Isnin, September 21, 2009

Erti Syawal


Setelah sebulan menjalani ibadah puasa, umat Islam seluruh dunia meraikannya dengan sambutan Aidilfitri. Hari raya ini dinamai dengan kata 'fitrah' agar kita memahami konotasi fitrah itu kembali kepada asas kehidupan di dunia ini.  Ramadhan perlu dilihat sebagai satu institusi tarbiyah untuk membentuk jiwa yang bertaqwa. Selama sebulan ini, kita telah melatih diri kita untuk mengawal satu elemen dalam diri yang sering mendorong kita melakukan kemungkaran yakni nafsu. Nafsu bukanlah suatu elemen kejahatan dalam diri manusia, kerana elemen inilah yang membezakan antara manusia dan malaikat. Dengan adanya nafsu manusia dapat merasai nikmat-nikmat dalam kehidupan dunia ini. Dengan adanya nafsu kita merasai nikmat makanan yang sedap, nikmat perhubungan seks dan sebagainya. Tanpanya manusia bukanlah manusia. Namun, nafsu perlu dikawal kerana jika tidak elemen ini boleh memudaratkan manusia.
Lantaran, nafsu merupakan elemen yang perlu dikawal, maka institusi Ramadhan merupakan peluang yang disediakan oleh Allah s.w.t untuk manusia melatih diri untuk mengawal hawa nafsu. Pada ketika umat Islam berpuasa, nafsu terhadap makanan, seks, keinginan-keinginan melihat, mendengar, dan mengatakan hal-hal yang mungkar ditahan. Jika pada bulan Ramadhan ini umat Islam benar-benar berjaya mengawal hawa nafsunya, maka tidak mustahil kita boleh mengawal elemen ini selama satu tahun yang akan datang. Malahan, untuk memastikan tidak ada elemen gangguan dalam kita menjalani latihan mengawal nafsu, maka Allah telah membelenggu Syaitan sepanjang bulan Ramadhan, agar manusia dapat memfokuskan diri mereka kepada latihan mengawal hawa nafsu semata-mata.  
Jadi apabila kita meraikan Aidilfitri bermakna kita meraikan diri kita yang telah berjaya membawa diri kita kembali kepada fitrah kejadian manusia itu sendiri. Malahan, sebagai ganjarannya, Allah menawarkan pengampunan dan syurga kepada mereka yang berjaya. Namun, jika selepas Ramadhan, hawa nafsu kita masih lagi tidak terkawal, maka bermakna kita telah gagal mencapai matlamat berpuasa. malahan, jika maksiat terus kita lakukan semasa sambutan Aidilfitri  maka tidak adalah maknanya kita meraikan Syawal. Malah, syawal yang kita raikan hanya sekadar sambutan kerana adat, bukannya kerana syariat. 
Justeru, kita perlu bertanya kepada diri sendiri apakah kita meraikan Syawal kerana kejayaan kita mentarbiyah hawa nafsu kita sepanjang Ramadhan atau sekadar kerana orang lain raikan maka kita juga turut ingin serta meraikannya. Hendaknya, kegembiraan kita meraikan Syawal kerana kita berjaya mengawal hawa nafsu kita sepanjang Ramadhan dan latihan Ramadhan itu memberikan kesan dalam kehidupan kita pada masa mendatang. Maka, jelaslah sambutan Aidilfitri ini merupakan hari konvokensyen untuk mereka yang berjaya keluar dari Universiti Ramadhan dengan jayanya. Wassalam.          .

1 ulasan:

cikgusaiful 24 September 2009 2:46 PTG  

Marilah kita sama-sama berdoa agar segala amalan kita di bulan Ramadhan diterima Allah SWT dan mohon dipanjangkan umur agar dapat bertemu dengan Ramadhan di tahun hadapan...

Perjuanganku

Memartabat Agama Islam dan Bahasa Melayu sehingga diletakkan di tempat yang selayaknya.

Dimanakah Anda?

Tetamu