generasi imigran dahulu, ada dalam kalangan mereka ini yang masih tidak fasih berbahasa Melayu. Oleh sebab itu, adalah penting untuk kita melihat semula sistem pengajaran bahasa Melayu agar kita dapat melahirkan generasi penutur kedua bahasa Melayu yang fasih dan berkemahiran bercakap dalam bahasa Melayu. 
Namun, kita juga harus memberikan pujian kepada kaum bukan Melayu yang dapat bertutur bahasa Melayu dengan fasih dan betul.  Malahan ada juga dalam kalangan mereka ini yang kadang-kala lebih fasih dan betul berbahasa Melayu berbanding dengan segelintir orang Melayu sendiri.  Sesuatu yang menariknya, jika kita lihat kaum bukan Melayu yang fasih berbahasa Melayu ini kebanyakannya  datangnya dari negeri-negeri tertentu seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah. InsyaAllah, pada masa hadapan kita akan mengkaji sebab-musabab kenapakah kaum bukan Melayu dari negeri-negeri ini dilihat lebih fasih berbahasa Melayu berbanding negeri-negeri lain? Wassalam
 .

Baca selengkapnya......

Isnin, September 07, 2009

Nuzul Al-Quran

Tatkala memperkatakan  malam Nuzul Quran, malam 17 Ramadhan antara malam yang amat penting dalam sejarah Islam. Pada malam inilah buat pertama kalinya Al-Quran diturunkan dan disampaikan kepada junjungan besar nabi Muhammad s.a.w.  Sebenarnya, menurut Al-Suyuti dalam kitabnya ‘al-Itqan if Ulum al-Quran’ ,AlQuran diturunkan dalam dua peringkat iaitu dari Luhf-Mahfuz ke Baitul Izzah dan dari Baitul-Izzah kepada Rasulullah s.a.w. Tanggal Al-Quran diturunkan dari Lufh-Mahfuz ke Baitul Izzah tidak diketahui kerana Allah s.w.t hanya menyebut pada malam Lailatul Qadar seperti mana dijelaskan dalam surah Al-Qadr. .Firman Allah SWT,
إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar.” (al-Qadr:1).
Peringkat pertama ini juga seperti disebut oleh Ibnu Abbas Al-Quran diturunkan secara sekaligus.
Sedang, 17 Ramadhan merupakan tarikh Jibril menyampaikan Al-Quran kepada Rasulullah di gua Hiraq buat kali pertama sehinggalah pada 9 Zulhijjah tahun ke-10 Hijrah, yakni selama 23 tahun secara beransur-ansur. Begitulah serba sedikit sejarah penurunan Al-Quran dalam bacaan saya yang sedikit ini. Jelasnya, sejarah Nuzul Quran merupakan detik yang amat penting kerana pada waktu inilah berlaku perubahan besar dalam sejarah manusia apabila Al-Quran diturunkan sebagai panduan hidup kita. Wassalam.

Baca selengkapnya......

Perjuanganku

Memartabat Agama Islam dan Bahasa Melayu sehingga diletakkan di tempat yang selayaknya.

Dimanakah Anda?

Tetamu