Khamis, Julai 01, 2010

Amalan Dunia dan Akhirat

Maksud hadis :
Dari Amirul Mu’minin, (Abu Hafsh atau Umar bin Khattab radiallahu’anhu) dia berkata: ”Aku pernah mendengar Rasulullah  s.a.w bersabda: ’Sesungguhnya seluruh amal itu tergantung kepada niatnya, dan setiap orang akan mendapatkan sesuai niatnya. Oleh sebab itu, barangsiapa yang berhijrah kerana Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan barangsiapa yang berhijrah kerana (untuk mendapatkan) dunia atau kerana wanita yang ingin dinikahinya maka hijrahnya itu kepada apa yang menjadi tujuannya (niatnya).’” (Diriwayatkan oleh dua imam ahli hadits; Abu Abdillah Muhammad bin Ismail bin Ibrahim bin Mughirah bin Bardizbah Al-Bukhori dan Abul Husain Muslim bin Al-Hajjaj bin Muslim Al-Qusairy An-Naisabury di dalam kedua kitab mereka yang merupakan kitab paling shahih antara kitab-kitab hadits)[.


Segala amalan dan perbuatan kita di dunia ini pasti ada niat dan tujuan tertentu. Malah setiap amalan pastilah dimulai dengan niat. Niat memainkan peranan penting menentukan kedudukan amalan seseorang sama ada amalan tersebut merupakan amalan dunia atau amalan akhirat. Implikasi amalan dunia bermakna laba atau keuntungan amalan tersebut diperoleh di dunia semata-mata tanpa ada keuntungan di akhirat. Manakala implikasi amalan akhirat bermakna laba atau balasannya diperoleh di akhirat. Malahan, ada kemungkinan balasan kepada amalan akhirat diperoleh di dunia lagi.  Sering sahaja manusia keliru menentukan sesuatu amalan itu amalan dunia atau akhirat. Ramai beranggapan memiliki kereta yang hebat itu sebagai bersifat keduniaan atau mengejar harta kekayaan sebagai bersifat keduniaan. Apakah itu benar? 


Sebenarnya, kaedah menentukan sama amalan itu merupakan amalan dunia atau akhirat tidak dapat diketahui oleh orang lain kecuali oleh tuan punya hati itu sendiri. Malahan, amalan dunia atau akhirat juga bukannya ditentukan oleh rupa amalan itu, Sebagai contoh, solat yang didirikan kerana ingin menunjuk-nunjuk itu menjadi amalan dunia semata-mata kerana labanya diperoleh di dunia dengan mendapat pujian dari manusia. Selain itu, seorang pencinta ilmu yang ikhlas, akan memperoleh balasan di akhirat jika dia menuntut ilmu kerana Allah dan Rasul tetapi jika dia menuntut ilmu kerana semata-mata ingin menjadi ilmuan atau penceramah ulung yang dikagumi sekalian manusia, maka kekaguman manusia itulah yang dia perolehi. 


Rupa amalan dunia seperti memiliki kereta mahal akan menjadi amalan akhirat jika kereta yang dia beli itu dari sumber yang halal dan dia gunakan untuk tujuan yang makruf  seperti untuk menuntut ilmu dan mencari rezeki yang halal atau untuk memberikan keselesaan kepada ahli keluarganya, maka amalan membeli kereta tadi menjadi amalan akhirat bagi dia. Begitulah, kaedah menentukan sesuatu amalan itu amalan dunia atau akhirat banyak bergantung kepada niat dan tujuan seseorang dan bukan semata-mata bergantung kepada rupa amalan tersebut kecualilah jika amalan tersebut sememangnya jelas bersifat haram dan mungkar. Wassalam.  

Baca selengkapnya......

Jumaat, Jun 11, 2010

Waktu Lapangmu

Sebagai guru salah satu waktu yang amat ditunggu-tunggu ialah waktu cuti sekolah seperti sekarang ini. Malah apabila disebut kerja guru atau cikgu antara kelebihan kerjaya ini ialah cuti yang panjang. Meskipun, seronok mendapat cuti yang panjang, namun hendaknya cuti yang panjang ini dimanfaat dengan aktiviti yang berfaedah agar masa lapang ini tidak memakan diri apabila ditanya oleh hakim Rabbul-Jalil di hari perhitungan kelak..


Kita perlu sedar saat penghisaban di Padang Masyar kelak segala masa yang terluang akan ditanya oleh Allah s.w.t Apakah yang kita perbuat dengannya? Apakah masa lapang itu digunakan dengan aktiviti yang mendekatkan kita kepada Allah atau lebih menjauhkan lagi kita dari sisiNya? Pada waktu begini eratkanlah hubungan silaturahim antara keluarga, beriadahlah untuk mengagumi kebesaran Allah, bersosiallah dengan niat dakwah, titiplah ilmu pada waktu lapang. Dalam erti kata lain isilah waktu lapang dengan aktiviti yang kita boleh berbangga di hadapan Allah s.w.t kelak di akhirat. Janganlah hendaknya masa lapang akan mengheret kita ke neraka Allah yang menjilat-jilat itu. Kepada diri penulis dan pembaca marilah sama-sama kita muhasabah diri. Moga masa lapang kita menjadi asbab untuk diri kita menjadi penghuni Jannatul-Firdausi di akhirat kelak. Wassalam

Baca selengkapnya......

Khamis, Mei 27, 2010

Tahniah ITNM

 Pengarah Institut Terjemahan Negara Malaysia(ITNM),Mohd Khair Ngadiron berkata, sejumlah 40 buah judul buku rujukan Sains dan Matematik telah diterjemah ke dalam bahasa Melayu dan dijangka berada di pasaran pada pertengahan tahun hadapan.. 


