Isnin, Disember 28, 2009

Perjuangan Diteruskan


Setelah hampir satu bulan bercuti dalam menulis di papan blog ini hari ini saya kembali berblogger. Perjuangan apa sahaja keadaan perlu diteruskan. Sepanjang bercuti pelbagai peristiwa berlaku, antara yang paling bermakna dan manis ialah peristiwa kelahiran puteri saya yang pertama Nur Rauhah Musfirah. Melengkapkan keluarga kami yang sebelum ini didahului oleh dua orang putera. Sesungguhnya kehadirin Nur Rauhah memang ditunggu-tunggu selama ini. Permulaan tahun hijrah ini amat manis buat kami sekeluarga. Selamat datang Nur Rauhah Musfirah ke dunia yang penuh pahit manis ini. Wassalam .

Baca selengkapnya......

Rabu, November 25, 2009

Dasar MBMMBI Bermula Tahun 2011

Menurut Tan Sri Muhyiddin Yassin, Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkasakan Bahasa Inggeris(MBMMBI) akan dimulakan lebih awal iaitu bermula pada sesi persekolahan 2011. Sebelum ini kerajaan memutuskan dasar ini akan bermula pada tahun 2012.
Dengan itu, beliau mengesa agar warga pendidik mengembleng tenaga bagi menjayakan dasar ini agar sistem pendidikan negara akan lebih perkasa. Kita perlu menyambut baik pengumuman baru ini kerana masa hadapan anak bangsa tidak lagi boleh dipertaruhkan, terutama anak bangsa yang berada jauh di pedalaman dan luar bandar. Wassalam.

Baca selengkapnya......

Wasiat As-syahid Hasan Al-Banna

1. Apabila mendengar azan maka bangunlah solat serta-merta walau bagaimana keadaan sekalipun.
2. Bacalah al-Quran, tatapilah buku-buku ilmu, pergilah ke majlis-majlis ilmu, dan amalkanlah zikrullah dan janganlah membuang masa dalam perkara yang tiada memberi faedah.
3. Berusahalah untuk bertutur dalam bahasa Arab Fushah kerana bahasa Arab yang betul itu adalah syiar Islam.
4. Janganlah bertengkar dalam apa-apa perkara sekalipun kerana pertengkaran yang kosong tiada memberi apa-apa jua kebaikan.
5. Janganlah banyak ketawa kerana hati yang sentiasa berhubung dengan Allah itu sentiasa tenang lagi tenteram.
6. Janganlah banyak bergurau kerana umat yang sedang berjuang itu tidak mengerti melainkan bersungguh-sungguh dalam setiap perkara.
7. Janganlah bercakap lebih nyaring daripada kadar yang dikehendaki oleh pendengar kerana percakapan yang nyaring itu adalah suatu perbuatan yang sia-sia malah menyakiti hati orang.
8. Jauhilah daripada mengumpat-umpat peribadi orang, mengecam pertubuhan-pertubuhan, dan janganlah bercakap melainkan apa- apa yang memberi kebajikan.
9. Berkenal-kenalanlah dengan setiap Muslim yang ditemui kerana asas gerakan dakwah ialah berkenal-kenalan dan berkasih-sayang.
10. Kewajipan-kewajipan kita lebih banyak daripada masa yang ada pada kita. Oleh itu gunakanlah masa dengan sebaik-baiknya dan ringkaskanlah pelaksanaannya.

Baca selengkapnya......

Ahad, November 22, 2009

Tenang Seorang Mukmin 2

Seorang mukmin boleh mencapai ketenangan dalam urusan dunianya tetapi tidak pada urusan akhiratnya.
Ini adalah satu kenyataan yang perlu diambil perhatian yang teliti. Mukmin sejati yang telah mencapai tahap qanaah berasa cukup dengan apa yang ada dengan keperluan dunianya. Maka dengan itu, terlepas bebaslah dia dari kecintaan kepada dunia. Pada saat itu, dia akan berasa aman dan tenang dari segala urusan dunia. Malahan mukmin itu akan melihat dunia ini hanyalah tempat persinggahannya dalam perjalanan panjang menemui Allah s.w.t. Namun, tidaklah dia meninggalkan urusan dunianya kerana urusan memakmurkan dunia adalah antara tugasnya sebagai khalifah Allah di muka bumi ini.

Bagi seorang mukmin dia amat sedar bahawa amal ibadahnya bukanlah satu jaminan bahawa Allah mesti memasukkannya ke dalam syurga. Urusan masuk syurga atau dilontar ke neraka adalah hak mutlak Allah s.w.t. Namun dia amat mengharapkan agar amal ibadahnya itu akan dilihat oleh Allah s.w.t dan dia amat tahu bahawa Allah s.w.t itu Maha Adil lagi Maha Mengasihi. 
Oleh itu, sebagai seorang mukmin, tidaklah kita boleh berasa puas hati apabila telah selesai beramal ibadah. Seorang mukmin pasti sedar bahawa amalnya itu adalah satu kewajibannya sebagai seorang hamba bukannya tiket untuk ke syurga Allah s.w.t.Jadi tenangnya seorang mukmin itu hanyalah pada urusan dunianya tetapi bukanlah pada urusan akhiratnya.     

Baca selengkapnya......

Sabtu, November 14, 2009

Tenang Seorang Mukmin

Situasi 1 :

Profil :

Nama : Halim bin Abdullah.
Umur : 33 tahun
Pekerjaan : Pegawai di Syarikat Swasta.
Status : Berkahwin
Gaji : RM4000.00
Pendirian Politik : Parti Islam

Halim selesai menunaikan solat Isyak di masjid berhampiran rumahnya. Apabila dia melihat semula perjalanan hidupnya sepanjang hari ini dia berasa amat tenang sekali. Seawal jam 4.30 pagi dia telahpun bangun untuk solat tahajud dan sunat-sunat lain dan diikuti dengan membaca beberapa surah dari kitab Al-Quran. Sebelum azan Subuh berkumandang dia telahpun bertolak ke masjid. Di masjid dia menunaikan solat tahyatul masjid, dan seperti amalan biasanya dia tidak lupa memasukkan duit sedekah di tabung masjid. Dan selepas azan subuh dia menunaikan solat sunat subuh seterusnya menunaikan solat subuh secara berjemaah.  Selepas itu, dia berwirid sebelum membaca beberapa lagi surah Al-Quran seperti surah Al-Waqiah. Kemudian, diapun bergegas ke tempat kerja. Apabila tiba waktu solat dhuha kira-kira jam 8.30 pagi dia telah menunaikan  solat sunat dhuha di surau tempat dia bekerja. Apabila sampai waktu solat zhuhur, dia pergi menunaikan solat zhuhur secara berjemaah di surau. sekali lagi dia berwirid dan sebelum masuk semula bekerja dia sempat membaca beberapa ayat suci Al-Quran. Di tempat dia bekerja semua rakan sejawatnya, mengakui bahawa Halim seorang yang alim dan warak. dan dia amat menyenangi tanggapan rakan sekerjanya itu. Tiba pula waktu solat Asar, sekali lagi dia bergegas ke surau untuk solat berjemaah di sana. Selepas balik dari kerja Halim berehat sebentar sebelum mandi dan selepas itu menghabiskan masa petangnya dengan  mengamalkan zikir petang.  Kemudian Halim bersiap untuk solat maghrib secara berjemaah di masjid berhampiran rumahnya.  Seperti biasa dia akan awal ke masjid utuk solat tahyatul masjid, dan selepas azan berkumandang dia akan solat sunat sebelum solat maghrib.  Selepas itu, Halim menunaikan solat Magrib secara berjemaah. Selepas dari itu, dia solat sunat selepas Maghrib sebelum masuknya waktu isyak. Apabila masuk solat Isyak dia sekali lagi solat sunat isyak dan diikuti dengan solat fardhu Isyak. Seterusnya, dia akan solat sunat Isyak dan pulang ke rumah dengan tenang kerana urusan dunia dan akhiratnya telah selesai buat hari itu..   

Situasi 2 : 

Nama : Kassim bin Abdullah
Umur : 33 tahun
Pekerjaan : Pegawai di Syarikat swasta
Status : Berkahwin
Gaji : RM 4000.00
Pendirian Politik : Parti Islam

Kassim selesai menunaikan solat Isyak di masjid berhampiran rumahnya. Dia merenung semula perjalanan hidupnya sepanjang hari ini. Seawal jam 4.30 pagi dia telahpun bangun untuk solat tahajud dan sunat-sunat lain dan diikuti dengan membaca beberapa surah dari kitab Al-Quran. Sebelum azan Subuh berkumandang dia telahpun bertolak ke masjid. Di masjid dia menunaikan solat tahyatul masjid, dan seperti amalan biasanya dia tidak lupa memasukkan duit sedekah di tabung masjid. Dan selepas azan subuh dia menunaikan solat sunat subuh seterusnya menunaikan solat subuh secara berjemaah. Selepas itu, dia berwirid sebelum membaca beberapa lagi surah Al-Quran seperti surah Al-Waqiah. Kemudian, diapun bergegas ke tempat kerja. Apabila tiba waktu solat dhuha kira-kira jam 8.30 pagi dia telah menunaikan solat sunat dhuha di surau tempat dia bekerja. Apabila sampai waktu solat zhuhur, dia pergi menunaikan solat zhuhur secara berjemaah di surau. sekali lagi dia berwirid dan sebelum masuk semula bekerja dia sempat membaca beberapa ayat suci Al-Quran. Di tempat dia bekerja semua rakan sejawatnya, mengakui bahawa Kassim seorang yang alim dan warak. Dan dia tidak menyenangi tanggapan rakan sekerjanya itu. Tiba pula waktu solat Asar, sekali lagi dia bergegas ke surau untuk solat berjemaah di sana. Selepas balik dari kerja Kassim berehat sebentar sebelum mandi dan selepas itu menghabiskan masa petangnya dengan mengamalkan zikir petang. Kemudian Halim bersiap untuk solat maghrib secara berjemaah di masjid berhampiran rumahnya. Seperti biasa dia akan awal ke masjid untuk solat tahyatul masjid, dan selepas azan berkumandang dia akan solat sunat sebelum solat maghrib. Selepas itu, Halim menunaikan solat fardhu Maghrib secara berjemaah. Selepas dari itu, dia solat sunat selepas Maghrib sebelum masuknya waktu isyak. Apabila masuk solat Isyak dia sekali lagi solat sunat isyak dan diikuti dengan solat fardhu Isyak. Seterusnya, dia akan solat sunat Isyak dan pulang ke rumah. Sebelum tidur dia berasa tenang dengan kehidupan dunianya, tetapi berasa bimbang dengan urusan akhiratnya. Dia berasa bimbang jika Allah tidak menerima segala amalannya pada hari tersebut. Malahan dia juga bimbang jika amalannya pada hari itu mungkin ternoda dengan riak dan takabbur. Namun, di sudut kecil hatinya dia amat mengharapkan Allah menerima amalannya pada hari itu.

Jadi sidang pembaca sekalian dari dua situasi itu, siapakah antara mereka yang mempunyai sikap yang betul? Adakah Halim yang berasa amat tenang dan amat berpuas hati dengan kehidupan dunianya dan berasa yakin pula dengan amal ibadahnya dapat membantunya di akhirat kelak.

Atau sikap Kassim yang betul apabila berasa cukup dan tenang pada kehidupan dunianya tetapi berasa bimbang dan cemas dengan amalan ibadah jika ditolak oleh Allah s.w.t tetapi dalam masa yang sama amat berharap agar amalannya diterima oleh Allah s.w.t.

Sebagai seorang muslim apakah kita boleh berasa tenang dengan amalan ibadat kita yang kita sendiri rasakan amat banyak atau kita perlu rasa bimbang dan harap pada amal ibadah kita? Jawapannya kita bincang dalam masa mendatang insya Allah.    

   

Baca selengkapnya......

