Isnin, Februari 22, 2010

Peranan Guru Bahasa Dalam Proses Dakwah

Antara ciri yang membezakan manusia dan haiwan ialah peranan akal. Manusia dikurniakan akal manakala haiwan tidak memiliki akal fikiran. Segala perbuatan haiwan yang terlihat bukanlah kerana haiwan boleh berfikir seperti manusia tetapi kerana naluri yang dibekal oleh Allah s.w.t. Jika kita lihat seekor haiwan menyayangi anaknya bukanlah bermakna haiwan tersebut mempunyai pemikiran tetapi hanyalah kerana haiwan memiliki naluri.
Bahasa merupakan cerminan keberadaan akal pada diri manusia. Bahasa manusia mempunyai kod-kod tertentu sehingga manusia lain dapat mentafsir kod tersebut dan membalas dengan kod yang lain. Dalam erti kata lain kod-kod itu terdiri daripada gabungan bunyi yang membentuk gugusan perkataan yang kemudian disusun menjadi ayat yang bermakna.
Dalam sistem manusia yang semakin moden, susunan bahasa telah dirancang secara sistematik dan teratur sehingga menimbulkan ilmu tatabahasa atau nahu. Dan inilah yang menjadi salah satu tugas guru bahasa yakni menyebarkan penggunaan bahasa yang betul dari segi nahu.Sebenarnya, ketepatan penggunaan tatabahasa dalam pertuturan mahupun penulisan akan menimbulkan suatu bentuk komunikasi yang tepat dan mudah difahami. Ilmu tatabahasa akan menerbitkan satu organisasi wacana yang sistematik dan berkesan dan ini amat penting dalam proses menyampaikan mesej kepada manusia lain.
Guru bahasa juga perlu faham bahawa tugas mereka amat besar dalam proses melahirkan para da'i. Salah satu sifat penting seorang pendakwah atau da'i ialah bersifat tabligh yakni menyampaikan. Dalam proses menyampaikan isi dakwah penggunaan bahasa memainkan peranan yang amat besar, Tanpa penggunaan bahasa yang tepat segala isi dakwah yang murni tidak akan sampai ke lubuk hati golongan sasaran. Sebagai pendakwah mereka perlu menyediakan diri dengan ilmu pidato agar dakwah yang ingin disampaikan berkesan . Semua itu, perlu disediakan oleh seorang guru bahasa. Inilah peranan guru bahasa dalam proses dakwah yakni melahirkan pendakwah yang petah berpidato dalam dakwahnya.
Selain ilmu pidato, seorang pendakwah juga perlu bersedia dengan ilmu perdebatan. Hal ini kerana, dalam proses dakwah mereka perlu berhadapan dengan pelbagai jenis manusia. Dalam keadaan ini, kadang-kala mereka perlu mempertahankan hujah dengan cara berdebat. Kadang-kala kita lihat seorang pendakwah mempunyai ilmu yang luas tetapi malangnya dia gagal mengeluarkan ilmu yang terpendam dalam hati dan pemikiran semasa berhujah. Implikasinya, dia gagal mempertahankan kebenaran. Maka, natijahnya berlakulah pelbagai fitnah dalam masyarakat. Semua ini berlaku kerana tiadanya ilmu dalam perdebatan. Jadi peranan guru bahasalah mendidik dan mengajar para pendakwah ini berhujah dan mengeluarkan fikiran dengan lancar dan berkesan.
Selain ilmu yang berkaitan dengan pertuturan, dalam dunia dakwah pelbagai wahana perlu digunakan termasuklah dengan cara penulisan. Tradisi dakwah membuktikan cara penulisan banyak digunakan oleh para ulama silam mahupun kontemporari. Pelbagai kitab ditulis dengan mata pena. Malah ada kata-kata hikmat menyebut "mata pena lebih tajam dari mata pedang." Semua itu menjelaskan ilmu penulisan amat penting kepada para pendakwah. Para guru bahasa perlu jelas bahawa kitalah yang perlu menyediakan para pendakwah yang memiliki ilmu penulisan yang tinggi agar segala ilmu dapat dicatat dan disampaikan dengan berkesan. Tanpa ilmu penulisan ini maka gedung ilmu yang dimiliki oleh para ulama atau ilmuan ini akan terkubur bersama mereka tatkala mereka kembali ke rahmatullah. Maka, pada masa itu rugilah segala manusia yang tinggal. Namun, jika para ulama dan ilmuan ini dapat menghasilkan kitab dan buku atas usaha kita guru bahasa mengajar mereka dengan ilmu penulisan maka beruntunglah kita dan dunia seluruhnya.
Kesimpulannya, kita guru-guru bahasa mempunyai peranan yang amat besar dalam agama. Kita ialah penyedia para da'i untuk agama Allah ini, Keberkesanan dakwah amat bergantung kepada ilmu yang kita curahkan kepada anak murid kita. Hari ini kita tidak tahu mungkin ada dalam kalangan anak murid kita kelak menjadi ulama atau ilmuan besar yang berjasa kepada masyarakat. Jika tidakpun anak murid kita, peranan dakwah ini juga terpikul di bahu kita sebagai seorang muslim. Jadi ilmu bahasa yang ada pada diri kita ini sebarkanlah kerana peranannya cukup besar dalam memperkasakan agama Islam di muka bumi ini. Wassalam.


3 ulasan:

cikgusaiful 23 Februari 2010 10:51 PTG  

Saya tertarik untuk memberikan komen dalam artikel saudara pada kali ini. Ini berikutan pandangan dan lontaran ide saudara agak berkaitan dengan buku yang sedang saya baca pada masa ini. Ketahuilah saudaraku, sesungguhnya setiap manusia yang dilahirkan di atas muka bumi ini mempunyai peranan dan tanggungjawab tersendiri. Ada rakan sekerja kita berperanan menjadi perunding kewangan Islam, ada yang mahu menjadi ahli politik Islam dan saya InsyaAllah sedang berusaha mengaitkan sains dengan ketuhanan melalui ceramah dan kuliah yang dihadiri sekadar mampu. Saudara ditakdirkan dan dipertanggungjawab untuk menyuburkan bahasa dengan berteraskan roh Islam. Peranan saudara agak mencabar kerana kebanyakan pejuang bahasa adalah berfahaman kebangsaan. Saya doakab semoga saudara akan beroleh cita-cita dan hasrat saudara...Wassalam.

Tanpa Nama,  14 Mac 2013 10:08 PTG  

buy valium 5mg valium vs 1mg xanax - valium vs xanax half life

Tanpa Nama,  21 Mac 2013 2:26 PTG  

buy xanax xanax bars show up on drug test - online pharmacy for xanax reviews

Perjuanganku

Memartabat Agama Islam dan Bahasa Melayu sehingga diletakkan di tempat yang selayaknya.

Dimanakah Anda?

Tetamu