Usaha seperti ini perlulah dipergiatkan agar Dasar MBMMBI akan berjaya mencapai matlamat dan berjalan lancar. Kita tidak mahu masalah buku rujukan dan latihan akan menjadi hujah kepada mereka yang tidak bersetuju dengan dasar ini. Kita perlu memastikan Dasar MBMMBI ini berjaya menggantikan Dasar PPSMI dan dalam masa yang sama berjaya memperbaiki kepincangan yang berlaku dalam Dasar PPSMI. 

Hendaknya, pihak swasta turut berganding bahu bersama-sama ITNM memperbanyakkan lagi koleksi buku-buku rujukan dan kerja dalam bahasa Melayu. Namun, dalam usaha menterjemah buku-buku rujukan ini ke dalam bahasa Melayu suatu perkara yang penting ialah agar kualiti terjemahan buku-buku tersebut berada pada tahap yang tinggi dan mudah difahami oleh para pelajar. Wassalam

Baca selengkapnya......

Ahad, Mei 16, 2010

Selamat Hari Guru

Alhamdulillah, saya baru ada kesempatan mencoret di blog ini pada waktu ini setelah selesai melaksanakan aktiviti ziarah ibu dan kakak di Ipoh. Pada hari ini kita telah sedia maklum bahawa hari ini ialah hari guru. Jadi pada kesempatan ini saya ingin mengucapkan selamat hari guru kepada semua guru saya dari tadika di kampung Ayer Hitam, hinggalah ke Sekolah Rendah Kebangsaan Ayer Hitam, Seterusnya guru-guru saya di SM Seri Perak Teluk Intan, hinggalah guru-guru di USM, Pulau Pinang. Cikgu-cikgulah insan yang telah membentuk citra peribadi saya pada hari ini, InsyaAllah. segala tunjuk ajar dan didikan cikgu kepada saya, Allah akan ganjarkan di dunia dan akhirat.Amin. .

Baca selengkapnya......

Sabtu, Mei 15, 2010

Penyakit Hati

Sesungguhnya hati itu amatlah liar sifatnya. Hanya mereka yang diberikan kekuatan oleh Alllah sahaja yang mampu menundukkan hatinya. Pada hatilah sasaran syaitan menyesatkan manusia. Malahan syaitan mengoda mengikut kecenderungan hati seorang insan. Sebab itu betapa ramai ilmuan tertipu dengan ilmunya. Malahan ramai juga ahli ibadah tertipu dengan ibadahnya. Salah satu penyakit hati yang menimpa golongan ini ialah ujub dan riak..

Betapa ramai para ilmuan yang berasa hairan diri dengan ketinggian ilmunya sehinggakan berasa bahawa dirinya serba tahu sehinggakan dia memandang rendah orang lain yang dirasakan jahil. Betapa ramai pula ahli ibadah yang berasa hairan diri dengan amal ibadahnya sehinggakan dia berasa dirinya perlu dimuliakan manusia lain. Ini semua adalah penyakit hati. 
Dalam menempuhi perjalanan di dunia ini kita perlu arif dengan penyakit hati kerana betapa ramai manusia menyangka ibadahnya dapat membawanya ke syurga tetapi tatkala berhadapan dengan Rabbul Jalil, ibadahnya dilempar ke mukanya dan segera diperintah dirinya diheret ke neraka jahanam. Dua penyakit hati ini yakni ujub dan terutamanya riak adalah dosa besar yang disifatkan sebagai asy syirkul ashghar oleh baginda Rasulullah. Apakah itu asy syirkul ashghar? yakni syirik kecil. Kita perlu memahami sifat kedua-dua penyakit ini.
Riak menurut Al-Hafidz ibnu Hajar Al-Asqolani ialah menampakkan ibadah dengan tujuan dilihat manusia, lalu mereka memuji pelaku amalan itu. Manakala ujub pula ialah perasaan hairan dengan diri. 
Menurut Al Fadhil ustaz Ahmad Rozaini dalam kuliah bulanannya di masjid Ubudiah kedua-dua penyakit ini amat sukar diubati, dan antara cara mengubatinya ialah kita perlu yakin bahawa segala ibadah dan kehebatan yang dikurniakan kepada kita hanyalah disebabkan hidayah dan Inayah dari Allah semata-mata. Tidak ada kekuatan kita melainkan hanya kerana pertolongan dan kekuatan Allah kepada kita semata-mata. Selama ini kita diberikan kekuatan untuk beribadah hanyalah kerana Allah telah memilih kita. Dan dengan itu, janganlah kita berasakan kita berbuat ibadah kerana kekuatan diri kita. Ingatlah kita ini adalah hamba yang amat lemah. Inilah ubat kepada perasaan riak dan ujub.
Oleh itu, marilah kita memohon kepada Allah agar kita diberikan hidayah dan inayah untuk terus beribadah kepadaNya dengan khusyuk dan istiqamah. Ingatlah tiada kekuatan pada diri kita selain kurniaan dari yang maha Esa. Wassalam. 

Baca selengkapnya......

Jumaat, Mei 07, 2010

Selamat Hari Ibu untuk Emak Tersayang

Dikesempatan ini saya ingin mengucapkan selamat hari ibu untuk emak saya yang tercinta yakni Hjh Zaminah bt Yeob Abd Aziz. Moga kehidupan emak terus disinari cahaya kebahagiaan. Terima kasih banyak-banyak saya ucapkan buat emak. Budi dan jasa emak tak akan dapat dihitung. 

Baca selengkapnya......

Sabtu, April 10, 2010

Tafakur

Baca selengkapnya......

Perjuanganku

Memartabat Agama Islam dan Bahasa Melayu sehingga diletakkan di tempat yang selayaknya.

Dimanakah Anda?

Tetamu