Rabu, November 11, 2009

Istiqamah


ISTIQAMAH- ungkapan yang amat sukar untuk dicapai secara praktiknya. Dalam apa jua pekerjaan dan tindakan istiqamah sangat penting. Sesuatu amalan yang sedikitpun jika istiqamah lebih baik berbanding amalan yang banyak tetapi tidak istiqamah. Saya masih ingat lagi ketika saya belajar di Universiti Sains Malaysia saya pernah mendengar satu Bayan yang disampaikan oleh seorang sahabat. Antara intipati bayan beliau ialah tentang istiqamah. Sesuatu yang menarik tentang bayan beliau ialah apabila beliau membuat analogi tentang istiqamah dengan perbuatan seseorang yang menarik timba dari telaga yang amat dalam dan gelap. Kita terus sahaja menarik timba itu tanpa kita dapat melihat timba itu sendiri. dan kita juga tidak tahu bilakah timba itu sampai pada tangan kita. Jika kita tidak terus menarik tali timba itu dengan sabar lantas kita melepaskan sahaja tali itu pasti kita rugi kerana mungkin timba itu sudah hampir kepada kita. Begitulah dengan istiqamah, kita tidak pernah tahu bilakah dan apakah amalan kita akan diterima oleh Allah. Jika kita berhenti mengerjakan sesuatu amalan sedangkan mungkin kita telah hampir mendapat pertolongan dan kasih sayang Allah maka rugilah kita. 
Istiqamah merupakan amalan yang memerlukan mujahadah. Amat mudah disebut tapi amat payah untuk diamalkan. Pernah saya mendengar suatu pesanan orang lama. Solat malam dua rakaat yang dikerjakan secara istiqamah itu lebih baik daripada solat 100 rakaat tetapi itulah yang pertama dan terakhir. Saya berpesan kepada diri saya dan saudara sekalian bermujadahlah pada sesuatu amalan secara istiqamah, sehingga timbul satu perasaan dalam jiwa kita, jika kita meninggalkan amalan itu walaupun sekali maka kita berasakan hidup kita pada hari itu tidak sempurna. Maka pada saat itu saudaralah orang paling beruntung. 
Sebagai permulaan, marilah kita sama-sama memikirkan satu amalan yang kita rasakan 'simple' untuk kita amalkan secara istiqamah. Sebagai permulaan mungkin menderma RM 1.00 pada setiap hari tanpa gagal. Apa macam ada berani?     

Baca selengkapnya......

Selasa, Oktober 20, 2009

Bahasa Melayu di SJK


Selepas 52 tahun Malaysia merdeka, negara ini masih lagi berhadapan dengan masalah perpaduan.  Perpaduan di Malaysia bolehlah diibaratkan seperti sebuah lubuk yang dalam, yakni tenang di permukaan tetapi bergelora di dasarnya. Sepertimana sifat sebuah lubuk berbahaya dan sukar dijangka. Sebenarnya perpaduan di Malaysia amatlah rapuh kerana jika kita lihat disebabkan isu yang amat remeh bisa merebak menjadi api menyala-nyala..
Persoalannya kenapakah hal ini berlaku? Apakah tempoh masa 52 tahun amat singkat untuk kita membina nilai perpaduan dalam masyarakat? persoalan-persoalan ini sebenarnya amat sukar untuk dijawab dalam ruang yang sesempit ini. Persoalan ini terlalu besar dan rumit sekali. Namun saya ingin meluahkan pandangan saya tentang aspek pendidikan yang menyumbang kepada kerapuhan nilai perpaduan di Malaysia kini. 
Malaysia sejak penubuhannya bermula dengan kemerdekaan Tanah Melayu sehinggalah penubuhan Malaysia pada tahun 1963 telah mengamalkan satu sistem pendidikan yang tidak ada di mana-mana negara di dunia ini. Dalam hal ini, sistem persekolahan di negara ini terpecah kepada tiga aliran yang berbeza yakni aliran Kebangsaan (SK dan SMK), aliran Cina(SRJKC dan SMJKC), dan aliran Tamil (SRJKT). Meskipun, semua aliran ini menggunakan satu sistem kurikulum dan peperiksan yang sama tetapi menggunakan bahasa pengantar yang berbeza. Meskipun, tidak salah kita mempelajari bahasa ibunda masing-masing tetapi kita memerlukan satu bahasa perdana yang dapat menyatukan kita semua.
Dalam soal ini, bahasa Melayu telah diiktiraf oleh generasi terdahulu sebagai Bahasa Kebangsaan, maka bahasa yang paling layak menjadi bahasa perdana tersebut ialah bahasa Melayu. Bukan itu sahaja sebabnya, selain itu, bahasa ini juga merupakan bahasa yang hampir difahami oleh semua bangsa di Malaysia ini. Atas dasar ini maka kedudukan bahasa Melayu perlu diperkukuhkan dalam semua aliran pendidikan di negara ini. Dalam hal ini, saya melihat tidak ada sebarang masalah di sekolah kebangsaan tetapi terdapat masalah di aliran Cina dan Tamil. Dengan peruntukan masa belajar bahasa Melayu sebanyak 180  hingga 270 minit di sekolah aliran tersebut maka penguasaan bahasa dalam kalangan murid di sekolah tersebut amat minimal.  Murid-murid hanya mempelajari bahasa Melayu sebanyak tiga waktu seminggu. Jumlah ini amat sedikit berbanding dengan kepentingan menguasai bahasa Melayu sebagai alat perpaduan di negara ini. Maka cadangan memperluas pengunaan Bahasa Kebangsaan di sekolah aliran Cina dan Tamil perlu disambut dengan baik. Waktu belajar bahasa Melayu perlu ditambah dan penggunaan bahasa Melayu dalam subjek bukan teras merupakan satu pilihan yang tepat pada masa ini. Malahan, pendedahan akhbar Berita Harian dalam rencananya(boleh dilihat di sini) dalam akhbar tersebut pada hari ini (20 Oktober 2009) bahawa terdapat guru-guru yang mengajar bahasa Melayu dalam bahasa Cina perlu dipandang serius oleh pihak kementerian Pelajaran.
Namun, cadangan yang amat baik ini telah disambut dingin oleh Pertubuhan Jiao Zong (Pertubuhan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia) malahan, hujah beremosi Pengerusinya, Ong Chiaw Chuan amat dikesali. Sepatutnya beliau menyambut baik cadangan tersebut kerana cadangan itu akan memberikan kebaikan kepada anak-anak bangsanya. Dan lebih besar lagi nilai perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di Malaysia.
Tuntasnya, peranan bahasa Melayu sebagai enjin perpaduan perlu diperkuatkan di sekolah aliran Cina dan Tamil di negara ini. Anak-anak kita perlu didedahkan dengan penggunaan bahasa Melayu yang betul dengan lebih luas lagi. Janganlah hendaknya dalam usia negara melebihi separuh abad ini, masih ada lagi rakyat Malaysia yang bertutur bahasa Melayu seolah-olah mereka baru sahaja berhijrah ke negara ini seperti bertuturnya pekerja-pekerja Bangladesh yang baru sebulan tiba ke negara ini. Kita mengharapkan sistem pendidikan di negara ini dapat melahirkan rakyat yang fasih berbahasa Melayu malahan berbangga dengan bahasa tersebut. Wassalam


Baca selengkapnya......

Jumaat, Oktober 16, 2009

Nikmat Sihat Sebelum Sakit


Telah menjadi sunnatullah setiap makhluk pasti akan merasai kesakitan dan kelesuan pada satu detik dalam kehidupan fana ini. Kesihatan merupakan nikmat yang amat berharga kepada setiap makhluk hidup. Tanpa kesihatan maka segala nikmat yang lain pasti tidak dapat kita rasai sepenuhnya. Namun, kita perlu menyedari bahawa kesakitan dan kesihatan merupakan suatu nikmat yang dikurniakan oleh Allah s.w.t untuk menguji hamba-hambanya.  Kita pasti akan lebih menghargai nikmat kesihatan apabila kita sakit. Sesuatu yang perlu kita ketahui ialah segala amal ibadah yang dilakukan secara istiqamah semasa kita sihat akan kita peroleh pahalanya semasa kita sakit meskipun pada saat itu kita tidak lagi mampu melakukannya. Sebagai contoh, jika kita beristiqamah dalam solat berjemaah semasa sihat, apabila badan telah uzur maka tubuh tidak lagi mampu ke masjid, InsyaAllah pahala akan tetap mengalir dalam kitab amalan kita. Ini semua kerana rahmat dan kemurahan Allah s.w.t. Jadi tika badan masih lagi sihat perbanyakkanlah amal ibadah. Dan yang terpenting sekali perlu ISTIQAMAH. Wassalam.

Baca selengkapnya......

Rabu, Oktober 07, 2009

Melayu Pada Suatu Masa Dahulu


Gambar diambil daripada buku Kelantan : a state of the Malay peninsula – a handbook of information by W.A. Graham publisher Glasgow : Glasgow U. P., 1908.







.

Baca selengkapnya......

Kehebatan Bahasa Melayu


Apabila kita berada di gugusan kepulauan Melayu yakni meliputi Malaysia, Indonesia, Singapura, dan Brunei kita tidak akan menghadapi sebarang kesukaran dan tersesat jalan jika tahu berbahasa Melayu. Bahasa Melayu difahami oleh hampir keseluruhan umat manusia di nusantara ini kecuali segelintir yang bengap dan tidakketahuan..

Bahasa Melayu ialah salah satu bahasa yang penggunaannya sangat meluas dan bilangan penutur pun sangat besar. Sejarah pertumbuhan dan perkembangan bahasa Melayu membuktikan bahawa bahasa itu sebenarnya merupakan salah satu bahasa yang bermartabat dan digunakan untuk menyatukan pelbagai bangsa, terutama di Asia Tenggara.


Dari segi sejarah, bahasa Melayu berasal daripada rumpun bahasa Austronesia. Apabila diperhatikan filum bahasa, maka bahasa Melayu berasal daripada filum Austrik/Austris, lalu daripada rumpunnya, maka bahasa Melayu merupakan rumpun bahasa Austronesia. Beberapa orang pakar sejarah bahasa menyebutnya sebagai rumpun bahasa Melayu-Polinesia.

Bahasa Melayu berkembang menjadi pelbagai dialek dan subdialek. Sebenarnya, bahasa Melayu, sejak awal lagi, telah tersebar di beberapa buah daerah di Asia Tenggara. Bahasa Melayu yang tersebar ini berkembang secara bertahap-tahap, iaitu dari satu zaman ke satu zaman. Mengikut Amat Juhari Moain dalam Sejarah Rumpun Bahasa Melayu, perkembangan bahasa Melayu terbahagi kepada lima zaman, iaitu zaman bahasa Melayu purba, zaman bahasa Melayu kuno, zaman bahasa Melayu klasik, zaman bahasa Melayu peralihan atau pramoden, dan zaman bahasa Melayu moden.

Setiap zaman tersebut mempunyai ciri dan fungsi tersendiri. Banyak kata serta gubahan sastera yang menandai setiap zaman tersebut. Peninggalan bahasa sejak zaman dahulu lebih banyak ditemukan dalam bentuk peninggalan artifak, sama ada tulisan yang ditulis di atas kayu, batu, ataupun daun, seperti daun lontar. Setelah wujudnya mesin cetak, barulah peninggalan bahasa dapat ditemukan dalam bentuk tulisan yang lebih kemas di atas kertas.

Dunia telah melihat beberapa banyak negara yang masih bertengkar dan bertelagah, bahkan lebih buruk lagi berperang hanya untuk menentukan bahasa yang akan dijadikan sebagai bahasa penyatuan dan bahasa kesatuan (contohnya, India menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasminya, walaupun ada banyak bahasa daerah yang telah wujud sebelum kemerdekaan). Ada pula negara yang sememangnya tidak mempunyai bahasa persatuan yang dapat diangkat sebagai bahasa rasmi negara sehingga terpaksa meminjam bahasa bangsa lain untuk dijadikan sebagai bahasa persatuan. Misalnya, Cameroon terpaksa menggunakan bahasa Inggeris dan bahasa Perancis sebagai bahasa rasminya. Oleh sebab persoalan kebahasaan yang sangat erat hubungannya dengan penuturnya, bahasa Melayu turut terbabit.

