Ahad, September 13, 2009

Semangat Kekitaan Berbahasa

Sesuatu yang biasa terlihat dan terdengar apabila kita berkunjung ke beberapa negeri di Semenanjung Malaysia ini ialah tentang cara berbahasa orang bukan Melayu yang berlainan dengan negeri yang lain. Sebagai contoh apabila kita berkunjung ke negeri Kelantan (kebetulan keluarga mertua berasal dari sana) kita akan mendapati kaum Cina dan Indianya tidak kekok berbahasa Melayu dialek Kelantan, malahan gaya bahasanya amat molek berbanding saudara mereka di Pulau Pinang atau Perak .  
Senario ini berlaku atas beberapa faktor dan antaranya ialah berkaitan rasa kekitaan berbahasa masyarakat di beberapa negeri seperti Kelantan dan Kedah. Jika kita perhatikan orang Melayu di negeri-negeri yang telah saya sebutkan mempunyai semangat kekitaan berbahasa yang agak tinggi berbanding dengan orang Melayu di tempat lain. Jika kita bercakap dengan orang Kelantan, maka agak jarang mereka membalas dengan 'loghat luar' terutama jika kita berada di negeri mereka. Hal ini menyebabkan pengunjung dari luar akan terikut-ikut loghat mereka itu.  Hal inilah yang menyebabkan orang bukan Melayu di negeri tersebut amat fasih berbahasa Melayu loghat Kelantan dan seterusnya fasih berbahasa Melayu. 
Senario ini jelas bertentangan dengan sikap berbahasa orang Melayu terutama di Pantai Barat Semenanjung. Jika kita perhatikan, orang Melayu di Pantai Barat lebih bersikap toleransi terhadap bahasa.  Tatkala mereka bercakap dalam bahasa Melayu dengan orang Cina atau India mereka cenderung menggunakan bahasa Melayu 'loghat Cina' atau "loghat India'. Maka akan terkeluarlah ungkapan seperti "lu mau pigi mana, apek? dan seumpama dengannya. Perlakuan ini sebenarnya tidak membantu sahabat kita bukan berbangsa Melayu untuk menggunakan bahasa Melayu dengan fasih dan betul.
Selain faktor kekitaan berbahasa, faktor pergaulan bangsa bukan Melayu juga menjadi faktor senario ini berlaku.  Meskipun, orang bukan Melayu telah bertapak di Malaysia lebih daripada 100 tahun dan kita telah merdeka selama 52 tahun tetapi pergaulan orang Melayu dan orang bukan Melayu agak terbatas sebenarnya.  Jika kita lihat senario dalam dunia pendidikan, amalan sistem venakular telah banyak mengganggu proses perpaduan dan pergaulan antara kaum.  Keadaan inilah yang menyebabkan terdapat orang bukan Melayu yang masih gagal berbahasa Melayu dengan fasih walaupun telah tinggal lama di Malaysia. 
Keadaan ini perlu dirobah untuk kita melihat lahirnya bangsa Malaysia seperti yang diimpikan oleh Perdana Menteri. Jika tidak slogan 1Malaysia itu hanyalah tinggal slogan semata-mata.  Orang Melayu perlulah mempunyai semangat kekitaan berbahasa yang lebih tebal apabila bercakap dengan orang bukan Melayu.  Biarlah mereka terikut dengan gaya percakapan kita, jangan kita pula yang terikut dengan percakapan mereka. Hal ini sebenarnya bukan seruan kepada semangat perkauman tetapi salah satu cara kita membantu mereka berbahasa Melayu dengan betul dan fasih. Wassalam.

1 ulasan:

cikgusaiful 13 September 2009 11:32 PTG  

Ulasan yang baik...emmm sebab tu aku bangga jadi orang Kedah. Lidah kami orang Kedah tak boleh nak adjust dah walau di mana kami berada.....

Perjuanganku

Memartabat Agama Islam dan Bahasa Melayu sehingga diletakkan di tempat yang selayaknya.

Dimanakah Anda?

Tetamu