Rabu, Mei 27, 2009

Ujian dan Dugaan

Dalam perjalanan kehidupan mencari redha Allah sememangnya penuh dengan ujian dan dugaan. Sememangnyalah itu antara sunnatullah, kerana sesuatu yang berharga pasti amat sukar untuk memperolehinya. Dalam proses mencari redha Allah sememangnya seringkali kita akan diuji dengan pelbagai ujian dan dugaan. Pilihan di tangan kita, sama ada kita memilih redha Allah atau redha manusia. Seringkali juga dua keadaan itu akan bertembung dan natijahnya kita perlu membuat pilihan. keputusan terhadap dua pilihan itu menentukan taraf atau kedudukan kita disisiNya. Jika kita berjaya membuat pilihan atas redha Allah maka darjat kita disisiNya pasti akan meningkat dan beruntunglah mereka yang memilih untuk berbuat demikian. Namun, jika kita membuat pilihan sebaliknya maka natijahnya pastilah juga sebaliknya. Proses membuat pilihan antara redha Allah dan redha manusia sentiasa akan berjalan hinggalah kita dipanggil menghadapNya. Namun Allah itu bersifat maha pengasih dan penyayang. Sebab itulah adanya konsep taubat di dalam Islam kerana manusia seringkali silap dalam membuat perhitungan. wassalam.

Baca selengkapnya......

Ahad, Mei 17, 2009

Selamat Hari Guru

Sempena 16 Mei iaitu sambutan hari guru di Malaysia. Saya ingin mengucapkan selamat hari guru kepada semua guru di Malaysia. Tema tahun ini ialah "Guru Pembina Negara Bangsa". Sebenarnya besar tanggungjawab kita sebagai pembina negara bangsa. Hal ini kerana membina negara bangsa lebih sukar berbanding membina menara berkembar Petronas(KLCC) atau Putrajaya.
Saya berkata demikian kerana, membina negara bangsa ialah membina manusia manakala pembinaan KLCC itu membina infrastruktur yang tidak mempunyai roh dan jiwa. Sedangkan membina manusia melibatkan pembinaan jiwa dan minda. Cuba bayangkan sepanjang sejarah kewujudan manusia di dunia ini Allah telah mengutuskan melebihi 250,000 nabi dan rasul dan tugas para nabi dan rasul ini antaranya ialah membina manusia.
Kini tugas itu terpikul di bahu kita sebagai guru. Maka sedarlah tanggungjawab amat besar yang sedang kita pikul kini yakni membina manusia sepertimana yang dikehendaki oleh Allah dan bukannya membina manusia sepertimana yang dikehendaki oleh manusia. wassalam.

Baca selengkapnya......

Selasa, Mei 05, 2009

Harapan Kembali Berputik

Kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung keputusan pengajaran PPSMI merupakan sesuatu yang amat melegakan. Menurut beliau keputusan hasil rundingan meja bulat bukanlah penanda aras yang tepat amatlah kita sokong. Jelasnya kajian daripada pelbagai pihak perlu diteliti dengan sempurna sebelum kerajaan memutuskan seseuatu keputusan. Kita amat mengharapkan kekusutan ini akan terungkai dan natijah akhirnya akan menguntungkan anak bangsa kita kelak.

Baca selengkapnya......

Ahad, Mei 03, 2009

Terjemahan

Dalam usaha membina tamadun, ilmu merupakan antara elemen yang perlu diutamakan. Mustahil kita dapat membina tamadun yang kuat dan dihormati tanpa kita menitikberatkan soal keilmuan. Dalam soal ini kita bukan hanya perlu meneroka ilmu baru malahan kita juga perlu memelihara dan mempertahankan khazanah ilmu bangsa dahulu kala.
Sebenarnya dalam merintis ketamadunan, kita wajib mengetahui khazanah keilmuan bangsa yang kian pupus dalam era kini. Khazanah ilmu yang diterokai oleh datuk nenek moyang kita dahulu perlu difahami dan dihadam sebelum kita meneroka khazanah ilmu dari tamadun luar. Namun, kita dapat melihat betapa kurangnya perhatian kita terhadap khazanah ilmu bangsa dahulu kala berbanding dengan ilmu moden masa kini. Kita dapat melihat bagaimana pelbagai kitab ilmuan Melayu zaman dahulu kala kian pupus daripada arus perdana keilmuan. Jika kita teliti betapa sedikitnya kitab-kitab lama yang tersimpan sebagai koleksi di perpustakaan peribadi di rumah kita(jika ada perpustakaan peribadi) betapa kita tidak lagi mengenal kitab seperti Sirat al-mustaqim karangan Syeikh Nuruddin al-Raniri, Warda al-zawahir karangan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fatani disalin oleh Mahmud bin Muhammad Yusuf bin Haji Abdul Kadir pada hari Rabu, 13 Syawal [1846M.] di Jala, Patani. Dikarang pada hari Selasa, 9 Rejab 1245H. [4 Januari 1830M.] Membicarakan sekitar soalan tauhid dan tasawuf berdasarkan kepada hadis. Selain, kitab Sayr al-salikin ila 'ibadah rabb al-'alamin karangan Abdul Samad Jawi Palembani disalin pada 4 Rabiulawal 1211H. [7 September 1796M.] di Mekah pada tahun 1194H. [1780M.] di Mekah. Menerangkan kelebihan menuntut ilmu tasawuf dan membicarakan segala yang membinasakan hati dan ibadat. Selain kitab Bughiyat al-tullab li murid ma'rifat al-ahkam bi al-sawab dikarang oleh Syeikh Daud bin Abdullah Fatani. Membincangkan tentang amalan-amalan fikah yang dituntut bagi setiap Muslim yang dibentangkan dengan terperinci dan pelbagai lagi kitab lama.
Jika kita melihat kepada realiti masyarakat kini boleh dikatakan amat sedikit dari kalangan kita yang dapat menghuraikan kitab-kitab lama ini dengan baik lantaran kita telah lama meninggalkan khazanah yang tidak ternilai ini. Malahan, tidaklah keterlaluan jika kita katakan bahawa terlalu sedikit dari kalangan kita yang dapat membaca dan memahami isi kandungan kitab ini lantaran kitab-kitab lama ini ditulis dalam bahasa melayu lama dan dalam tulisan jawi lama.
Oleh itu, amatlah penting kepada kita untuk mengadakan usaha menterjemah kembali kitab-kitab lama dari koleksi khazanah lama ini ke dalam lenggok dan laras bahasa Melayu moden agar dapat difahami dan dihayati oleh generasi baru. Jika kita tidak ada usaha ke arah itu, maka eloklah kiranya kita mulai usaha itu sekarang, sebelum khazanah ini hilang untuk selama-lamanya. Malahan, usaha penerbitan juga perlu dipergiat agar kita dapat melihat koleksi kitab-kitab tua ini terus berlegar dalam arus perdana keilmuan di negara ini. Tanpa usaha yang bersungguh-sungguh ke arah itu, tidak mustahil kita tidak akan dapat lagi melihat khazanah ini buat selama-lamanya. Fikir-fikirkanlah.

Baca selengkapnya......

Perjuanganku

Memartabat Agama Islam dan Bahasa Melayu sehingga diletakkan di tempat yang selayaknya.

Dimanakah Anda?

Tetamu