Pada suatu masa, Melayu begitu bersinonim dengan Islam, sehingga ada tanggapan bahawa kalau seseorang itu Melayu, dia mestilah Islam. Orang Minangkabau sebagai bangsa Melayu pun mempunyai tanggapan seperti itu, iaitu orang Minangkabau mestilah orang Islam. Sekarang, nampaknya tanggapan itu telah bergeser kerana tidak dapat dinafikan bahawa ada sebilangan kecil orang Melayu yang bukan Islam lagi. Oleh sebab itu, apakah yang dapat digunakan sebagai rujukan terhadap Melayu? Jawapannya ialah bahasa. Bahasalah yang dapat menyatukan orang Melayu yang tersebar di setiap pelosok alam. Ciri bahasa Melayu yang sederhana, tidak mengenal tingkat bahasa, serta mudah dipelajari menjadi perekat dan penanda antara satu bangsa Melayu dengan bangsa Melayu yang lain.

Banyak bukti yang menunjukkan bahawa bahasa dan bangsa Melayu telah tersebar bukan sahaja di Asia Tenggara, malah di luar dunia Melayu. Menurut C.A. Mess, bahasa Melayu terdapat di Tanah Melayu, di pantai timur laut Sumatera, di kepulauan Riau, di Palembang, di Kampar, di Jambi, di Medan, serta di pantai Kalimantan. Menurut R.O. Winstedt pula, bahasa Melayu terdapat di semenanjung Tanah Melayu, termasuk di negeri Selat, di Pattani, di kepulauan Riau, di pantai timur Sumatera, dan di pantai barat Borneo.

Encyclopedia Britannica yang diterbitkan pada tahun 1963 mencatatkan bahawa bahasa Melayu menjadi bahasa bagi penduduk asli di semenanjung Tanah Melayu, di pantai timur Sumatera, di seluruh pantai Borneo (Kalimantan), di kepulauan Riau, di Bangka, di Belitung, dan di Natuna Besar. D.J. Prentice berpendapat bahawa daerah penutur asli bahasa Melayu ialah di kawasan Tanah Melayu sehingga selatan Thailand (Pattani), di sepanjang pantai timur Sumatera, di kepulauan Riau, di sepanjang pesisir Kalimantan Barat, Kalimantan Selatan, dan Kalimantan Timur, di Brunei, di pantai barat Sabah, di Sarawak, di Singapura, di Jakarta, di Larantuka, di Kupang, di Makasar, di Menado, di Ternate, di Banda, dan di Ambon.

Selain wilayah Melayu, ternyata bahawa bahasa Melayu pun dapat ditemukan di Sri Lanka dan di Afrika Selatan. Hal ini membuktikan bahawa bahasa Melayu, pada masa jayanya sehingga sekarang, digunakan hampir-hampir di merata tempat di Asia Tenggara sehingga wilayah di luar penyebaran bahasa itu. Apakah erti semua hal ini?

Ertinya ialah bahawa bahasa Melayu mempunyai potensi untuk dijadikan sebagai bahasa perhubungan antara kaum dan bahasa perhubungan antarabangsa. Bahasa Melayu bukanlah sekadar bahasa kelas bawah, malah digunakan dalam majlis rasmi dan untuk berbagai-bagai keperluan pendidikan serta mesyuarat yang dihadiri oleh pelbagai kaum. Sebagai bahasa perhubungan antara kaum, hal ini telah pun dibuktikan dengan menghubungkan kaum di Indonesia, di Malaysia, dan di Singapura. Namun demikian, sebagai bahasa perhubungan antarabangsa, dapatkah impian ini menjadi kenyataan?...InsyaAllah.

 .

Baca selengkapnya......

Ahad, Oktober 04, 2009

Lebih Kuasa Untuk DBP



Tan Sri Muhyiddin Yassin mengatakan kerajaan bersedia menimbangkan permintaan agar Dewan Bahasa dan Pustaka diberikan lebih kuasa dalam memartabatkan Bahasa Kebangsaan. .Terima kasih YAB Tan Sri. Tetapi bila DBP sudah ada kuasa kelak kenalah pandai menggunakannya jangan simpan buat pekasam. Wassalam.

Baca selengkapnya......

Sabtu, Oktober 03, 2009

Seminar Bahasa dan Realitinya


Perjuangan orang kini amat mudah. Cukup dengan berseminar kita berasakan bahawa perjuangan kita akan berjaya. Semasa berseminar satu pihak(biasanya cerdik pandai)akan membentangkan kertas kerja dan satu pihak lagi akan mendengar. Pada hari terakhir pihak penganjur seminar akan membuat resolusi dan para hadirin bersetuju dengan resolusi tersebut. Berakhir satu lagi seminar, sebelum ke seminar seterusnya.   Bukankah perjuangan seperti ini amat mudah? Tidak perlu berpeluh ketiak dan bermandi keringat dan tiada darah yang menitis. Perjuangan yang 'simple' dan mudah. Namun, benarkah perjuangan semudah itu? Jika semudah itu saya orang pertama yang mengangkat tangan ingin turut serta.
Tetapi bagi saya perjuangan dalam keadaan bagaimanapun pasti ada jalan sukarnya, tidak mungkin semudah itu satu perjuangan. Namun, pada pengamatan saya begitulah perjuangan beberapa pejuang bahasa di negara ini.  Cukup dengan berseminar dan berdiskusi di bilik berhawa dingin dan diulit bangku empuk dianggap perjuangan mendaulatkan bahasa.
Jika beginilah caranya, percayalah bahawa bahasa Melayu akan terus layu dalam asakkan era globalisasi yang terus mengecilkan peranannya dalam pelbagai bidang. Percayalah, perjuangan bukanlah perjalanan yang mudah berhampar permaidani merah. Hakikat perjuangan adalah payah dan sukar dan menekan perasaan. Malahan, perjuangan tidak pernah berhenti sehinggalah nafas terhenti. Namun jika kita berasakan perjuangan memartabatkan bahasa Kebangsaan yang kita cintai ini cukup dengan berseminar dan berkolukium maka 'tepuklah dada tanyalah selera'. Wassalam

Baca selengkapnya......

Khamis, Oktober 01, 2009

Bulan Bahasa

Bulan Oktober merupakan Bulan Bahasa Kebangsaan. Tema bagi bulan bahasa pada tahun ini ialah "Bahasa Jiwa Bangsa". Tema lama yang dikitar semula.  

Baca selengkapnya......

Isnin, September 21, 2009

Erti Syawal


Setelah sebulan menjalani ibadah puasa, umat Islam seluruh dunia meraikannya dengan sambutan Aidilfitri. Hari raya ini dinamai dengan kata 'fitrah' agar kita memahami konotasi fitrah itu kembali kepada asas kehidupan di dunia ini.  Ramadhan perlu dilihat sebagai satu institusi tarbiyah untuk membentuk jiwa yang bertaqwa. Selama sebulan ini, kita telah melatih diri kita untuk mengawal satu elemen dalam diri yang sering mendorong kita melakukan kemungkaran yakni nafsu. Nafsu bukanlah suatu elemen kejahatan dalam diri manusia, kerana elemen inilah yang membezakan antara manusia dan malaikat. Dengan adanya nafsu manusia dapat merasai nikmat-nikmat dalam kehidupan dunia ini. Dengan adanya nafsu kita merasai nikmat makanan yang sedap, nikmat perhubungan seks dan sebagainya. Tanpanya manusia bukanlah manusia. Namun, nafsu perlu dikawal kerana jika tidak elemen ini boleh memudaratkan manusia.
Lantaran, nafsu merupakan elemen yang perlu dikawal, maka institusi Ramadhan merupakan peluang yang disediakan oleh Allah s.w.t untuk manusia melatih diri untuk mengawal hawa nafsu. Pada ketika umat Islam berpuasa, nafsu terhadap makanan, seks, keinginan-keinginan melihat, mendengar, dan mengatakan hal-hal yang mungkar ditahan. Jika pada bulan Ramadhan ini umat Islam benar-benar berjaya mengawal hawa nafsunya, maka tidak mustahil kita boleh mengawal elemen ini selama satu tahun yang akan datang. Malahan, untuk memastikan tidak ada elemen gangguan dalam kita menjalani latihan mengawal nafsu, maka Allah telah membelenggu Syaitan sepanjang bulan Ramadhan, agar manusia dapat memfokuskan diri mereka kepada latihan mengawal hawa nafsu semata-mata.  
Jadi apabila kita meraikan Aidilfitri bermakna kita meraikan diri kita yang telah berjaya membawa diri kita kembali kepada fitrah kejadian manusia itu sendiri. Malahan, sebagai ganjarannya, Allah menawarkan pengampunan dan syurga kepada mereka yang berjaya. Namun, jika selepas Ramadhan, hawa nafsu kita masih lagi tidak terkawal, maka bermakna kita telah gagal mencapai matlamat berpuasa. malahan, jika maksiat terus kita lakukan semasa sambutan Aidilfitri  maka tidak adalah maknanya kita meraikan Syawal. Malah, syawal yang kita raikan hanya sekadar sambutan kerana adat, bukannya kerana syariat. 
Justeru, kita perlu bertanya kepada diri sendiri apakah kita meraikan Syawal kerana kejayaan kita mentarbiyah hawa nafsu kita sepanjang Ramadhan atau sekadar kerana orang lain raikan maka kita juga turut ingin serta meraikannya. Hendaknya, kegembiraan kita meraikan Syawal kerana kita berjaya mengawal hawa nafsu kita sepanjang Ramadhan dan latihan Ramadhan itu memberikan kesan dalam kehidupan kita pada masa mendatang. Maka, jelaslah sambutan Aidilfitri ini merupakan hari konvokensyen untuk mereka yang berjaya keluar dari Universiti Ramadhan dengan jayanya. Wassalam.          .

Baca selengkapnya......

Sabtu, September 19, 2009

Jentikan Akal



"Aku berasa sedih apabila mengenangkan hal orang Melayu yang masih belum insaf mengenai kemunduran mereka, kerana mereka tidak mahu belajar bahasanya sendiri dan tidak mahu menyediakan tempat untuk belajar bahasanya. Adakah orang yang tiada belajar itu akan pandai sendiri..? Kata mereka "Apakah gunanya belajar, bukankah itu bahasa kita? Gunanya di dunia sahaja. Lebih baik bahasa Arab, berguna di dunia dan akhirat. "Hal itu benar,. tetapi bagaimana boleh mengetahui bahasa orang lain sekiranya belum mengetahui bahasanya sendiri terlebih dahulu..? Mereka berkata-kata, berjual beli, berkirim dan membalas surat, semuanya dalam bahasa Melayu. Belum pernah aku melihat, sama ada orang Melayu ataupun peranakan, yang menggunakan bahasa Arab sewaktu berniaga, membuat kira-kira dan berkirim serta membalas surat, melainkan dalam sembahyang dan berdoa sahaja."- Abdullah Bin Abdul Kadir Munsyi.

Baca selengkapnya......

Selasa, September 15, 2009

Berita Baik Kepada Perkembangan Pendidikan Islam Di Malaysia

Sebentar tadi Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan semua lulusan Sijil Tinggi Agama Malaysia(STAM) yang berkelayakan akan diterima memasuki institusi pengajian tinggi awam(IPTA) tempatan mulai sesi akan datang. Hal ini disebabkan JPA baru sahaja mengiktiraf lulusan STAM seperti mana lulusan STPM. Dalam hal ini, kita harus mengucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan kerana setelah sekian lama lulusan STAM akhirnya telah diiktiraf. Pengiktirafan ini sebenarnya telah mengangkat taraf pendidikan Islam ke satu tahap yang lebih tinggi dan seterusnya mengangkat martabat sekolah-sekolah agama di Malaysia. Tahniah.

Baca selengkapnya......

Isnin, September 14, 2009

Selamat Hari Raya Aidilfitri

.
Selamat Hari Raya Aidilfitri dari kami sekeluarga kepada semua pengunjung blog ini. Maaf zahir dan batin jika tersalah kata, tersalah perbuatan dan tersalah niat. Moga anda mendapat keberkatan Ramadhan dan kebahagiaan Syawal. 

Baca selengkapnya......

