Sabtu, Januari 16, 2010

Sukan dan Umur yang Panjang

Ramai manusia percaya bahawa kesihatan yang baik akan menjamin umur yang panjang. Hal ini menyebabkan mereka cenderung berusaha menjaga kesihatan dengan penuh kepercayaan bahawa dengan usaha mereka itu akan menjadikan umur mereka menjadi panjang. Benar! kebanyakan manusia ingin berumur panjang. Sebab itulah saban hari kita akan berdoa ke hadrat Allah s.w.t agar umur kita dipanjangkan.  Namun, beranggapan bahawa dengan melakukan senaman umur mereka akan menjadi panjang adalah suatu tanggapan yang salah..
 

Sudah pasti ada orang yang tidak bersetuju dengan kenyataan di atas. Hal ini kerana, bagi mereka jika kita selalu bersenam dan aktif dalam sukan, maka sistem tubuh kita akan menjadi baik dan lancar. Jantung dan paru-paru kita akan menjadi kuat dan seterusnya akan menjadikan badan kita sihat. Bukankah badan yang sihat akan menjadikan umur kita panjang. Itulah logik akal manusia.

Namun, dalam kehidupan beragama bukan semuanya berdasarkan kepada logik akal kerana terdapat beberapa perkara sememangnya telah menjadi ketentuan Allah s.w.t.  Antaranya ialah umur manusia. Betapa ramai kita saksikan betapa ramai manusia yang aktif bersukan dan amat teliti dalam penjagaan kesihatan tiba-tiba maut menjemputnya. Mungkin mautnya dengan kemalangan jalan raya, atau penyakit lain seperti tumor otak atau kanser malahan betapa ramai kita saksikan ahli sukan yang mati di gelanggang sukan(lihat disini). Semuanya berlaku dengan cepat sehingga membingungkan para doktor dan para sahabat disekelilingnya.

Inilah hakikat maut. Pasti datang apabila tiba waktunya. Tidak lambat atau cepat barang sesaat sekalipun. Firman Allah s.w.t :




Dan bagi tiap-tiap umat ada ajal (yang telah ditetapkan); maka apabila datang ajalnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaatpun, dan tidak dapat pula mereka didahulukan.
(al-A’raf : 34)

Itulah hakikat umur manusia. Seringkali kita melihat betapa manusia begitu sibuk dan berminat dengan bidang sukan dengan tanggapan bahawa dengan bersukan umur mereka akan menjadi panjang. Malahan, kerana minat yang amat mendalam itu mereka banyak memikirkan tentang sukan semata-mata. Perbualan dan aktiviti hidup mereka berlegar dalam dunia sukan semata-mata. Malahan, yang lebih malang mereka mengabaikan solat dan menangguh amal ibadat kerana hendak ke gelanggang sukan. Ada si fanatik sukan masih berada di padang tatkala azan Maghrib berkumandang. Mereka melambat-lambatkan solat malah ada yang meninggalkannya semata-mata kerana minat terhadap sukan. Itulah bahana sukan dalam kehidupan. Tidaklah salah kita bersukan malahan menjaga kesihatan itu adalah suatu kewajiban. Namun, jika kita bersukan hingga merosakkan amal ibadah apalah gunanya badan yang sihat. Ingatlah ajal dan maut adalah ketentuan Allah s.w.t . Hapuskan tanggapan dengan bersukan umur kita menjadi panjang. Wassalam.





1 ulasan:

cikgusaiful 16 Januari 2010 pada 1:15 PTG  

Memang fitrah manusia mengasihi kehidupan dan cintakan umur yang panjang. Dari pintu sentimen ini syaitan menggoda Nabi Adam AS agar memakan pohon terlarang (rujuk surah Taha ayat 120). Sebagai renungan bersama, untuk betul-betul manusia ingin melanjut usia, kita haruslah membunuh:
(i) sifat leka
(ii) sifat berlengah
(iii) sifat mencela masa
Bersama-sama kita renungkan bersama.....

Perjuanganku

Memartabat Agama Islam dan Bahasa Melayu sehingga diletakkan di tempat yang selayaknya.

Dimanakah Anda?

Tetamu