Jumaat, September 11, 2009

Penutur Kedua Bahasa Melayu

Apabila dasar pengambilan buruh dari negara China dan India dilaksanakan oleh kerajaan British, pola penduduk Tanah Melayu telah berubah buat selama-lamanya. Jika sebelum itu, Tanah Melayu diduduki oleh hampir 99 peratus orang Melayu tetapi selepas dasar tersebut dilaksanakan pola penduduk berubah secara drastik. Pada masa tersebut pola peratus orang Melayu berbanding orang bukan Melayu hanyalah dalam lingkungan 60 peratus.  Malah, pada satu ketika yakni pada sekitar tahun 1911 penduduk imigran Cina dan India telah melebihi jumlah orang Melayu.
Pada masa tersebut orang Melayu berjumlah 420 ribu, orang Cina berjumlah 433 ribu dan orang India berjumlah 173 ribu.  Malahan pada tahun 1921 orang Melayu hanyalah 49 peratus dari komposisi penduduk di Tanah Melayu. Namun, menjelang merdeka British telah menghantar ribuan imigran ini pulang dan ada dalam kalangan mereka ini yang telah berhijrah ke Singapura. Apabila, Singapura keluar dari gagasan Malaysia maka peratus orang Melayu termasuk bumiputera Sabah dan Sarawak telah meningkat seperti sekarang. Hakikatnya, di Malaysia pada masa ini wujud kelompok penutur kedua bahasa Melayu hasil liberalisasi British sebelum merdeka. 
Sesuatu yang amat mendukacitakan ialah apabila kelompok penutur kedua ini terus terpompong dalam sistem pendidikan venakular yang tidak mengalakkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa utama.  Senario yang berlaku ialah, mereka terus menggunakan bahasa Melayu pada tahap minimal yakni sekadar untuk berhubung dengan orang Melayu.  Malahan, ada dalam kalangan mereka yang terus menggunakan bahasa Melayu yang tidak betul lantaran toleransi orang Melayu yang keterlaluan apabila bercakap dengan mereka yang pelat ini dengan bahasa 'Cina-Melayu' atau 'India-Melayu.' Meskipun telah 52 tahun Malaysia merdeka dan bangsa bukan Melayu telahpun terdiri dari kalangan generasi ketiga atau keempat dari generasi imigran dahulu, ada dalam kalangan mereka ini yang masih tidak fasih berbahasa Melayu. Oleh sebab itu, adalah penting untuk kita melihat semula sistem pengajaran bahasa Melayu agar kita dapat melahirkan generasi penutur kedua bahasa Melayu yang fasih dan berkemahiran bercakap dalam bahasa Melayu. 
Namun, kita juga harus memberikan pujian kepada kaum bukan Melayu yang dapat bertutur bahasa Melayu dengan fasih dan betul.  Malahan ada juga dalam kalangan mereka ini yang kadang-kala lebih fasih dan betul berbahasa Melayu berbanding dengan segelintir orang Melayu sendiri.  Sesuatu yang menariknya, jika kita lihat kaum bukan Melayu yang fasih berbahasa Melayu ini kebanyakannya  datangnya dari negeri-negeri tertentu seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah. InsyaAllah, pada masa hadapan kita akan mengkaji sebab-musabab kenapakah kaum bukan Melayu dari negeri-negeri ini dilihat lebih fasih berbahasa Melayu berbanding negeri-negeri lain? Wassalam
 .

1 ulasan:

Abdullah Jengka,  12 September 2009 9:00 PG  

Ada benarnya apa saudara katakan. Yang pasti dasar pendidikan sekarang tidak membantu perpaduan

Perjuanganku

Memartabat Agama Islam dan Bahasa Melayu sehingga diletakkan di tempat yang selayaknya.

Dimanakah Anda?

Tetamu