Ahad, September 13, 2009

Semangat Kekitaan Berbahasa

Sesuatu yang biasa terlihat dan terdengar apabila kita berkunjung ke beberapa negeri di Semenanjung Malaysia ini ialah tentang cara berbahasa orang bukan Melayu yang berlainan dengan negeri yang lain. Sebagai contoh apabila kita berkunjung ke negeri Kelantan (kebetulan keluarga mertua berasal dari sana) kita akan mendapati kaum Cina dan Indianya tidak kekok berbahasa Melayu dialek Kelantan, malahan gaya bahasanya amat molek berbanding saudara mereka di Pulau Pinang atau Perak .  
Senario ini berlaku atas beberapa faktor dan antaranya ialah berkaitan rasa kekitaan berbahasa masyarakat di beberapa negeri seperti Kelantan dan Kedah. Jika kita perhatikan orang Melayu di negeri-negeri yang telah saya sebutkan mempunyai semangat kekitaan berbahasa yang agak tinggi berbanding dengan orang Melayu di tempat lain. Jika kita bercakap dengan orang Kelantan, maka agak jarang mereka membalas dengan 'loghat luar' terutama jika kita berada di negeri mereka. Hal ini menyebabkan pengunjung dari luar akan terikut-ikut loghat mereka itu.  Hal inilah yang menyebabkan orang bukan Melayu di negeri tersebut amat fasih berbahasa Melayu loghat Kelantan dan seterusnya fasih berbahasa Melayu. 
Senario ini jelas bertentangan dengan sikap berbahasa orang Melayu terutama di Pantai Barat Semenanjung. Jika kita perhatikan, orang Melayu di Pantai Barat lebih bersikap toleransi terhadap bahasa.  Tatkala mereka bercakap dalam bahasa Melayu dengan orang Cina atau India mereka cenderung menggunakan bahasa Melayu 'loghat Cina' atau "loghat India'. Maka akan terkeluarlah ungkapan seperti "lu mau pigi mana, apek? dan seumpama dengannya. Perlakuan ini sebenarnya tidak membantu sahabat kita bukan berbangsa Melayu untuk menggunakan bahasa Melayu dengan fasih dan betul.
Selain faktor kekitaan berbahasa, faktor pergaulan bangsa bukan Melayu juga menjadi faktor senario ini berlaku.  Meskipun, orang bukan Melayu telah bertapak di Malaysia lebih daripada 100 tahun dan kita telah merdeka selama 52 tahun tetapi pergaulan orang Melayu dan orang bukan Melayu agak terbatas sebenarnya.  Jika kita lihat senario dalam dunia pendidikan, amalan sistem venakular telah banyak mengganggu proses perpaduan dan pergaulan antara kaum.  Keadaan inilah yang menyebabkan terdapat orang bukan Melayu yang masih gagal berbahasa Melayu dengan fasih walaupun telah tinggal lama di Malaysia. 
Keadaan ini perlu dirobah untuk kita melihat lahirnya bangsa Malaysia seperti yang diimpikan oleh Perdana Menteri. Jika tidak slogan 1Malaysia itu hanyalah tinggal slogan semata-mata.  Orang Melayu perlulah mempunyai semangat kekitaan berbahasa yang lebih tebal apabila bercakap dengan orang bukan Melayu.  Biarlah mereka terikut dengan gaya percakapan kita, jangan kita pula yang terikut dengan percakapan mereka. Hal ini sebenarnya bukan seruan kepada semangat perkauman tetapi salah satu cara kita membantu mereka berbahasa Melayu dengan betul dan fasih. Wassalam.

Baca selengkapnya......

Jumaat, September 11, 2009

Penutur Kedua Bahasa Melayu

Apabila dasar pengambilan buruh dari negara China dan India dilaksanakan oleh kerajaan British, pola penduduk Tanah Melayu telah berubah buat selama-lamanya. Jika sebelum itu, Tanah Melayu diduduki oleh hampir 99 peratus orang Melayu tetapi selepas dasar tersebut dilaksanakan pola penduduk berubah secara drastik. Pada masa tersebut pola peratus orang Melayu berbanding orang bukan Melayu hanyalah dalam lingkungan 60 peratus.  Malah, pada satu ketika yakni pada sekitar tahun 1911 penduduk imigran Cina dan India telah melebihi jumlah orang Melayu.
Pada masa tersebut orang Melayu berjumlah 420 ribu, orang Cina berjumlah 433 ribu dan orang India berjumlah 173 ribu.  Malahan pada tahun 1921 orang Melayu hanyalah 49 peratus dari komposisi penduduk di Tanah Melayu. Namun, menjelang merdeka British telah menghantar ribuan imigran ini pulang dan ada dalam kalangan mereka ini yang telah berhijrah ke Singapura. Apabila, Singapura keluar dari gagasan Malaysia maka peratus orang Melayu termasuk bumiputera Sabah dan Sarawak telah meningkat seperti sekarang. Hakikatnya, di Malaysia pada masa ini wujud kelompok penutur kedua bahasa Melayu hasil liberalisasi British sebelum merdeka. 
Sesuatu yang amat mendukacitakan ialah apabila kelompok penutur kedua ini terus terpompong dalam sistem pendidikan venakular yang tidak mengalakkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa utama.  Senario yang berlaku ialah, mereka terus menggunakan bahasa Melayu pada tahap minimal yakni sekadar untuk berhubung dengan orang Melayu.  Malahan, ada dalam kalangan mereka yang terus menggunakan bahasa Melayu yang tidak betul lantaran toleransi orang Melayu yang keterlaluan apabila bercakap dengan mereka yang pelat ini dengan bahasa 'Cina-Melayu' atau 'India-Melayu.' Meskipun telah 52 tahun Malaysia merdeka dan bangsa bukan Melayu telahpun terdiri dari kalangan generasi ketiga atau keempat dari generasi imigran dahulu, ada dalam kalangan mereka ini yang masih tidak fasih berbahasa Melayu. Oleh sebab itu, adalah penting untuk kita melihat semula sistem pengajaran bahasa Melayu agar kita dapat melahirkan generasi penutur kedua bahasa Melayu yang fasih dan berkemahiran bercakap dalam bahasa Melayu. 
Namun, kita juga harus memberikan pujian kepada kaum bukan Melayu yang dapat bertutur bahasa Melayu dengan fasih dan betul.  Malahan ada juga dalam kalangan mereka ini yang kadang-kala lebih fasih dan betul berbahasa Melayu berbanding dengan segelintir orang Melayu sendiri.  Sesuatu yang menariknya, jika kita lihat kaum bukan Melayu yang fasih berbahasa Melayu ini kebanyakannya  datangnya dari negeri-negeri tertentu seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah. InsyaAllah, pada masa hadapan kita akan mengkaji sebab-musabab kenapakah kaum bukan Melayu dari negeri-negeri ini dilihat lebih fasih berbahasa Melayu berbanding negeri-negeri lain? Wassalam
 .

Baca selengkapnya......

Isnin, September 07, 2009

Nuzul Al-Quran

Tatkala memperkatakan  malam Nuzul Quran, malam 17 Ramadhan antara malam yang amat penting dalam sejarah Islam. Pada malam inilah buat pertama kalinya Al-Quran diturunkan dan disampaikan kepada junjungan besar nabi Muhammad s.a.w.  Sebenarnya, menurut Al-Suyuti dalam kitabnya ‘al-Itqan if Ulum al-Quran’ ,AlQuran diturunkan dalam dua peringkat iaitu dari Luhf-Mahfuz ke Baitul Izzah dan dari Baitul-Izzah kepada Rasulullah s.a.w. Tanggal Al-Quran diturunkan dari Lufh-Mahfuz ke Baitul Izzah tidak diketahui kerana Allah s.w.t hanya menyebut pada malam Lailatul Qadar seperti mana dijelaskan dalam surah Al-Qadr. .Firman Allah SWT,
إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar.” (al-Qadr:1).
Peringkat pertama ini juga seperti disebut oleh Ibnu Abbas Al-Quran diturunkan secara sekaligus.
Sedang, 17 Ramadhan merupakan tarikh Jibril menyampaikan Al-Quran kepada Rasulullah di gua Hiraq buat kali pertama sehinggalah pada 9 Zulhijjah tahun ke-10 Hijrah, yakni selama 23 tahun secara beransur-ansur. Begitulah serba sedikit sejarah penurunan Al-Quran dalam bacaan saya yang sedikit ini. Jelasnya, sejarah Nuzul Quran merupakan detik yang amat penting kerana pada waktu inilah berlaku perubahan besar dalam sejarah manusia apabila Al-Quran diturunkan sebagai panduan hidup kita. Wassalam.

Baca selengkapnya......

Ahad, September 06, 2009

Akidah dan H1N1

Apabila berlakunya wabak H1N1 di seluruh dunia, umat manusia menjadi panik dan bimbang dengan penularannya. Setiap hari kita dihadapkan dengan statistik jangkitan dan kematian yang semakin meningkat. Kesannya, kita amat takut dengan virus ini sehinggakan terbina di dalam minda kita bahawa yang menyebabkan kematian itu ialah virus H1N1 itu..
Ramai umat Islam terlupa bahawa virus itu hanyalah asbab kematian sedangkan hakikatnya, kematian dan kesakitan itu datangnya dari Allah s.w.t. Terdapat tanggapan bahawa virus itu amat berkuasa untuk menarik roh dari jasad sehingga menyebabkan kematian. Kita perlu menyedari bahawa kematian, kesakitan, kebahagian dan kesihatan yang kita alami kini merupakan ujian Allah s.w.t buat hamba-hambanya. Samalah dengan antiviral dan vaksin yang akan disuntik ke tubuh kita kelak agar kita selamat dari virus tersebut. Kita perlu menyedari bahawa kesembuhan yang terjadi hakikatnya bukanlah berpunca kerana antiviral atau vaksin tersebut tetapi kesembuhan itu adalah kerana kehendak dari Allah s.w.t.  ubat-ubatan itu hanyalah asbab sembuh penyakit itu sedang yang menyembuh itu ialah Allah s.w.t jua.  
Janganlah hendaknya virus ini menyebabkan akidah kita tergelincir kerana hadirnya wabak ini hanyalah asbab kematian dan kesakitan yang kita alami. Sedang hakikatnya segalanya dari Allah s.w.t. Namun kita sebagai manusia perlu berusaha untuk mengelak penyakit ini dan berdoa serta bertawakal agar Allah tidak mentakdirkan kita terkena penyakit ini. Dan jika ditakdirkan kita terkena penyakit ini, tanggungjawab kitalah untuk mencari penawarnya. Sekali lagi saya tegaskan kematian dan kehidupan segalanya ketentuan Allah s.w.t. Wassalam.

Baca selengkapnya......

Jumaat, September 04, 2009

Persiapan Kemuncak Ramadhan

Sesuatu yang unik dalam menyambut kehadiran Ramadhan ialah waktu kemuncak bagi bulan Ramdhan itu sendiri. Jika kebiasaannya sesuatu itu kemuncaknya adalah di pertengahannya, namun tidak bagi Ramadhan. Kemuncak bagi Ramdhan adalah Lailatul Qadar atau disebut malam seribu bulan..
Dalam soal ini kita perlu bertanyakan diri kita apakah persiapan kita dalam melalui malam lailatul qadar itu?Malam Lailatul Qadar ini merupakan saat yang amat besar dalam tuntutan beragama. Hal ini ditegaskan oleh Allah s.w.t dalam Firmannya :“Malam lailatul qadar lebih baik daripada seribu bulan,” (surah : al-Qadr, ayat ketiga). Seribu bulan bermakna 83 tahun. Bayangkan betapa besar kelebihan lailatul qadar itu apabila dibuat perbandingan dengan malam-malam yang lain.
Mengikut Imam Malik, sejarah malam lailatul qadar bermula apabila Nabi Muhammad SAW sedar yang usia umat Baginda tidak sepanjang usia umat terdahulu, hanya antara 60 tahun hingga 70 tahun, malah Rasulullah SAW sendiri wafat ketika usianya 63 tahun
“Menyedari hakikat itu, Rasulullah berdoa kepada Allah SWT memohon supaya umatnya dapat beribadat sama dengan nilai ibadat umat terdahulu lalu disebabkan kasihnya Allah SWT terhadap baginda, Allah SWT mengurniakan malam lailatul qadar,”
Jadi dalam soal ini apakah kita telah bersedia untuk menempuhi malam penuh barakah itu? Jika dalam riwayat, Rasulullah pada 10 malam terakhir akan mengurangkan urusan dunia dan akan membangunkan ahli keluarganya untuk beribadah kepada Allah s.w.t., maka bagaimana pula dengan kita? marilah kita memenuhkan malam-malam kita dengan ibadah sesuai dengan tuntutan Rasulullah s.a.w junjungan mulia. Wassalam.

Baca selengkapnya......

Keterbukaan Bahasa Melayu 2

Apabila Kesultanan Melayu Melaka jatuh ke tangan Portugis, bahasa Melayu terus berkembang dengan kehadirin mereka. Nyatalah bangsa Melayu itu amat terbuka sikapnya terhadap bahasa. Banyak bahasa Portugis diserap masuk ke dalam bahasa Melayu. Sikap terbuka ini tidaklah menghakis sifat bahasa Melayu tetapi sebaliknya menambahkan lagi khazanah perbendaharaan kata dalam bahasa itu. Kini kita akan melihat pula daftar kata dari bahasa Portugis yang telah diserap masuk ke dalam bahasa Melayu.

B


bangku (banco)

Belanda (holanda)

beranda (veranda)

bendera (bandeira)

biola (viola)

bola (bola)

bilyet (bilhette)

boneka (boneca)

bordil (bordel), tempat pelacuran

botol (botelha)

D

dadu (dado)

dansa (dança)

G

garpu (garfo)

gereja (igreja)

I

Inggris (Ingles)

J

jendela (janela)

K

kaldu (caldo)

kampung (campo)

katun dan kutang (alcotão)

keju (queijo)

kemeja (camisa)

kertas (carta(s) = surat-surat)

kereta (carreteira)



[sunting] L

lentera (lanterna)

M

mandor (mandador)

marakas (maraca) (alat musik perkusi)

meja (mesa)

mentega (manteiga)

meski (mas que)

Minggu (domingo): nama hari, juga dikenal sebagai Ahad

misa (misa) - ibadat Katolik

N

Natal ( Natal)

nina (spt. dalam "nina bobo") (menina): anak perempuan kecil

nona (dona)

nyonya (donha)

P

palsu (falso)

paderi (padre): pendeta

peluru (pelouro, boleiro)

peniti (alfinete)

Perancis (francesa)

pesiar (passear)

pesta (festa)

pigura (figura)

pita (fita)

R

renda (renda)

roda (roda)

ronda (ronda)

S

Sabtu (sábado), nama hari

sabun (sabão)

saku (saco)

sekolah (escola)

sepatu (sapato)

serdadu (soldado)

sinyo (senhor)

sisa (sisa): Bahasa Portugis lama dari residue

T

tanjidor (tangedor)

teledor

tenda (tenda)

tempo (tempo)

terigu (trigo)

tinta (tinta):



Baca selengkapnya......

Rabu, September 02, 2009

Keterbukaan Bahasa Melayu

Sejak zaman berzaman bahasa Melayu telah menyerap masuk pelbagai bahasa asing ke dalam sistem bahasanya. Oleh sebab, sifatnya yang terbuka itu maka mudah bagi pelbagai bangsa dan etnik menerima bahasa Melayu. Hal ini menyebabkan bahasa Melayu menjadi lingua-franca di kawasan nusantara ini. Berikut merupakan senarai kata bahasa Sanskrit yang terdapat dalam bahasa Melayu:
.


A
adi - adicita - adikara - adipati - adiraja - aditya - agama - aji - aksara - aksi - alpa - aneka - angka - angkara - angkasa - angsa - angsoka - aniaya - antara - anugerah - arca - ardi - arya - asa - asmara - asta - astana - atma - atmaja
B
bagi - bahagia - bahasa - bahaya - bahna - bahtera - bahu - baiduri - baja - bakti - bala - banaspati - bangsa - bangsawan - bangsi - bareksa - basmi - batara - batari - bausastra - baya - bayangkara - bayu - bea - beda - bedama - begawan - bejana - bencana - benda - bendahara - berhala - berhana - berita - biara - biarawan - biaya - bicara - bidadari - biji - biksu - biksuni - binasa - birahi - bisa - brahma - brahmana - brahmani - brahmi - brata - buana - budaya - Buddha - budi - bujangga - bukti - bulu roma - bumantara - bumi - bumiputera - bupala - bupati - busana - buta - butala - butayadnya
C
cahaya - cakrabuana - cakra - cakrawala - candala - candi - candra - candramawa - candrasa - candrasengkala - cara - caraka - catur - cedera - cela - cempaka - cendala - cendana - cendekia - cendekiawan - cendera - cendrawasih - cengkerama - cerita - cerna - cinta - cintamani - cipta - cita - citra - cuci - cuka - cula - curiga
D
dadih - dahaga - daksina - dana - dasa - dasawarsa - delima - denda - dendam - derita - desa - Dewa - dewadaru - dewangga - dewasa - dewata - dewayadnya - dewi - dharma, darma, derma - dirgantara - dosa - duli - dupa - duta - dwi
E
eka
G
gada - gaharu - gajah - gala - galuh - ganda - gandarwa - gandewa - gandi - Gangga - gapura - garba - garuda - gatra - gaya - gembala - genta - gergaji- gergasi - gerhana - giri - gita - goni - graha - grahita - griya - gua - gula - gulana - gulma - guna - gunawan - gurindam - guru
H
harsa - harta - hasta - hatta - hima - Himalaya - hina
I
idam - indera - indriya - intisari - irama - istana - istimewa - isteri
J
jagat - jagatraya - jala - jambu - jana - jentera - jasa - jaya - jebad - jeladri - jelma - jiwa - juita - juta
K
kabupaten - kakawin - kala - kalpataru - kama - kamajaya - kanji - kapas - kapur - karena - karma - karna - karunia - karya - kata - kawi - kecapi - keling - keluarga - kemala - kendala - kendi - kenya - kepala - keranda - kerja - kesatria - kesturi - kesumba - ketika - khayal - kirana - kokila - kota - koti - krama - kresnapaksa - krida - ksatria - kuasa - kulasentana - kulawangsa - kunarpa - kunci - kunta - kusa - kusta - kusuma
L
laba - lagu - laksa - laksana - lengkara - lingga - logam - loka - lokakarya - lokananta - lokapala - lintas
M
madia - madu - madukara - madya - maha - maharaja - mahardika - mahkota - makara - mala - malapetaka - manah - mandala - mangsa - mangsi - manik - manikam - mantra - mantri - manusayadnya - manusia - mara - berbahaya - marga - margasatwa - masa - materai - matra - maya - mayapada - mega - melati - menteri - mercapada - merdeka - merdu - merica - merpati - mesra - mesti - mestika - mina - mintuna - mitra - moksa - muka - mula - mustika - mutiara
N
nada - naga - nama - nara - narapati - narapidana - nata - nawa - negara - negeri - neraca - neraka - netra - nila - nirmala - nirwana - niscaya - niskala - nista
O
Ojah

P
pada - padma - padmi - pahala - paksa - paksi - paksina - pala - panca - pancaka - Pancasila - Pancatantra - pandai - pandita - panitia - papa - para - parameswara - parameswari - parisada - parwa - pasca - pataka - patera - patih - pawaka - pawana - payudara - pedanda - pedati - pekerti - pendapa - pendeta - penjara - perada - perbawa - percaya - perdana - peribahasa - peristiwa - perkara - permaisuri - permata - persada - pertama - pertiwi - perwara - petaka - pidana - pitayadnya - prabu - prahara - prakarsa - prakarya - prakata - prameswari - pramugara - pramugari - pramuria - pramuwisata - pranala - pranata - prasangka - prasarana - prasasti - prasetya - prawacana - pria - pribumi - puasa - puja - pujangga - puji - punggawa - pura - purbakala - puri - purnama - purwa - pusaka - puspa - puspadanta - puspita - pustaka - putera - puteri

R
raga - rahasia - raja - rajaberana - rajah - rajalela - rajawali - raksa - raksasa - raksasi - ramai - rasa - rasa - rasi - rata - ratna - reca - rela - remaja - rencana - renjana - resi - restu - rona - rupa - rupiah

S
sabda - sad - sadaya - sahaya - saka - sakala - saksi - sakti - sama - samapta - samudra - sandi - sandiwara - sanggama - sanggamara - sangka - sangka - sangkala - sangsi - Sansekerta - santi - santika - sapta - saptadarma - saptamarga - sarana - sari - sari - saripati - sarira - sarjana - sasakala - sasian - sastera - satria - satru - satwa - satyalancana - satyawacana - saudara - sayembara - seba - sedia - sediakala - sedianya - segala - segara - sejahtera - selesema - selira - seloka - semadi - semboyan - sementara - sempurna - semua - senantiasa - senapati - sendawa - sendi - sengketa - sengsara - senjata - sentosa - serati - seraya - serba - seribumi - serigala - sesira - setanggi - seteru - setia - siksa - sila - singa - singgasana - sisa - siswa - sorga - sri - sridanta - srikaya - stupa - su - suami - suara - suasana - suci - sudah - sudamala - sudara - sudi - sudra - suka - sukarela - suklapaksa - sukma - sula - sunyata - sunyi - suralaya - surya - suryakanta - susila - sutra - sutradara - swa - swakarsa - swakarya - swapraja - swasembada - swasta - swatantra

T
tabil - tala - tala - tani - tantra - taru - taruna - tata - tata acara - tata surya - tatabahasa - tatabusana - tatacara - tataguna - tatakrama - tatalaksana - tatanama - tatanegara - tega - teja - telaga - tembaga - tentara - tepaslira - terka - tetapi - tirta - tri - trimatra - trimurti - trisna - trisula - triwikrama - tuna - tunagrahita

U
udara - umpama - unta - upacara - upaduta - upah - upama - upaya - upeti - urna - usaha - usia - utama - utara


V
vihara

W
wacana - wahana - waisak - waisya - walimana - waluh - wan - wana - wanara - wangsa - wanita - waranggana - warga - warna - warsa - warta - warta berita - wartawan - waruna - waspada - wati - weda - wedana - werda - wesak - wibawa - wibawa - wicara - widara - widya - widyakarya - widyawisata - wihara - wijaya - wiku - wimana - windu - wira - wiracarita - wirama - wiraswasta - wirawan - wisata - wisatawan - wisaya - wisma - wisuda - wiwaha - wiyaga - wiyatabhakti - wredatama –

Y
yantra - yayasan - yoga - yogi - yoni - yogya - yojana - yuda

Ternyata banyak bahasa Sanskrit yang telah terserap ke dalam bahasa Melayu, sama ada kita mengetahuinya atau pun tidak terpulang kepada kita sebagai pengguna bahasa. Pada lain terbitan saya akan senaraikan pula bahasa Portugis yang telah terserap ke dalam bahasa Melayu. Wassalam.

Baca selengkapnya......

Isnin, Ogos 31, 2009

Merdeka! Merdeka! Merdeka!


Ungkapan penuh keramat ini bukan sekadar laungan. Merdeka membawa pengertian yang amat besar kepada setiap warga Malaysia jika kita benar-benar memahami erti kemerdekaan. Bebas dan lepas daripada cengkaman penjajahan satu hal yang penting, namun kini yang lebih penting ialah memastikan kita benar-benar merdeka. Apalah ertinya merdeka jika perkara yang diperjuangkan oleh generasi terdahulu masih lagi terjajah. Dalam soal ini bahasa Melayu dan agama Islam masih tidak mendapat tempat yang sewajarnya.

Bahasa Melayu masih lagi tidak diyakini dapat menyampaikan ilmu pengetahuan terutama dalam ilmu sains dan teknologi. Yang tidak yakin kepada bahasa Melayu bukanlah orang asing tetapi orang Melayu sendiri. Jelaslah bahawa, pemikiran segelintir daripada kita masih lagi terbelenggu dengan penjajahan dengan melihat hanya bahasa Inggeris sahaja yang boleh mengungkap ilmu sains san teknologi moden.

Agama Islam masih lagi tidak mendapat tempat yang sewajarnya. Agama ini tidak dilihat sebagai ad-din tetapi hanya ritual agama semata-mata. Sebagai satu contoh, agama Islam sebagai agama rasmi hanyalah sekadar sisipan doa pada permulaan acara rasmi kerajaan, tidak lebih dari itu. Sedang masih banyak acara yang tidak mengambarkan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan. Walhal, Islam bukan sekadar ritual agama tetapi merupakan cara hidup meliputi ekonomi, politik, sosial, perundangan dan sebagainya. Cuba fikirkan berapa peratuskah tuntutan agama ini dipenuhi dalam kehidupan kita ini?


Sesungguhnya, perjalanan mengisi kemerdekaan itu lebih payah dan sukar daripada mencapainya. Memang benarlah ungkapan tersebut. Jadi marilah kita insafi bahawa kemerdekaan itu masih perlu diperjuangkan. Jika dahulu perjuangannya adalah untuk memerdekakan nusa, tetapi kini perjuangannya adalah untuk mengisi erti kemerdekaan itu dalam erti kata yang sebenarnya. Merdeka! Merdeka! Merdeka! Wassalam.


Baca selengkapnya......

Sabtu, Ogos 22, 2009

Ramadhan Al Mubarak

Sempena kedatangan bulan Ramadhan ini saya ingin mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa kepada seluruh umat Islam. Semoga puasa dan amal ibadah kita pada bulan yang diberkati ini diterima oleh Allah s.w.t. Saya amat tertarik dengan saranan ustaz Suhaimi Lana pada sesi kuliah subuh beliau tadi, bahawa kita perlu membuat satu "senarai semak muhasabah diri" yang menyenaraikan semua tuntutan wajib dan sunat sepanjang hari dan ditandakan jika berjaya dilaksanakan. Praktisnya, jika kita mempunyai senarai semak tersebut, maka kita boleh membuat satu perubahan terhadap cara kita beribadah. Malahan, senarai semak tersebut akan menjadikan amal ibadah kita lebih terurus dan terorganisasi. Cukup baik jika dapat kita amalkan. Wassalam.

Baca selengkapnya......

Ahad, Ogos 16, 2009

Bahasa Melayu, Bahasa Penyatuan

Sejak sebelum merdeka, Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai kepelbagaian kaum lantaran dasar penjajah British mengambil buruh dari China dan India. Sejak itu, para penduduk Tanah Melayu telah terbahagi kepada tiga kaum yakni kaum Melayu, Cina, dan India. Malahan sebenarnya kaum Melayu itu sendiri terdiri daripada pelbagai pecahan etnik seperti Jawa, Banjar, Mendeling, Acheh, Bugis, dan sebagainya. Kepelbagaian kaum dan etnik ini bertambah rencam apabila Malaysia ditubuhkan dengan memasukkan Sabah dan Sarawak sebagai satu entiti dalam Persekutuan Malaysia. Di Sabah sahaja penduduknya terdiri daripada sekurang-kurangnya 30 kumpulan etnik dengan menggunakan lebih daripada 50 bahasa dan tidak kurang daripada 90 dialek. Keadaan ini menggambarkan betapa Malaysia memerlukan satu bahasa penyatuan yang dapat menjalinkan ikatan antara kaum ini.
Sememangnya sejak sebelum merdeka lagi kita dapati para pembina negara ini telah melihat bahawa bahasa penyatuan yang paling ideal ialah bahasa Melayu. Hal ini kerana bahasa Melayu merupakan satu bahasa yang amat sederhana dan amat mudah dipelajari. Malahan, bahasa ini juga telah menjadi lingua franca di nusantara ini, meskipun di nusantara ini sahaja terdapat ratusan bahasa lain yang dituturkan. Oleh yang demikian, adalah tepat untuk kita sama-sama memperkukuh penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan rakyat demi memperkasa perpaduan di negara ini. Wassalam.

Baca selengkapnya......

Khamis, Julai 23, 2009

Memperkukuh pendirian, Menerang Jalan

  1. Pada hari ini saya membuat satu ketetapan dalam meneruskan perjuangan mendaulatkan agama dan bahasa bangsa yakni dengan menukar nama blog ini kepada "Akar Bangsa" daripada nama asalnya Mahfuza Mahmud.
  2. Perubahan ini merupakan satu tanda pengukuhan kepada wajah blog ini yang bercitrakan perjuangan mendaulatkan agama Islam dan bahasa bangsa Melayu.
  3. Kenapa "Akar Bangsa" yang saya pilih sebagai nama baru blog ini? Jawapannya kerana dua elemen penting yang menjadi akar bangsa Melayu ialah agama Islam dan bahasa Melayu. Jadi Blog ini akan menjurus kepada perjuangan mendaulatkan dua elemen penting bangsa Melayu ini. Oleh sebab kedua-dua elemen ini merupakan akar kepada bangsa Melayu maka saya telah mengambil keputusan menamakan blog ini kepada "Akar Bangsa"
  4. Jadi selepas ini arah tuju dan pengisian blog ini akan lebih menjurus kepada perjuangan meninggikan agama Islam dan bahasa Melayu. Insyaallah.

Baca selengkapnya......

Selasa, Julai 21, 2009

Renungan

“Yang besar, ancaman datang daripada golongan Melayu yang kurang percaya pada kebolehan bahasa Melayu. Ini menyebabkan mereka hilang harapan dan terkapai-kapai apabila bahasa Inggeris akan digantikan dengan bahasa Melayu. Ini adalah keadaan yang biasa pada bangsa-bangsa yang dijajah, hasil penjajahan di alam fikiran dan kehidupan sesetengah masyarakat kita.”- Aminuddin Baki - Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga, 1956 (6 Januari 1925-25 Disember 1965)

Baca selengkapnya......

Rabu, Julai 08, 2009

Dasar PPSMI dimansuhkan

Alhamdulillah syukur kepada Allah s.w.t kerana telah membuka hati ahli kabinet Malaysia untuk memansuhkan sama sekali dasar PPSMI pada tahun 2012. Keputusan ini merupakan satu kemenangan kepada bahasa Melayu dan para pejuangnya. Menurut Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Pelajaran Malaysia proses pemansuhan itu akan dilaksanakan secara bertahap yakni bagi pelajar tahun satu dan tahun empat di sekolah rendah dan pelajar tingkatan satu dan tingkatan empat di sekolah menengah pada tahun 2012.
Jelasnya lagi kaedah pengajaran bahasa Melayu dan Inggeris akan dimantapkan meliputi kaedah pengajaran modular bersepadu, seimbang dan holistik. Modul yang disediakan meliputi aspek kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis, serta penguasaan tatabahasa dan seni bahasa. Di samping pendekatan didik hibur dan apresiasi bahasa diberi penekanan dalam kurikulum bahasa Melayu di sekolah rendah.
Tegasnya, kita berasa bersyukur dan amat berterima kasih kepada kerajaan kerana telah mengembalikan semula martabat Bahasa Kebangsaan di tempat yang selayaknya. Moga pelaksanaan PPSMI selama enam tahun itu menjadi pengajaran berguna kepada semua pihak. Kepada guru-guru sains dan matematik marilah kita bersama-sama berganding bahu memartabat bahasa Melayu di arena pendidikan negara. Wassalam.

Baca selengkapnya......

Selasa, Julai 07, 2009

Saat Mendebarkan

Esok dijangka keputusan berkaitan pelaksanaan dasar PPSMI akan dibentangkan di Kabinet dan akan diumumkan kepada khalayak umum. Saat ini amat dinantikan oleh pelbagai pihak sama ada pihak pendukung PPSMI atau pihak engkar PPSMI. Namun kita amat mengharapkan agar keputusan itu memberikan seribu kebaikan kepada usaha memartabatkan Bahasa Kebangsaan yakni bahasa Melayu. Kepada mereka yang telah lama berjuang dan mencintai bahasa Melayu, pada saat ini tingkatkan usaha berdoa dan bermunajat kepada Allah s.w.t. agar ahli Kabinet Malaysia didorongkan hati untuk memartabatkan bahasa Melayu dan menghapuskan dasar PPSMI. Wassalam

Baca selengkapnya......

Jumaat, Julai 03, 2009

Kakitangan Sokongan vs Guru

Dalam dunia pendidikan banyak sekali pertentangan dan kerumitan yang berlaku setiap hari. Dalam hal ini, kita tidak boleh menafikan akan permasalahan yang melibatkan dua kelompok dalam persekitaran sekolah iaitu kelompok guru dan staf sokongan di kebanyakan sekolah. Sebenarnya, dua kelompok ini sewajibnya saling bantu-membantu dan menjalinkan hubungan mesra sejajar dengan kewujudan dua kelompok ini di sekolah. Namun, jika kita perhatikan di kebanyakan sekolah kedua-dua kelompok ini sering bersaing antara satu sama lain.
Mungkin ada yang berpendapat bahawa soal pertentangan antara kumpulan guru dan staf sokongan merupakan isu yang kecil dan hanyalah 'ribut di dalam cawan' dalam sesebuah sekolah. Namun, kadang-kala pertentangan ini boleh menjejaskan hubungan peribadi antara dua kelompok manusia ini. Keadaan ini pastinya akan mencetuskan kekeruhan dalam organisasi yang memungkinkan terjejasnya prestasi dalam sesebuah organisasi.
Sebenarnya, pertentangan dua kelompok ini kadang-kala berpunca daripada ketidakfahaman tentang agihan tugas dan peranan masing-masing dalam organisasi. Setiap kelompok perlu memahami peranan mereka masing-masing agar tidak wujud pertindihan tugas atau wujud situasi seolah-olah guru diberikan tugas perkeranian. Jika wujud keadaan itu, maka sudah pasti akan timbul rasa tidak puashati pihak yang terlibat.
Dalam soal ini, jelas bahawa peranan golongan pentadbir amat penting bagi mewujudkan hubungan yang harmonis antara kedua-kedua kelompok ini. Pentadbir perlu dilihat bijaksana dan adil dalam merungkai permasalahan yang memungkinkan wujud pertentangan antara kelompok guru dan staf. Jika, pentadbir gagal untuk berlaku adil maka pastinya wujud perasaan tidak puashati antara kedua-dua kelompok ini tadi. Malahan, dalam soal ini, pentadbir bukan sahaja perlu adil malahan perlu juga kelihatan adil kerana kadang-kala pentadbir telah bersikap adil tetapi persepsi kelompok tertentu mungkin menjadikan keadilan itu seperti suatu ketidakadilan. Lantaran itu, tugas pentadbir untuk mengurus persepsi itu menuntut kebijaksanaan dan kecermatan.
Jelasnya, selagi kedua-dua kelompok yakni guru dan staf tidak memahami bidang tugas dan peranan masing-masing, maka pertentangan ini pasti akan wujud. Sedangkan kewujudan kelompok ini saling perlu memerlukan antara satu sama lain. Dalam soal ini biarlah hubungan ini bersifat simbiosis dan bukannya bersifat parasit. wassalam.

Baca selengkapnya......

Rabu, Jun 24, 2009

Teruskan Perjuangan

Semalam di Dewan Rakyat, Menteri Pelajaran merangkap Timbalan Perdana Menteri menyatakan bahawa pada awal bulan hadapan keputusan berkenaan Dasar PPSMI akan diputuskan oleh Kabinet dan akan diumumkan kelak kepada umum. Diharapkan agar keputusan itu kelak akan memberikan seribu rahmat kepada perjuangan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan di negara yang tercinta ini. Sama-samalah kita berdoa kepada Ilahi agar keputusan itu kelak akan memberikan kelebihan kepada perjuangan memperkasakan bahasa Melayu. Wassalam

Baca selengkapnya......

Isnin, Jun 01, 2009

Keberkatan Ilmu yang Dilupakan

Soal Pendidikan merupakan teras dalam pembinaan tamadun bangsa. Dalam setiap tamadun yang telah berjaya bangun dengan gagah, aspek pendidikan merupakan elemen penting yang membantu ke arah pembinaan tersebut. Jika kita melihat aspek pembinaan tamadun Islam yang menjadi keutamaan Rasulullah ialah aspek tarbiah dan ilmu. Begitulah juga sepatutnya yang dilakukan oleh mana-mana institusi pendidikan iaitu menekankan aspek pentarbiahan dan keilmuan.
.

Salah satu aspek penting pemerolehan ilmu, selain usaha yang kental dan bersungguh-sungguh ialah aspek keberkatan ilmu. Aspek ini amat kurang diberikan penekanan sejak belakangan ini. Apakah yang dimaksudkan dengan aspek keberkatan ilmu? Sebenarnya ilmu pengetahuan merupakan elemen yang bersumberkan Maha Pencipta. Ilmu yang diperoleh dan dimiliki oleh manusia kini merupakan kurniaan Allah s.w.t. Manusia sering lupa bahawa ilmu yang dimilikinya itu merupakan khazanah yang dimilki oleh Allah s.w.t. Sesuatu ilmu tidak akan memperoleh keberkatan jika ilmu itu tidak ditadbir mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh pemiliknya(yakni Allah s.w.t). Dalam hal ini, urus tadbir ilmu itu bermula daripada sumber kita memperolehinya, cara kita memperolehi ilmu, cara kita menyimpan ilmu itu, tempat kita memperoleh ilmu, hinggalah cara kita menggunakan ilmu itu. Jika salah satu elemen di atas tidak mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh syarak maka unsur keberkatan ilmu itu pastinya akan hilang sirna. Ilmu yang berkat merupakan ilmu yang mampu mengubah watak dan personaliti insan menjadi insan kamil yang didambarkan oleh setiap tamadun manusia. Ilmu yang berkat akan berjaya meninggikan darjat dan martabat insan daripada darjat kebinatangan kepada darjat para malaikat malahan melepasi tahap tersebut.

Jika kita kupas setiap elemen itu dan kita kaitkan dengan realiti yang terdapat di institusi pendidikan kita, maka kita akan dapat melihat banyak unsur yang telah menodai unsur keberkatan ilmu. Salah satu aspek yang akan dibincangkan di sini ialah aspek hubungan antara guru dan murid. Jika kita melihat hubungan guru-murid, saya tidak dapat tidak pasti akan melihat kepada hubungan antara Rasulullah dan para Sahabat baginda. Dalam soal ini Rasulluah berperanan sebagai guru dan para sahabat sebagai murid. Kita dapat melihat bagaimana nilai ketaatan dan kepatuhan para sahabat kepada Rasulullah amat tinggi. Rasulullah pula tidak melihat para sahabat sebagai 'pelanggan' baginda tetapi sebagai rakan seperjuangan Namun, dalam sistem pendidikan hari ini kita diseru agar melihat anak murid kita sebagai 'pelanggan'. Dalam soal ini seolah-olah hubungan guru-murid itu seperti hubungan dalam perniagaan. inilah kesan budaya kapitalisme dalam pendidikan yang telah menghakis keberkatan dalam penyebaran dan penerokaan ilmu. Seharusnya kita perlu merubah budaya yang melihat murid sebagai 'pelanggan' kerana apabila murid dianggap sebagai pelanggan, maka pastilah nilai keuntungan atau laba yang akan dititikberatkan sehinggalah timbul pertanyaan dalam kalangan guru jika aku berkorban untuk murid apakah yang aku akan dapat? Jika aku meluangkan lebih masa bersama-sama murid apakah yang aku akan terima? Inilah yang meruntuh nilai keberkatan dalam penyebaran ilmu dan pengetahuan.
Akhirnya, nilai keberkatan tidak dapat kita lihat secara fizikal, namun itu bukanlah alasan untuk kita mengabaikan nilai tersebut. Percayalah bidang ilmu pengetahuan merupakan lombong keberkatan yang amat luas. Jadi marilah kita menjaga adab-adab dalam menyampai dan menerima ilmu agar kita memperoleh nilai keberkatan yang amat bernilai harganya itu. Wassalam.

Baca selengkapnya......

Rabu, Mei 27, 2009

Ujian dan Dugaan

Dalam perjalanan kehidupan mencari redha Allah sememangnya penuh dengan ujian dan dugaan. Sememangnyalah itu antara sunnatullah, kerana sesuatu yang berharga pasti amat sukar untuk memperolehinya. Dalam proses mencari redha Allah sememangnya seringkali kita akan diuji dengan pelbagai ujian dan dugaan. Pilihan di tangan kita, sama ada kita memilih redha Allah atau redha manusia. Seringkali juga dua keadaan itu akan bertembung dan natijahnya kita perlu membuat pilihan. keputusan terhadap dua pilihan itu menentukan taraf atau kedudukan kita disisiNya. Jika kita berjaya membuat pilihan atas redha Allah maka darjat kita disisiNya pasti akan meningkat dan beruntunglah mereka yang memilih untuk berbuat demikian. Namun, jika kita membuat pilihan sebaliknya maka natijahnya pastilah juga sebaliknya. Proses membuat pilihan antara redha Allah dan redha manusia sentiasa akan berjalan hinggalah kita dipanggil menghadapNya. Namun Allah itu bersifat maha pengasih dan penyayang. Sebab itulah adanya konsep taubat di dalam Islam kerana manusia seringkali silap dalam membuat perhitungan. wassalam.

Baca selengkapnya......

Ahad, Mei 17, 2009

Selamat Hari Guru

Sempena 16 Mei iaitu sambutan hari guru di Malaysia. Saya ingin mengucapkan selamat hari guru kepada semua guru di Malaysia. Tema tahun ini ialah "Guru Pembina Negara Bangsa". Sebenarnya besar tanggungjawab kita sebagai pembina negara bangsa. Hal ini kerana membina negara bangsa lebih sukar berbanding membina menara berkembar Petronas(KLCC) atau Putrajaya.
Saya berkata demikian kerana, membina negara bangsa ialah membina manusia manakala pembinaan KLCC itu membina infrastruktur yang tidak mempunyai roh dan jiwa. Sedangkan membina manusia melibatkan pembinaan jiwa dan minda. Cuba bayangkan sepanjang sejarah kewujudan manusia di dunia ini Allah telah mengutuskan melebihi 250,000 nabi dan rasul dan tugas para nabi dan rasul ini antaranya ialah membina manusia.
Kini tugas itu terpikul di bahu kita sebagai guru. Maka sedarlah tanggungjawab amat besar yang sedang kita pikul kini yakni membina manusia sepertimana yang dikehendaki oleh Allah dan bukannya membina manusia sepertimana yang dikehendaki oleh manusia. wassalam.

Baca selengkapnya......

Selasa, Mei 05, 2009

Harapan Kembali Berputik

Kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung keputusan pengajaran PPSMI merupakan sesuatu yang amat melegakan. Menurut beliau keputusan hasil rundingan meja bulat bukanlah penanda aras yang tepat amatlah kita sokong. Jelasnya kajian daripada pelbagai pihak perlu diteliti dengan sempurna sebelum kerajaan memutuskan seseuatu keputusan. Kita amat mengharapkan kekusutan ini akan terungkai dan natijah akhirnya akan menguntungkan anak bangsa kita kelak.

Baca selengkapnya......

Ahad, Mei 03, 2009

Terjemahan

Dalam usaha membina tamadun, ilmu merupakan antara elemen yang perlu diutamakan. Mustahil kita dapat membina tamadun yang kuat dan dihormati tanpa kita menitikberatkan soal keilmuan. Dalam soal ini kita bukan hanya perlu meneroka ilmu baru malahan kita juga perlu memelihara dan mempertahankan khazanah ilmu bangsa dahulu kala.
Sebenarnya dalam merintis ketamadunan, kita wajib mengetahui khazanah keilmuan bangsa yang kian pupus dalam era kini. Khazanah ilmu yang diterokai oleh datuk nenek moyang kita dahulu perlu difahami dan dihadam sebelum kita meneroka khazanah ilmu dari tamadun luar. Namun, kita dapat melihat betapa kurangnya perhatian kita terhadap khazanah ilmu bangsa dahulu kala berbanding dengan ilmu moden masa kini. Kita dapat melihat bagaimana pelbagai kitab ilmuan Melayu zaman dahulu kala kian pupus daripada arus perdana keilmuan. Jika kita teliti betapa sedikitnya kitab-kitab lama yang tersimpan sebagai koleksi di perpustakaan peribadi di rumah kita(jika ada perpustakaan peribadi) betapa kita tidak lagi mengenal kitab seperti Sirat al-mustaqim karangan Syeikh Nuruddin al-Raniri, Warda al-zawahir karangan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fatani disalin oleh Mahmud bin Muhammad Yusuf bin Haji Abdul Kadir pada hari Rabu, 13 Syawal [1846M.] di Jala, Patani. Dikarang pada hari Selasa, 9 Rejab 1245H. [4 Januari 1830M.] Membicarakan sekitar soalan tauhid dan tasawuf berdasarkan kepada hadis. Selain, kitab Sayr al-salikin ila 'ibadah rabb al-'alamin karangan Abdul Samad Jawi Palembani disalin pada 4 Rabiulawal 1211H. [7 September 1796M.] di Mekah pada tahun 1194H. [1780M.] di Mekah. Menerangkan kelebihan menuntut ilmu tasawuf dan membicarakan segala yang membinasakan hati dan ibadat. Selain kitab Bughiyat al-tullab li murid ma'rifat al-ahkam bi al-sawab dikarang oleh Syeikh Daud bin Abdullah Fatani. Membincangkan tentang amalan-amalan fikah yang dituntut bagi setiap Muslim yang dibentangkan dengan terperinci dan pelbagai lagi kitab lama.
Jika kita melihat kepada realiti masyarakat kini boleh dikatakan amat sedikit dari kalangan kita yang dapat menghuraikan kitab-kitab lama ini dengan baik lantaran kita telah lama meninggalkan khazanah yang tidak ternilai ini. Malahan, tidaklah keterlaluan jika kita katakan bahawa terlalu sedikit dari kalangan kita yang dapat membaca dan memahami isi kandungan kitab ini lantaran kitab-kitab lama ini ditulis dalam bahasa melayu lama dan dalam tulisan jawi lama.
Oleh itu, amatlah penting kepada kita untuk mengadakan usaha menterjemah kembali kitab-kitab lama dari koleksi khazanah lama ini ke dalam lenggok dan laras bahasa Melayu moden agar dapat difahami dan dihayati oleh generasi baru. Jika kita tidak ada usaha ke arah itu, maka eloklah kiranya kita mulai usaha itu sekarang, sebelum khazanah ini hilang untuk selama-lamanya. Malahan, usaha penerbitan juga perlu dipergiat agar kita dapat melihat koleksi kitab-kitab tua ini terus berlegar dalam arus perdana keilmuan di negara ini. Tanpa usaha yang bersungguh-sungguh ke arah itu, tidak mustahil kita tidak akan dapat lagi melihat khazanah ini buat selama-lamanya. Fikir-fikirkanlah.

Baca selengkapnya......

Ahad, Mac 15, 2009

Sekalung Tahniah

Tatkala tanggal 7 Mac lalu hati dan perasaan saya amat bangga dan sayu kerana masih ada lagi para pejuang yang berani dan cekal dalam mendaulatkan bahasa Melayu yang kian terpinggir. Tahniah diucapkan kepada para pejuang yang telah berpedih mata turun di jalanan demi kelangsungan hidup bahasa kebangsaan. Begitulah lumrahnya arena perjuangan, terpaksa mengharungi onak dan duri. Jika ingin terus berjalan galak di permaidani gebu jangan bicara soal perjuangan. Nyata, kini kita kenal siapa pembela bangsa dan bahasa dan siapa pengkhianat kepada perjuangan ini.
Meski ada suara sinis yang menyatakan sia-sianya perjuangan ini maka hendaklah kita katakan kepada mereka bahawa perjuangan ini tidak sia-sia. Malahan saya percaya perhimpunan itu pasti membekas kepada hati dan minda pihak yang kita tujukan protes. Justeru, diharap agar perhimpunan itu kelak akan melembutkan benak para penguasa untuk kembali ke jalan perjuangan datuk moyang kita dahulu kala yang berkeringat dan berdarah memerdekakan bahasa kebangsaan dari lumpur penjajahan. Moga-moga perjuangan ini kelak menjadi ingatan kepada cucu cicit kita agar mereka mengenal bahawa bahasa mereka dulunya pernah dihinjak tetapi telah diselamatkan oleh para pejuang bahasa sejati. Wassalam

Baca selengkapnya......

Ahad, Februari 22, 2009

Ilmu

"Apabila mendengar azan bangun serta-merta walau dalam keadaan bagaimana sekali pun," kata asy-Syahid Imam Hasan al-Banna lewat wasiatnya yang pertama.

"Bacalah al-Quran, tatapilah buku-buku atau pergilah mendengar perkara-perkara yang baik atau amalkanlah zikrullah dan janganlah membuang masa walau sedikit pun dengan hal-hal yang tidak berfaedah." Wasiat kedua Imam Hasan al-Banna.

Baca selengkapnya......

Jumaat, Februari 20, 2009

Apakah Pentingnya Bahasa Melayu itu?

Tatkala berbicara soal memartabatkan bahasa Melayu pada tempat dan tarafnya, maka kita barangkali akan bertanya apakah penting bahasa Melayu itu dimartabatkan? Kenapakah bahasa itu penting untuk dimartabatkan? Sebenarnya apakah kepentingan bahasa Melayu itu kepada proses pembinaan negara ini?
Untuk memahami kepentingan bahasa kepada pembinaan tamadun, maka kita perlu melihat kepada sejarah. Dalam sejarah ketamadunan manusia kita diperlihatkan dengan pelbagai keagungan generasi lampau dengan kepelbagaian monumen dan tinggalan. Antaranya, semua orang kenal dengan Piramid di Mesir, Angkor Wat di Kemboja, Tembok Besar di China, Colesium di Rom, dan pelbagai lagi monumen yang agung sebagai simbol kegemilangan sesuatu tamadun. Dalam proses pembinaan tamadun-tamadun hebat manusia seperti tamadun Mesir, Tamadun Mesopotamia, Tamadun China, Tamadun Rom, hatta Tamadun Islam sekalipun kita dengan pasti dapat mengatakan bahawa setiap kali sesuatu tamadun itu terbentuk, maka peranan ilmu amat penting dalam proses pembinaan setiap tamadun manusia tersebut. Tanpa ilmu pengetahuan maka barang pasti sesuatu bangsa tidak mungkin dapat mencapai ketinggian tamadun yang dilihat dalam sejarah manusia.
Jadi, apakah kaitannya antara bahasa, ilmu, dan pembinaan tamadun? Dalam sejarah peradaban dan tamadun manusia kita dapat menyaksikan bagaimana manusia itu meneroka ilmu pengetahuan. Jika kita selusuri pembinaan tamadun Eropah yang ada pada hari ini, maka kita akan dapat menyaksikan bagaimana para cendekiawan Eropah pada masa lampau merintis ilmu pengetahuan sehingga ilmu itu berkembang pada tahap sekarang. Kita tidak boleh menafikan bahawa pembinaan tamadun Eropah itu berakar umbi daripada tamadun Islam terutama di Cordova. Sejarah mencatatkan bagaimana para pelajar dari Eropah belajar dengan para sarjana Islam seperti Ibnu Sina, Al-Razi, dan ramai lagi sarjana Islam dari pelbagai aliran dan cabang ilmu. Akhirnya, kita dapat melihat mereka membawa khazanah ilmu daripada tamadun Islam ke Eropah. Persoalannya, apakah yang mereka lakukan pada khazanah ilmu pengetahuan dari tamadun Islam ini? Sesuatu yang jelas mereka giat menjalankan proses penterjemahan. Inilah kunci kejayaan keilmuan bangsa Eropah pada waktu tersebut. Mereka giat menjalankan proses penterjemahan. Malahan, jika kita melihat kepada pembinaan tamadun Jepun pun kita pasti proses penterjemahan inilah yang menjadi kunci kejayaan bangsa Jepun pada ketika ini.
Kenapakah perlu proses penterjemahan ini? Di sini kita perlu memahami proses penyerapan ilmu dan pengetahuan. Ilmu dan pengetahuan amat mudah diserap apabila ilmu tersebut disampaikan dalam bahasa ibunda. Ini merupakan suatu fakta dan kenyataan yang telah terbukti. Manusia akan lebih memahami ilmu pengetahuan jika disampaikan dengan bahasa ibundanya. Maka inilah pentingnya proses penterjemahan iaitu untuk memastikan ilmu dapat disampaikan dengan bahasa ibunda dan seterusnya diserap dengan baik ke dalam otak manusia.
Oleh itu, amatlah penting segala ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang disampaikan dalam bahasa ibunda masing-masing. Jadi di sini kita perlu memahami bahawa dalam proses pembinaan semula tamadun Melayu di negara ini, maka kita perlu memastikan generasi pewaris diberikan suntikan ilmu pengetahuan. Dan langkah yang amat penting ialah memastikan mereka dapat memahami dan menghayati ilmu pengetahuan itu sendiri. Untuk itu, amat penting kita memahami ilmu pengetahuan mesti disampaikan dalam bahasa yang dapat mereka fahami dan dalam konteks Malaysia, bahasa yang paling layak menyampaikan ilmu pengetahuan ialah bahasa Melayu itu sendiri kerana bahasa ini merupakan bahasa yang hampir pasti difahami oleh setiap warga di negara ini. Oleh itu, amatlah penting untuk kita menyedari peripentingnya bahasa Melayu itu dinobatkan semula sebagai bahasa pengantar ilmu pengetahuan pada setiap peringkat pendidikan, sama ada peringkat rendah mahupun tinggi.
Akhirnya, dapatlah kita memahami bahawa dalam proses pembinaan tamadun manusia tiada dalam catatan sejarah sesebuah tamadun agung dibina dengan bahasa asing. Malahan dengan pasti pembinaan tamadun tersebut dengan bahasa mereka sendiri. Fikirkanlah. Wassalam.

Baca selengkapnya......

Khamis, Februari 19, 2009

Bahasa

Soal PPSMI agak gawat diperkata orang sejak belakangan ini. Namun, jelas kelihatan setiap kelompok mempunyai pendapat yang sama tentang kepentingan menguasai bahasa asing selain bahasa ibunda. Sama ada kelompok proPPSMI atau kelompok penentang PPSMI mereka bersetuju peri pentingnya menguasai bahasa kedua. Namun, sesuatu yang jelas di sini ialah cara atau kaedah kita ingin menguasai bahasa tersebut yang menjadi pertikaian. Bagi kelompok yang menentang pelaksanaan PPSMI, jelas mereka mempertikai tentang cara yang diambil oleh kerajaan dengan menukar bahasa pengantar mata pelajaran sains dan matematik ke dalam bahasa Inggeris itulah yang dipertikai. Sementelah pula pelaksanaannya yang dilihat agak terburu-buru menambahkan lagi pertikaian tersebut. Bagi saya, sememangnya, amat penting untuk anak bangsa Malaysia menguasai lebih daripada satu bahasa, namun untuk menguasai bahasa lain tidaklah dengan menghakis nilai bahasa Melayu itu sendiri, dengan menjadikannya sebagai bahasa kelas kedua.
Sebenarnya, apa yang menjadi penyakit utama kepada permasalahan ini ialah tentang lemahnya penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar di negara ini, terutama bangsa Melayu di luar bandar. Jadi penyakit telah kita ketahui, maka kita perlulah mencari ubat kepada penyakit tersebut. Apakah ubatnya? Adakah dengan menukar bahasa pengantar Sains dan Matematik kepada bahasa Inggeris merupakan ubatnya. Sebenarnya, secara ikhlas ubat itu mungkin ada mujarabnya namun ubat itu mempunyai kesan sampingan yang amat kuat. Kesan sampingannya jelas apabila terjadinya penurunan taraf dan kepentingan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan negara. Hal ini amat merugikan kerana sebelum ini, kita telah menyaksikan bahasa Melayu telah berjaya dinobatkan pada tempat yang selayaknya, namun kini kita umpama telah membenam semula kedudukan bahasa Melayu seperti pada masa sebelum merdeka.
Jadi bagaimanakah kita ingin mengubati penyakit lemah berbahasa Inggeris ini? Jika dikatakan ubat itu kurang tepat maka apakah ubat yang tepat untuk mengubati penyakit ini? Bagi saya ubat kepada penyakit ini sudah pastilah berkaitan pengajaran bahasa Inggeris itu sendiri. Method atau pendekatan pengajaran bahasa Inggeris itu di sekolahlah yang perlu dibedah siasat! Pasti ada yang tidak kena dengan cara pengajaran bahasa Inggeris di sekolah. Pelik tapi benar! bagaimana seorang pelajar yang tamat tingkatan lima(tempoh pembelajaran selama 11 tahun) gagal mahir berbahasa Inggeris. Sedangkan pada lazimnya jika kaedah dan pendekatan betul yang diterap, seorang manusia normal dapat menguasai bahasa asing paling lama mungkin setahun untuk mencapai tahap boleh bertutur.
Maka jelaslah, sebenarnya ubat terbaik untuk merungkai permasalahan PPSMI ini hanyalah dengan merombak kaedah pengajaran bahasa Inggeris di sekolah, bukannya dengan menukar bahasa pengantar Sains dan Matematik kerana banyak mudaratnya dari tindakan tersebut. Maka marilah kita sahut seruan untuk menukar semula bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pengajaran Sains dan Matematik. Sahutan itu bukan bermakna kita ingin mencari kelemahan mana-mana pihak, cuma kita ingin pastikan perjuangan mendaulatkan bahasa Melayu yang sekian lama dirintis tidak terkubur begitu sahaja.

Baca selengkapnya......

Rabu, Januari 28, 2009

Lawatan Ke Melaka

Pada 26 dan 27 Januari 2009, saya dan keluarga bercuti ke Melaka. Trip kali ini sebenarnya dah lama dirancang tapi baru kali ni menjadi. Mula-mula nak ke Penang masa cuti ni tapi akhirnya kembali ke plan asal pi Melaka. Hari Pertama semuanya ok. Macam dirancang tapi di Melaka sedikit hujan. Cuma di sini nak beri komen pasal Taman Mini Malaysia & Asean macam tak berbaloi bayar 12.00 per kepala sebab banyak rumah terutama Rumah Asean tidak diselenggara. Memang sedih tengok keadaan tu, sebab idea Taman tu bagus. Tapi macam biasa budaya kat Malaysia ni macam tak ada budaya menyelenggara. Masa bina ok tapi lepas tu tak boleh nak kekalkan. Apa-apapun lawatan di Melaka satu pengalaman yang menarik. Boleh dikatakan semua tempat menarik di Melaka kami kunjungi.

Baca selengkapnya......

Khamis, Januari 15, 2009

Catatan Peristiwa 15 Januari 2009

Hari ini aktiviti sekolah berjalan seperti biasa. Cuma hari ini bermula aktiviti kokurikulum. Kehadiran pelajar seperti dijangka, kurang memuaskan, daripada 12 orang ahli cuma tujuh orang ahli hadir pada perjumpaan pertama ini(oklah cukup korum untuk buat AGM). Harap-harap selepas ini pelajar semakin bersemangat terutama dengan kemasukan pelajar tingkatan 4. Isu semasa pulak masih lagi berkisar tentang isu Palestin. Tak tahulah bila akan berakhirnya penderitaan rakyat Palestin. Yang pastinya ini mungkin juga ujian Allah kepada kita. Allah nak lihat sejauhmana tindakan dan sikap kita terhadap masalah ini. Kalau tak rasa apa-apa, maknanya kita masih jauh dari memahami erti persaudaraan dalam Islam. Allahualam.

Baca selengkapnya......

Selasa, Januari 13, 2009

Sesi Persekolahan 2009

Kini telah seminggu sesi persekolahan bermula. Tahun ni tak tahu lagi sama ada sibuk atau tidak. Tapi yang pastinya dalam jadual peribadi memang agak sibuk dengan 26 waktu seminggu. Namun untuk dua bulan pertama ni agak relaks sebab pelajar tingkatan empat belum lagi mendaftar. Kemungkinan pendaftaran pelajar tingkatan empat pada 23 Feb. 2009. Apa-apapun tahun baru semangat kena baru.

Baca selengkapnya......

Perjuanganku

Memartabat Agama Islam dan Bahasa Melayu sehingga diletakkan di tempat yang selayaknya.

Dimanakah Anda?

Tetamu